- Iklan -
Dunia

Ulama kontroversi Indonesia Habib Rizieq dibebaskan dengan parol

Pemimpin Front Pembela Islam yang diharamkan di negara itu diberikan pengampunan selepas memenuhi syarat pentadbiran dan subtantif.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong pemimpin Front Pembela Islam, Rizieq Shihab, berkumpul di Masjid Baiturrahman di Aceh, Indonesia bagi menyatakan sokongan kepadanya ketika beliau dibicarakan di mahkamah pada 8 Disember 2020. Gambar: AFP
Penyokong pemimpin Front Pembela Islam, Rizieq Shihab, berkumpul di Masjid Baiturrahman di Aceh, Indonesia bagi menyatakan sokongan kepadanya ketika beliau dibicarakan di mahkamah pada 8 Disember 2020. Gambar: AFP

Ulama Islam kontroversi di Indonesia Rizieq Shihab atau lebih dikenali sebagai Habib Rizieq dibebaskan dari penjara dengan jaminan parol pada Rabu, selepas setahun menjalani hukuman, seorang pegawai kerajaan mengesahkan.

Pemimpin rohani organisasi Front Pembela Islam (FPI) yang diharamkan negara itu dijatuhkan hukuman empat tahun penjara pada Jun tahun lalu kerana melanggar undang-undang kuarantin Covid-19 dan menyebarkan berita palsu semasa pandemik.

Rizieq turut didapati bersalah melanggar perintah sekatan pergerakan Covid-19 selepas menganjurkan dan menghadiri beberapa acara besar-besaran ketika pandemik di tahap kemuncak di negara itu, termasuk mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya.

Dalam sebuah kenyataan, pegawai penjara berkata  Rizieq ditahan sejak Disember 2020 dan layak mendapat parol selepas setahun menjalani hukuman.

Menurut kenyataan itu, Rizieq dibebaskan selepas beliau memenuhi “syarat pentadbiran dan tuntutan subtantif bagi mendapatkan pengampunan.” 

Di negara yang mempunyai populasi penduduk beragama Islam paling besar di dunia, Rizieq dilihat menjadi pemimpin agama yang mencetuskan polarisasi di Indonesia.

Beliau yang lantang dalam ucapan dan kenyataannya menjadi pemimpin utama dalam tunjuk perasaan besar-besaran pada 2016 di mana ia menyebabkan gabenor Jakarta yang beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama dijatuhkan. 

Pada 2017, Rizieq melarikan diri ke Arab Saudi selepas berdepan pertuduhan berkait pornografi dan menghina ideologi negara. 

Penyokong tegar beliau mendakwa pertuduhan tersebut adalah bersifat politik dan pertuduhan tersebut kemudiannya digugurkan ketika beliau kembali ke Indonesia pada 2020.

Organisasi FPI yang dipimpin Rizieq diharamkan pada 2020 selepas kerajaan mengisytiharkan ia mengancam ideologi negara, namun beliau kekal popular dalam kalangan konservatif Islam di negara itu.