- Iklan -
Dunia

Bank Pakistan naikkan kadar faedah kepada 15% untuk kawal inflasi

Inflasi Pakistan mencatat 21.3% pada Jun, tertinggi sejak 2008.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bank pusat Pakistan menjangkakan inflasi pada tahun kewangan semasa (Julai-Jun) adalah sekitar 18% hingga 20% sebelum menurun mendadak semasa fiskal 2024. Gambar: AFP
Bank pusat Pakistan menjangkakan inflasi pada tahun kewangan semasa (Julai-Jun) adalah sekitar 18% hingga 20% sebelum menurun mendadak semasa fiskal 2024. Gambar: AFP

Bank pusat Pakistan pada Khamis menaikkan kadar faedah penanda arasnya dari 13.75% kepada 15% untuk mengawal inflasi dan permintaan dalam negeri.

Menurut Bank Negara Pakistan (SBP), inflasi meningkat kepada 21.3% pada Jun, paras tertinggi sejak 2008.

Bank pusat menjangkakan inflasi pada tahun kewangan semasa (Julai-Jun) adalah sekitar 18 hingga 20% sebelum "menurun mendadak" semasa fiskal 2024.

Pemangku Gabenor SBP Murtaza Syed berkata trend kenaikan harga seperti itu tidak pernah dilihat sejak 1970-an.

“Ia adalah fenomena global, yang turut dialami Pakistan,” katanya.

Beliau berkata tanpa pengetatan dasar monetari negara boleh menghadapi inflasi melampau.

Pada Mei, SBP menaikkan kadar faedah penanda aras sebanyak 150 mata asas (1.5 mata peratusan) kepada 13.75%.