- Iklan -
Dunia

Vietnam sediakan pelan hadapi cacar monyet

Kerajaan Vietnam merangka garis panduan untuk memantau wabak cacar monyet di Vietnam dan mengaktifkan semula sistem kuarantin sempadan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Vietnam bakal mengaktifkan semula kuarantin sempadan bagi berdepan jangkitan cacar monyet di negara itu. Gambar: Reuters
Vietnam bakal mengaktifkan semula kuarantin sempadan bagi berdepan jangkitan cacar monyet di negara itu. Gambar: Reuters

Kementerian Kesihatan Vietnam pada Isnin mengadakan sesi latihan dalam talian untuk membimbing kemudahan perubatan di seluruh negara mengenai diagnosis dan rawatan cacar monyet di tengah-tengah peningkatan kes virus itu di seluruh dunia.

Timbalan Menteri Nguyen Truong Son menekankan mengenai perlunya membuat persediaan rapi untuk bertindak balas terhadap cacar monyet, meskipun tiada kes direkodkan di Vietnam kerana risiko penyakit berkenaan memasuki negara itu adalah sangat tinggi.

Beliau meminta kemudahan kesihatan membuat persediaan yang perlu untuk mencegah penyakit itu, termasuk pengesanan awal klinikal dan mendapatkan ujian diagnostik secara proaktif untuk memastikan langkah kuarantin dan rawatan awal dapat dilakukan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Son berkata aktiviti komunikasi perlu turut diperkasakan lagi bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tanda-tanda penyakit dan mengukuhkan latihan untuk pemeriksaan serta rawatan perubatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perubatan Pencegahan Vietnam, Nguyen Luong Tam berkata, kementerian kini sedang merangka garis panduan untuk memantau kes cacar monyet di Vietnam dan mengaktifkan semula sistem kuarantin sempadan.

Pada 23 Julai, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengisytiharkan cacar monyet atau monkeypox sebagai kecemasan kesihatan awam global kerana kadar penularannya yang cepat dan risiko penularannya telah merebak ke negara lain.

Lebih 22,000 kes telah direkodkan di seluruh dunia.