- Iklan -
Dunia

Pakistan setuju syarat ketat IMF untuk dapatkan pembiayaan AS$1.17 bilion

Kerajaan baru Pakistan menaikkan harga bahan api dan elektrik yang merupakan sebahagian syarat tabung kewangan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja berehat sambil minum teh selepas memunggah barangan di pasar Karachi, Pakistan pada 6 Januari. Gambar: AFP
Pekerja berehat sambil minum teh selepas memunggah barangan di pasar Karachi, Pakistan pada 6 Januari. Gambar: AFP

Pakistan akan menerima kira-kira AS$1.17 bilion pembiayaan baru daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas ia bersetuju dengan syarat pinjaman yang ketat.

IMF dan pihak berkuasa Pakistan telah mencapai "perjanjian di peringkat kakitangan" bagi memuktamadkan penilaian semula gabungan program bantuan ketujuh dan kelapan Kemudahan Dana Lanjutan (EFF).

"Tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah, kira-kira AS$1,177 juta akan tersedia, menjadikan pembayaran di bawah program itu berjumlah kira-kira AS$4.2 bilion," kata ketua pasukan IMF Nathan Porter dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Pakistan sedang menghadapi kemelut ekonomi yang mencabar dan faktor domestik serta luaran telah menyebabkan inflasi meningkat dan rizab pertukaran asing semakin berkurangan.

IMF turut bersetuju untuk mempertimbangkan lanjutan EFF sehingga akhir Jun 2023 dan menambah  jumlah akses kepada AS$7 bilion.

Pada 2019, IMF dan Pakistan bersetuju dengan program pinjaman berjumlah AS$6 bilion namun ia dibekukan kerana perbezaan dengan kerajaan terdahulu.

Untuk menyemak semula perjanjian itu, kerajaan baru yang berkuasa sejak April lalu telah membuat beberapa keputusan mengikut kehendak IMF, termasuk menaikkan harga bahan api dan elektrik.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PM (Perdana Menteri Shehbaz Sharif), rakan-rakan menteri, setiausaha dan khususnya bahagian kewangan atas bantuan dan usaha mereka dalam memastikan perjanjian itu berhasil," kata Menteri Kewangan Miftah Ismail pada Khamis.

IMF menyambut baik dasar kenaikan kadar faedah bank pusat Pakistan baru-baru ini, memandangkan ia "perlu dan sesuai".

Dasar monetari perlu menjurus ke arah memastikan inflasi diturunkan secara berterusan kepada objektif jangka sederhana lima hingga 7% berbanding lebih 20% pada Jun.

Pakistan bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan selanjutnya sektor fiskal dan tenaga bagi memenuhi syarat pinjaman IMF.