- Iklan -
Kolum

'Pet' yang saya kenali

Raja Petra Kamarudin, atau RPK, atau Pet, menjalani hidupnya dengan baik.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pagi Selasa 10 September, dalam perjalanan membawa anjing saya Ezi dan Tak Tak berjalan-jalan di Tanah Perkuburan Hokkien, telefon bimbit saya sibuk berbunyi. Banyak pesanan masuk. Saya mengabaikan.

Sekembali di bilik, saya membuka komputer. Ada berbelas-belas pesanan WhatsApp yang sampai. Bila saya buka semuanya membawa berita yang sama: Raja Petra Kamarudin telah meninggal dunia di Manchester. Al-Fatihah.

Semua kawan-kawan dan kenalan mahu memberitahu saya maklumat penting ini. Saya ambil muat berita ini dan masukkan ke dalam blog Tukar Tiub.

Lalu saya teringat dalam hidup ini, jika kita menjalani hidup dengan baik, sekali hidup pun sudah cukup. Saya yakin Raja Petra atau RPK telah menjalani hidupnya dengan baik.

Saya hanya mengenali RPK sepulang saya dari 20 tahun berkelana. Saya berkenal baik dengannya kerana kami sesama terlibat dalam kumpulan teater Bargeaves Ballerz.

Ini kumpulan teater Malay College Old Boys Association (MCOBA), bekas pelajar Malay College Kuala Kangsar. Nama kumpulan teater ini sempena mengingati nama William Hargeaves. Sosok ini menjadi guru besar MCKK dari penubuhannya pada 1905 hingga ke tahun 1918.

RPK adalah senior saya di MCKK. Saya menjadi murid MCKK pada 1969. Ketika saya menjadi budak koleq, RPK keluar meninggalkan MCKK pada 1965.

Saya ingat lagi, ada dua kumpulan yang secara terbuka menerima saya pulang ke tanah air tanpa prejudis atau pandangan serong. 

Pertama, kawan-kawan Kelab Sosialis. Kedua, kawan-kawan MCOBA. Ahlan wa sahlan mereka cukup jujur.

Pada 1995, setahun sesudah pulang ke tanah air, saya mula aktif dalam MCOBA. Persatuan murid tua ini menganjurkan pelbagai aktiviti. Ada kelab ragbi, ada pasukan golf dan setahun sekali ada Old Boys Weekend. Ini hujung minggu di mana semua murid tua diajak kembali pulang bermalam di sekolah lama.

Setiap tahun juga, MCOBA akan mengadakan jamuan makan malam. Kami dari Ballgreaves Ballerz akan naik ke pentas beraksi sesudah jamuan makan malam. Kami penghibur dan penghadam diner.

Saya ingat lagi teater "What If..." yang kami pentaskan pada tahun 1995. RPK berlakon sebagai Mat Salleh kolonial yang mencadangkan kepada empat raja-raja Melayu untuk menubuhkan Kolej Melayu.

Tiap-tiap tahun, bila Ballerz memerlukan Mat Salleh untuk berlakon, pasti nama RPK naik. Kami tak pernah panggil dia Raja Petra. Untuk kawan-kawan dalam MCOBA, kami panggil dia dengan nama manja Pet.

Politik dan iklim politik berubah. Anwar Ibrahim yang juga murid tua Kolej Melayu dibuang dari kerajaan, dibicarakan dan dipenjarakan.

Kami dari MCOBA semuanya penyokong setia Anwar. Semua menyimpan harapan old boy yang ini akan melakukan sama seperti old boy Tun Razak yang telah membawa pembaharuan kepada negara.

Dalam masa sama, teater kami juga pernah ada menyelitkan babak-babak komedi yang menganjing Anwar. Sketsa-sketsa ini kami pentaskan untuk untuk bekas pelajar mentertawakan sesama sendiri.

Pada 20 September, 1998, Anwar dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan. Saya dengan seorang junior Isham Kecik telah pergi ke Sungai Buluh. Saya ingat lagi malam itu kami ke rumah Pet. Kami meminta Pet terlibat untuk menyokong Anwar. Caranya cukup senang: beratur di pintu masuk mahkamah dengan memakai tali leher murid tua Kolej Melayu.

Kami minta Pet mengepalai beberapa orang lagi budak koleq yang telah direkrut. Ini untuk menunjukkan pada orang ramai bahawa murid tua MCKK juga bersama Anwar.

Pet bersetuju. Gambar budak koleq berbaris dengan tali leher MCOBA keluar dalam Berita Harian. Saya puas hati.

Hubungan saya dengan Pet dari pentas teater kini beralih ke pentas politik. Pet menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris. Bila Anwar didapati bersalah dan masuk penjara, Pet menerbitkan laman Free Anwar Campaign (FAC).

Ketika ini, dunia internet baru bermula. Ketika ini ada laman bawah tanah bernama Mahazalim yang menyerang Dr Mahathir Mohamad secara gelap. Manakala FAC merupakan laman dikendalikan Pet secara terbuka.

Duta Amerika Syarikat John Malott sendiri pernah menulis untuk FAC. 

Saya terlibat dalam kedua-dua laman ini. Saya menghantar tulisan untuk FAC kepada Pet. Saya juga menulis dan menyunting secara gelap laman Mahazalim yang membalun kerajaan Mahathir.

Saya ingat lagi tarikh 4 April 1999. Pada petang Ahad itu, PKN - Parti Keadilan Nasional - dirasmikan penubuhannya di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Pada petang itu, saya mendapat panggilan telefon Pet.

"Isham, come over. Aku di Concorde. Datanglah, aku dengan Rehman Rashid," Pet mempelawa untuk minum petang. 

Rehman juga old boy yang selalu terlibat dalam Bargreaves Ballrez.

"Jom kita bet berapa lama parti ini akan bertahan," Pet agak sinikal dengan penubuhan PKN. Saya menolak jemputan itu.

Anwar masuk penjara. Kami yang di luar meneruskan perjuangan menentang Mahathir dan United Malays National Organisation. Beberapa demonstrasi kami anjurkan.

Bilik Sulit

Pada 10 April 2001, seramai 10 aktivis reformasi ditangkap di bawah ISA. Saya termasuk dalam senarai tangkapan. Mereka sedang merancang untuk keluar berdemo di hadapan pejabat Suhakam di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 14 April, sempena hari Black14, tarikh Anwar dijatuhkan hukum penjara.

Saya ditangkap di pejabat saya di Jalan Kemuja Bangsar dan dibawa ke tempat rahsia yang hingga sekarang saya tidak tahu di mana.

Saya dikurung dalam bilik sulit. Setiap hari kami berhadapan dengan lima pegawai polis tanpa uniform dan tanpa nama. Kami disoal siasat setiap hari tanpa henti - pagi, petang, ada kala sampai ke malam.

Saya dikurung bersendirian. Ketika ke bilik siasatan, kami digari dan mata kami ditutup. Kami tidak tahu di mana kami berada.

Satu hari, dalam minggu ketiga, abang polis yang mengawal kami melakukan kesilapan. Waktu saya hendak dimasukkan semula ke dalam sel, saya terserempak dengan Pet di meja abang polis.

Mata kami tidak ditutup lagi. Dua old boy MCKK bersua di Bilik Sulit.

"How are you old boy?" Ini kata-kata Raja Petra yang saya masih ingat hingga ke hari ini.

"Ok, me okay Pet," jawab saya ringkas sebelum abang polis membuka gari dan dengan pantas memasukkan saya ke dalam sel. 

Esoknya saya dipindahkan ke sel lain. Maka saya tahu bahawa Raja Petra juga sama ditahan seperti saya.

Sebulan kemudian, saya dipindahkan lagi. Kali ini di bilik tahanan yang lebih ketat. Mata masih ditutup. Berhampiran dengan bilik tahanan saya ialah dewan sukan. Sesekali saya terdengar suara Pet dari dewan sukan. Dia sedang bersukan dengan abang polis.

Setelah dua bulan disoal siasat, saya bersama lima lagi – Ezam Nor, Tian Chua, Pak Abu, Badrul Amin dan Lokman Adam – dihantar ke Kamunting. Raja Petra dibebaskan.

Keluar dari Kamunting, saya meneruskan apa yang terhenti. Pengalaman ISA saya rakam dalam teater Bilik Sulit.

Walaupun awalnya sinikal, tetapi Pet tetap diyakini untuk mengendalikan akhbar mingguan Suara Keadilan, akhbar rasmi PKR, iaitu selepas PKN bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada 2003.

Pet yang mengendalikan portal FAC terus menulis. Laman FAC menjadi rujukan. Tulisannya menjadi ikutan. Analisa dan gosip Pet dibaca dan menjadi perbualan nasional.

Tertiba, satu Malaysia terkejut dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kekasih Razak Baginda, kawan baik Najib Razak.

Pet terus menulis. Saya ingat lagi satu tulisan Pet di mana dia memaparkan angka kilometer perjalanan kereta Rosmah Mansor pada malam Altantuya dibunuh.

Dari angka kilometer ini, Raja Petra memberitahu kita semua bahawa Rosmah berada di tempat Altantuya dibunuh, di mana jumlah kilometer pergerakan kereta Rosmah pada malam itu dijadikan bukti.

Dari mana Raja Petra mendapat maklumat ini Tuhan saja tahu.

Polis ingin menangkap Raja Petra sekali lagi. Pet menghilangkan diri dan muncul di Manchester. Dia menjadi sosok pelarian politik.

"I changed FAC. F*** Anwar Completely to Malaysia Today," kata Raja Petra apabila laman ini berubah nama dan Anwar dibebaskan.

Laman yang dikendalikan Raja Petra ini terus menjadi rujukan politik untuk warga Malaysia. 

Raja Petra tidak berhenti menulis walau pun kita berada di luar negara.

Pada 2014, saya membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom. Selama sebulan Kumpulan Teater Bukan Teater mementaskan teater Bilik Sulit di Nottingham, di Sheffield, di Manchester dan di London.

Di Manchester, sesudah pementasan, kami singgah ke Gossip Cafe, kedai makan milik Raja Petra. Festival Uno Malasie (Satu Malaysia) ini yang membawa Bilik Sulit ini terdiri dari 9 pelakon.

Di kafe ini saya bertemu, berbual dan berlabun dengan Pet. Banyak yang kami labunkan, termasuk bagaimana dia berjaya melarikan diri meninggalkan Malaysia.

Itulah kali akhir kami bertemu.

Sekali sekala saya buka juga laman Malaysia Today. Kebelakangan ini, Pet kelihatan agak kurus dan cengkung dalam siaran podcastnya.

Pagi ini, saya menerima berita kematian Pet. Saya menelefon kawan baik Pet, kawan satu dormitari di MCKK untuk mendapatkan penjelasan.

"Tak tahu dia sakit apa."

Maka dalam hidup ini, jika kita lakukan kebaikan, sekali pun sudah mencukupi. 
Raja Petra Kamarudin, kerabat diraja Selangor, telah menjalani hidupnya dengan baik.

Ini tulisan budak koleq kepada budak koleq. Al-Fatihah.