- Iklan -
Dunia

Peru catat kematian pertama wabak cacar monyet

Pesakit itu adalah seorang lelaki berusia 45 tahun dan merupakan penghidap penyakit HIV.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Peru pada Isnin mencatatkan kematian pertama melibatkan pesakit yang dijangkiti cacar monyet dengan jumlah jangkitan di negara itu kini melebihi 300 kes.

Pesakit seorang lelaki berusia 45 tahun yang menghidap HIV dan sistem imun yang lemah, kata pengarah sebuah hospital awam di Lima.

Lelaki itu tiba di hospital dengan jangkitan cacar monyet, tetapi kesihatannya semakin merosot selepas tidak menjalani rawatan untuk HIV/AIDS, lapor Agensi Anadolu memetik Pengarah Hospital Dos de Mayo, Eduardo Farfan.

“Dia tiba di hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami luka pada kulit dan masalah paru-paru.

"Pesakit tiba dengan jangkitan yang sudah semakin teruk," kata Farfan.

Peru mengesan lebih 305 kes cacar monyet, menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Isnin.

Ketua Institut Kesihatan Negara, Victor Suarez, memberi amaran bahawa bilangan orang yang dijangkiti virus itu boleh meningkat selagi tingkah laku berisiko seperti mempunyai banyak pasangan seksual berterusan.

Cacar monyet atau monkeypox setakat ini menjangkiti terutamanya kepada lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jenis, namun pakar memberi amaran bahawa sesiapa yang berhubung rapat dengan orang yang dijangkiti atau pakaian mereka mungkin berisiko dijangkiti.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global pada 23 Julai.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Brazil melaporkan kematian pertama berkaitan cacar monyet di luar Afrika, seorang lelaki berusia 41 tahun yang menghidap kanser dan sistem imun yang lemah.

Brazil, bersama-sama dengan Amerika Syarikat dan Kanada, adalah antara negara yang paling banyak terjejas oleh cacar monyet di benua Amerika.

Argentina, negara Amerika Latin pertama yang mengesahkan penyakit itu, diikuti Mexico, Brazil, Venezuela dan Chile.