- Iklan -
Berita

Arab Saudi penjarakan imam Masjidil Haram selama 10 tahun

Syeikh Saleh al Talib mula ditahan pada 2018 selepas khutbahnya mengkritik badan kerajaan yang mengawal selia industri hiburan di negara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar Imam Masjidil Haram Syeikh Saleh Al-Talib ketika berucap di sebuah persidangan di Pakistan pada Mac 2018.
Tangkap layar Imam Masjidil Haram Syeikh Saleh Al-Talib ketika berucap di sebuah persidangan di Pakistan pada Mac 2018.

Mahkamah Rayuan Jenayah Khas di Riyadh menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas imam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.

Dalam sebuah ciapan Twitter, kumpulan hak asasi Democracy for The Arab World Now (Dawn) yang berpangkalan di AS berkata Syeikh Saleh al Talib dijatuhi hukuman itu selepas mahkamah membatalkan pembebasannya sebelum ini.

Talib mula ditahan pihak berkuasa Saudi pada 2018 selepas beliau menyampaikan khutbah yang mengkritik Pihak Berkuasa Hiburan Am, sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan.

Beliau mengutuk konsert dan acara hiburan yang menurutnya bercanggah dengan agama dan budaya negara itu.

Talib juga mempunyai ramai pengikut di peringkat global di mana ribuan orang menonton khutbah dan bacaan Al-Qurannya di YouTube.

Penangkapan Talib dilakukan ketika Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman menjalankan usaha pembaharuan di Saudi dan mempelbagaikan ekonomi negara Teluk itu yang banyak bergantung dengan sumber minyaknya.

Sejak Mohammed menjadi putera mahkota, pihak berkuasa Saudi telah menahan puluhan ulama dan imam terkenal yang mengkritik agenda pembaharuannya.

Dalam sebuah laporan Middle East Eye, jurucakap Dawn, Abdullah Alaoudh mengecam hukuman penjara itu dan berkata ia adalah sebahagian daripada tindakan kerajaan terhadap ulama dan imam di mana mereka berdepan hukuman penjara kerana bersuara menentang pembaharuan yang dilakukan oleh Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman.

"Hukuman 10 tahun terhadap Imam Masjidil Haram Saleh Al Talib kerana mengkritik perubahan sosial dan hukuman penjara 34 tahun terhadap aktivis wanita Salma Alshehab kerana menyeru pembaharuan sosial yang sebenar adalah ironi yang memberitahu kita bahawa penindasan Mohammed bin Salman mengancam setiap kumpulan," Abdullah dipetik sebagai berkata merujuk pemenjaraan aktivis wanita yang dipenjarakan 34 tahun gara-gara ciapan Twitternya yang mengkritik kerajaaan Saudi.

“Persamaan antara semua tahanan politik termasuk Imam Talib ialah mereka menyatakan pendapat secara aman dan ditangkap kerana itu. 

“Penindasan ini harus dihentikan terhadap semua orang tanpa sebarang pengecualian."