- Iklan -
Dunia

Kebakaran hutan Algeria ragut 26 nyawa

Sekurang-kurangnya 350 penduduk telah dipindahkan dari El Tarf.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Kebakaran hutan biasa berlaku di Algeria namun ia semakin buruk akibat perubahan iklim. Gambar: AFP
Kebakaran hutan biasa berlaku di Algeria namun ia semakin buruk akibat perubahan iklim. Gambar: AFP

Sekurang-kurangnya 26 orang maut dan puluhan yang lain cedera dalam kebakaran hutan yang memusnahkan 14 daerah di utara Algeria, kata Menteri Dalam Negeri, Kamel Beldjoud.

Beliau memberitahu stesen televisyen kerajaan bahawa 24 orang terkorban dalam kebakaran di El Tarf, berhampiran sempadan Tunisia, manakala dua orang meninggal dunia di Setif.

Perkhidmatan kecemasan di Setif berkata dua wanita, "seorang ibu berusia 58 tahun dan anak perempuannya berusia 31 tahun", terbunuh di bandar itu.

Di Souk Ahras, kawasan pedalaman di timur berhampiran sempadan Algeria dengan Tunisia, orang ramai dilihat melarikan diri dari rumah mereka ketika api merebak sebelum helikopter pemadam kebakaran dikerahkan ke kawasan berkenaan.

Sebelum ini, laporan jumlah angka kematian berkata empat orang di Souk Ahras dilaporkan melecur dan 41 lagi mengalami kesukaran bernafas.

Laporan media menyebut, 350 penduduk telah dipindahkan, namun tiada jumlah terkini membabitkan jumlah yang cedera dalam kebakaran di kawasan lain.

Menurut stesen televisyen, Ennahar, kira-kira 50 orang dibawa ke hospital di El Tarf, sebuah bandar dengan penduduk sekitar 100,000.

Pasukan polis tentera menutup beberapa jalan akibat kebakaran.

"Sebanyak 39 kebakaran sedang berlaku di 14 daerah," kata perkhidmatan kecemasan, sambil menyatakan bahawa El Tarf adalah yang paling teruk terjejas, dengan 16 kebakaran sedang berlaku.

Helikopter menggunakan baldi yang digantung untuk menjatuhkan air ke atas kebakaran di tiga kawasan, termasuk Souk Ahras.

"Algeria menyewa sebuah pesawat pengebom air Russia, tetapi rosak dan tidak dapat berfungsi lagi sehingga Sabtu ini," kata Beldjoud.

Kebakaran itu menjadi perdebatan umum mengenai kebimbangan kekurangan pengebom air di negara ini.

Menurut laman web, Mena Defense, pihak berkuasa Algeria membatalkan kontrak dengan sebuah syarikat Sepanyol untuk membekalkan tujuh pesawat pengebom air berikutan pertembungan diplomatik Algeria dengan Madrid awal tahun ini.

Menurut media tempatan, tiada tindakan susulan diambil bagi menggantikan pesawat Sepanyol itu, yang pada awalnya dibekalkan anak syarikat Air Nostrum Plysa.

Sejak awal Ogos, 106 kebakaran berlaku di Algeria, memusnahkan lebih 2,500 hektar kawasan hutan. Beldjoud berkata beberapa kebakaran tercetus akibat tindakan orang awam.

Jumlah korban yang dicatatkan semalam, menjadikan jumlah orang yang terbunuh dalam kebakaran hutan musim panas ini mencecah 30 orang.

Algeria adalah negara terbesar di Afrika tetapi ia hanya mempunyai 4.1 juta hektar (10.1 juta ekar) hutan.

Setiap tahun, negara utara benua itu terjejas oleh kebakaran hutan, dan masalah itu semakin teruk akibat perubahan iklim.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 90 orang maut dalam kebakaran hutan yang memusnahkan utara Algeria, dengan lebih 100,000 hektar kawasan hutan.