- Iklan -
Dunia

Eropah hadapi musim kemarau terburuk dalam sejarah

Gelombang haba dan kemarau yang berpanjangan mengakibatkan kebakaran hutan yang dahsyat di kebanyakan negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk turut membantu anggota bomba melembabkan tanah bagi mengelakkan cetusan api kebakaran di Louchats, Perancis pada 19 Julai. Gambar: AFP
Penduduk turut membantu anggota bomba melembabkan tanah bagi mengelakkan cetusan api kebakaran di Louchats, Perancis pada 19 Julai. Gambar: AFP

Gelombang haba yang melanda barat dan selatan Eropah tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, dengan suhu dijangka meningkat di beberapa negara dan cuaca panas terik meragut ratusan nyawa serta mencetuskan kejadian kebakaran hutan, lapor Xinhua.

Perkhidmatan cuaca kebangsaan Britain (Met Office) memberi amaran negara itu perlu bersiap sedia menghadapi suhu sekitar 40 darjah Celsius di beberapa kawasan pada minggu ini.

Pejabat itu telah mengeluarkan amaran pertamanya mengenai cuaca panas melampau, mengingatkan orang ramai bahawa musim kemarau mendatangkan risiko penyakit berbahaya.

Setakat ini, suhu tertinggi pernah direkodkan di Britain adalah sekitar 38.7 darjah Celsius pada Julai 2019.

Saluran berita Perancis BFMTV pada Isnin melaporkan bahawa jabatan perkhidmatan cuaca di barat Perancis mengeluarkan amaran "panas melampau" dan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius.

Kementerian kesihatan Sepanyol memaklumkan pada Isnin bahawa 510 orang maut pada minggu pertama musim kemarau dan cuaca panas mencecah 45 darjah Celsius melanda beberapa bahagian negara itu.

Golongan tua paling teruk terjejas akibat musim kemarau dengan 321 daripada 510 mangsa berumur 85 tahun ke atas.

Pejabat Met Britain juga telah memaklumkan orang ramai tentang risiko kehilangan bekalan kuasa, air atau perkhidmatan telefon mudah alih serta kelewatan lalu lintas.

Laporan yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah baru-baru ini menunjukkan hampir separuh daripada wilayah Kesatuan Eropah (EU) dan Britain berdepan risiko kemarau pada Julai.

Musim kemarau dan kekurangan air menjejaskan pengeluaran tenaga dan hasil tanaman.

Gelombang haba dan kemarau yang berpanjangan juga telah mengakibatkan kebakaran hutan yang dahsyat di kebanyakan negara termasuk Perancis, Sepanyol, Portugal, Itali dan Greece.

Kebakaran hutan yang marak di barat daya Perancis sejak 12 Julai telah memusnahkan 14,000 hektar tanah dan menyebabkan 16,200 orang hilang tempat tinggal.

Untuk membendung peningkatan risiko kebakaran hutan, EU mengadakan perbincangan dengan pengeluar untuk membeli pesawat pemadam kebakaran, menurut laporan media.