- Iklan -
Dunia

32 kanak-kanak terkorban dalam rusuhan stadium di Indonesia

Tragedi di Malang itu meragut 125 nyawa sementara 323 yang lain cedera.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan terbalik akibat rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang selepas rempuhan berlaku ketika perlawanan antara Arema dan Persebaya di Jawa Timur. Gambar: Reuters
Kenderaan terbalik akibat rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang selepas rempuhan berlaku ketika perlawanan antara Arema dan Persebaya di Jawa Timur. Gambar: Reuters

Sekurang-kurangnya 32 kanak-kanak maut dalam tragedi rusuhan di stadium Indonesia, kata seorang pegawai hari ini, ketika polis mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam insiden berdarah dalam sejarah sukan bola sepak negara itu.

Tragedi pada malam Sabtu di bandar Malang itu meragut 125 nyawa sementara 323 lagi tercedera selepas anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata di dalam stadium yang sesak bagi menyuraikan rusuhan penyokong sehingga mencetuskan rempuhan.

Puluhan kanak-kanak yang terperangkap dalam insiden itu meninggal dunia, kata seorang pegawai di kementerian wanita dan perlindungan kanak-kanak negara itu kepada AFP.

"Daripada data terkini yang kami terima, 32 daripada keseluruhan 125 orang yang maut adalah terdiri daripada kanak-kanak, di mana mangsa yang paling muda adalah kanak-kanak berusia tiga atau empat tahun," kata pegawai itu.

Ketika kemarahan semakin memuncak terhadap pasukan polis, Ketua Menteri Keselamatan Indonesia Mahfud MD mengumumkan pasukan khas telah dibentuk untuk menyiasat dan menggesa hukuman dijalankan ke atas mereka yang bertanggungjawab.

“Kami meminta (polis) mendedahkan siapa yang melakukan jenayah itu dan mengambil tindakan terhadap mereka dan kami juga berharap polis negara akan menilai prosedur keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan siaran.

Pasukan polis memecat ketua polis Malang dalam tempoh beberapa jam selepas ucapan menteri itu.

Polis Jawa Timur juga menggantung sembilan pegawai tanpa memberikan butiran mengenai peranan mereka dalam tragedi itu.