- Iklan -
Dunia

Ulama terkenal Yusuf Qaradawi meninggal dunia

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Kesatuan Ulama Sedunia Yusuf al Qaradawi. Gambar: AFP
Ketua Kesatuan Ulama Sedunia Yusuf al Qaradawi. Gambar: AFP

Ulama terkenal antarabangsa Yusuf Abdullah al Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun di Doha, Qatar.

Pengumuman kematian Qaradawi dibuat dalam sebuah hantaran Twitter rasminya, mendoakan kesejahteraan di atas pemergian beliau.

“Telah pergi imam yang mulia, Yusuf al Qaradawi yang menghabiskan hidupnya menerangkan hukum-hakam Islam, dan mempertahankan umat.”

Qaradawi adalah kelahiran Mesir, namun menghabiskan lebih banyak usianya di Qatar di mana beliau dibuang negara sehingga saat kematiannya.

Beliau merupakan graduan Universiti Al-Azhar yang sering dikaitkan dengan pergerakan Ikhwan Muslimin, sebuah gerakan Islam yang aktif dalam politik dan pernah menguasai kerajaan Mesir selepas revolusi di Mesir pada 2011.

Walaupun sering mendapat kecaman Barat kerana pandangan tegasnya mengenai konflik Palestin dan fatwa kontroversi mengenai pengeboman bunuh diri, namun banyak karya Qaradawi tidak diterima kumpulan Islam yang lebih ekstrem.

Beliau juga merupakan ulama yang lantang menggesa supaya dialog persefahaman antara mazhab Syiah dan Sunni diperluaskan sewaktu hubungan Qatar dan Arab Saudi tegang.

Bukunya Halal dan Haram dalam Islam merupakan karya yang telah diterjemahkan kepada hampir semua bahasa dan menjadi rujukan utama dalam dunia Islam.

Pada 2009, kerajaan Malaysia menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada beliau memberikan pengiktirafan kepada personaliti yang telah memberikan sumbangan besar sempena tahun baru mengikut kalendar Islam.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.