- Iklan -
Dunia

Iran semak draf akhir perjanjian nuklear dengan AS

Rundingan yang diatur oleh Kesatuan Eropah itu kini dimulakan semula selepas lima bulan terhenti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dua wanita memakai pelitup muka ketika berjalan di bandar Tehran melalui mural bendera Iran. Gambar: AFP
Dua wanita memakai pelitup muka ketika berjalan di bandar Tehran melalui mural bendera Iran. Gambar: AFP

Rundingan tidak langsung mengenai pemulihan perjanjian nuklear antara Tehran dan Washington, dengan Kesatuan Eropah bertindak sebagai perantara dimuktamadkan menerusi draf akhir perjanjian di ibu negara Austria pada Isnin.

Iran mengesahkan kemajuan relatif telah dicapai berhubung isu-isu berbangkit dalam rundingan yang bermula Khamis selepas terhenti selama lima bulan, dan perbincangan mengenai perkara itu akan diteruskan, lapor Agensi Anadolu.

Seorang pegawai kanan di Kementerian Luar Iran dipetik sebagai berkata oleh agensi berita IRNA bahawa pasukan perunding Iran yang diketuai Timbalan Menteri Luar Ali Bagheri Kani telah memaklumkan mengenai pendiriannya mengenai teks draf baharu yang dicadangkan oleh EU.

Beliau berkata ketua dasar luar EU Josep Borrell membentangkan idea mengenai isu-isu selebihnya dalam teks baharu itu dan Iran menyampaikan "tindak balas awal beserta syarat."

Kenyataan itu dibuat selepas EU pada Isnin memaklumkan pihaknya telah mengemukakan draf "akhir" untuk menyelamatkan perjanjian nuklear 2015 selepas sesi perbincangan serius antara pihak-pihak berkepentingan yang berlangsung selama empat hari di Vienna, dalam perjanjian yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

“Apa yang boleh dirundingkan telah dirundingkan, dan kini memasuki fasa terakhir. Bagaimanapun, di sebalik setiap isu teknikal dan setiap perenggan terdapat keputusan politik yang perlu dibuat,” menurut Borrell menerusi ciapan di Twitter.

Beliau berkata bahawa jika jawapan yang diterima "positif," maka pihak-pihak berkaitan boleh membuat persetujuan secara rasmi.