Pakistan kesal tuduhan ia benarkan serangan dron AS melalui ruang udaranya
Pakistan berkata tuduhan Afghanistan itu tidak mempunyai bukti dan bertentangan dengan norma diplomatik antara dua negara.
Terkini
Pakistan menyifatkan tuduhan pemangku Menteri Pertahanan Afghanistan bahawa Amerika Syarikat (AS) menggunakan ruang udaranya untuk melakukan serangan menggunakan dron di Afghanistan sebagai "amat dikesali".
“Tanpa sebarang bukti, seperti yang diakui oleh menteri Afghanistan itu sendiri, tuduhan sedemikian amat dikesali dan bertentangan dengan norma amalan diplomatik yang bertanggungjawab,” kata jurucakap Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan pada Ahad.
“Pakistan menegaskan semula keyakinannya terhadap kedaulatan dan integriti wilayah semua negara dan mengutuk semua bentuk keganasan dan manifestasinya,” kata jurucakap itu.
“Kami menggesa pihak berkuasa sementara Afghanistan untuk memastikan pematuhan komitmen antarabangsa yang dibuatnya, iaitu tidak membenarkan penggunaan wilayahnya untuk keganasan ke atas mana-mana negara,” tambah kenyataan itu.
Menteri Pertahanan Afghanistan Mullah Mohammad Yaqoob pada Ahad memberitahu media di Kabul bahawa dron AS sampai di negara itu melalui Pakistan.
"Menurut maklumat kami, dron itu masuk ke Afghanistan melalui Pakistan, mereka menggunakan ruang udara Pakistan, kami meminta Pakistan, agar tidak membenarkannya," kata beliau.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.