- Iklan -
Rencana

Rafah disembelih, Anwar perlu hentikan kerjasama dengan pembiaya senjata Zionis

Jangan jadi tin kosong yang hanya mampu membising di medan antarabangsa.

Kamal Aarif Kamaruddin
2 minit bacaan
Kongsi

Pada 27 Mei 2024, tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas kem pelarian di utara Rafah, Gaza,  mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya 45 rakyat Palestin.

Kengerian yang terlihat di Rafah sukar digambarkan dengan kata-kata — ibu bapa dibakar hidup-hidup, kanak-kanak kehilangan kepala, perkhemahan pelarian dihujani bom dan dilumatkan sehingga tertinggal abu sahaja.

Pembunuhan yang berlaku di Rafah mendedahkan realiti perbezaan darjat antara penjajah dan dijajah.

Sementara video mayat kanak-kanak dipenggal di Rafah meraih simpati seluruh dunia selatan, media propaganda Barat terus menafikan dan menghalalkan pembunuhan yang jelas berlaku di Gaza.

Tidak boleh dinafikan, pembunuhan besar-besaran di kem Rafah adalah hasil langsung daripada retorik dan tindakan yang membolehkan kuasa-kuasa imperialis seperti Kanada, AS, Jerman dan UK untuk terus membiayai dan membekalkan senjata kepada tentera Israel yang telah jelas menyatakan niat mereka untuk menghapuskan rakyat Palestin.

Kerajaan Malaysia juga tidak berkecuali dari bersekongkol dengan pembuat senjata Zionis. 

Sementera Rafah disembelih, Khazanah, KWSP dan MAHB menjual saham kepada BlackRock, syarikat pro-Zionis terbesar yang bersubahat dengan genosid di Palestin. 

Tidak dilupa juga kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan pembuat senjata Zionis seperti Lockheed Martin dan BAE systems semasa pameran Natsec pada awal Mei.

Kami menyeru Anwar Ibrahim, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan untuk segera menghentikan segala kerjasama dengan pembiaya senjata Zionis jika ia benar-benar menyokong Palestin dan bukan menjadi tali barut Barat.

Jangan jadi tin kosong yang hanya mampu membising di medan antarabangsa, tetapi dalam diam bersekongkol dan menjual diri kepada Zionis yang membunuh kanak-kanak di Rafah. 

Menyeru gencatan senjata semata-mata adalah tindakan pengecut. Rejim Israel harus dimusnahkan dari sungai ke segara!

Biarlah ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa pembebasan tidak akan datang dari mahkamah penjajah, bukan dari retorik performatif ahli politik, tetapi dari kekuatan dan keteguhan perjuangan rakyat.

Kamal Aarif Kamaruddin ialah ahli jawatankuasa GEGAR, sebuah pertubuhan solidariti Palestin.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.