- Iklan -
Kolum

Kuasa dan daulah

Justeru kerajaan Madani dinobatkan sebagai kerajaan munafik atau kerajaan hipokrit.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Saya selalu ketawa apabila membaca bagaimana kerajaan Madani pimpin Anwar Ibrahim hari ini diubah suai untuk  dipanggil sebagai kerajaan "Madanon".

Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dengan United Malays National Organisation (Umno) ini dicemuh sebagai kerajaan cakap tak serupa bikin. 

Cakap lain buat lain.

Justeru kerajaan Madani dinobatkan sebagai kerajaan munafik atau kerajaan hipokrit.  

Saya hanya ketawa kah kah kah. 

Awalnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sedang berjalan, Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu membuat janji kepada kelab motor. 

Janji Zahid amat mudah, undi calon Barisan Nasional (BN) akan dapat tambahan dana berbanding apa yang “dihulurkan” pada petang itu.

Heboh. Heboh. Ada yang menuduh ini rasuah. Ada yang menuduh ini beli undi. 

Malah badan bukan kerajaan (NGO) Bersih 2.0 juga masuk setakuk meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap Zahid. Kah kah kah.  

Saya ketawa terbahak-bahak.

Saya “tergolek dog” ketawa apabila melihat kembali klip video janji Rafizi Ramli tentang harga barang.  

Musuh politik Rafizi mengulang sebar klip ini berkali-kali. 

Saya ketawa bila melihat ramai warga internet marah bila melihat dan mendengar janji Rafizi yang tidak ditunaikan.

Janji di”capati” tidak ditepati. Warga internet juga marah dengan Anwar. 

Mereka  marah sampai tersumbat urat kentut apabila melihat entah untuk kali ke berapa klip janji Anwar tentang harga minyak.

“Esok kita menang..... harga minyak diturunkan.”

Paling klasik ialah klip video lawak berdiri Mat Sabu: “Pengerusi 1MDB minta duit dari menteri kewangan, menteri kewangan minta dana dari PM. Perdana menteri minta dana dari Najib, Najib, pengerusi 1MDB minta dana dari Najib menteri kewangan yang luluskan oleh Najib, perdana menteri.” 

Lawak berdiri terbaik dari Mat Sabu.

PH kompromi rasuah Zahid

Ratusan ribu warga internet menghamburkan sumpah seranah kepada Anwar bila teringat akan kata-kata beliau:”jawatan menteri kewangan tidak boleh diambil oleh perdana menteri”.

Pelik lagi benar hingga ke hari ini Mat Sabu tidak pula memberi apa-apa komen tentang perdana menteri, Anwar yang juga menteri kewangan.

Apakah ini yang dikatakan hipokrit atau munafik? Untuk saya semua ini lawak berdiri genre politik paling cun. 

Kemudian kes Zahid. 

Selama ini Zahid menjadi “kavadi” yang dipikul oleh PH untuk menuju ke Putrajaya. 

Zahid dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, penggubahan wang haram dan salah guna kuasa.  

Pembebasan ini diharapkan akan meringankan beban “kavadi” rasuah PH. 

Tetapi sebaliknya berlaku.

Penunjuk perasaan bergerak dari Kampung Baru ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk membuat laporan mengenai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan 'Selamatkan Malaysia', 16 September.
Penunjuk perasaan bergerak dari Kampung Baru ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk membuat laporan mengenai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan 'Selamatkan Malaysia', 16 September.

Heboh. Heboh kes Zahid ini macam nak kiamat. 

Semua yang ada suara sudah bersuara. Pak haji dan pak lebai, YB dan pemimpin parti pembangkang semua bersuara.

Majlis Peguam, Bersih 2.0, Lawyers for Liberty, semua menyatakan tidak puas hati terhadap pembebasan Zahid. 

Malah Puan Ambiga dan Puan Maria Chin bekas pemimpin Bersih juga menyatakan rasa hairan lagi jelik terhadap pembebasan Zahid.

Semua bersuara mempersoalkan mengapa Zahid dibebaskan?

Dari DNA ke DNAA

Dulu ketika Anwar berhadapan dengan kes meliwat Saiful Bukhari Azlan, si Anwar ini dihantui oleh DNA. 

Polis menangkap Anwar untuk mengambil DNA. 

Polis mahu mengenal pasti apakah DNA Anwar ini sama seperti DNA air mani yang ditemui dalam lubang jubur Saiful.  

Kali ini dengan kes Zahid sekali lagi, si Anwar ini dihantui bukan oleh DNA Zahid tapi oleh DNAA Zahid.

Kes DNAA Zahid ini memang heboh. 

Satu Malaysia heboh bagai nak rak. Lebih heboh dari konsert “Jom Heboh”.

Dalam heboh ni ada “pelik tetapi benar terjadi”. 

Di Malaysia ini ada dua orang yang tidak heboh menyuarakan pandangan tentang DNAA Zahid. 

Dua sosok ini selalunya akan bersuara dalam apa saja hal.  

Jika gajah terkentut dan unta berak cair di Zoo Negara pun Lim Kit Siang dan P Ramasamy akan bersuara memberi pandangan.

Kali ini dua pemimpin DAP yang dikenali sebagai “kaki komen” senyap membisu macam cicak berak kapur.

Sahih lagi afdal di Malaysia yang tidak heboh tentang kes DNAA Zahid ini hanya “Tan Sri” Lim Kit Siang dan Ramasamy.  

Malah Anthony Loke pemimpin besar DAP sendiri mahu penjelasan mengapa Zahid dibebaskan oleh peguam negara. 

Hipokrasi PH

Heboh paling akhir ialah heboh bila ada beberapa sosok penganjur demonstrasi “Dakwa Zahid” dipanggil polis. 

Mereka disiasat kerana menganjur demonstrasi Dakwa Zahid.

Paling lawak ada pula kenyataan dari NGO dan YB parti pembangkang yang menyebut fakta sejarah bagaimana kerajaan PH yang berkuasa hari ini berjaya berkuasa kerana berdemo.

“Dulu mereka juga berdemo, mereka boleh, kita tak boleh. Kita dipanggil polis, ini namanya kerajaan hipokrit,” kata Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman.

Bila mendengar ini saya ketawa terbahak-bahak. Ada apa yang lucu?

Sebenarnya yang menjadikan saya ketawa ialah kegagalan sosok-sosok ini untuk memahami apa itu kuasa. 

Gagal memahami apa itu daulah. Gagal memahami kuasa daulah.

Pada 13 April 1655 dalam Parlimen di Paris, Louis ke-14, Raja Perancis dan Navarre berkata: “L’État, c'est moi” atau “I am the state" atau “Beta adalah daulah”.

Dari persejarahan tarikh ini adalah simbol “absolute monarchy” atau “monarki mutlak”.

Apakah Anwar nak jadi macam Raja Louis ke-14? 

Apakah Kerajaan Madani ini nak jadi kerajaan monarki mutlak?

Sabar dulu biar saya beri pencerahan.

Di Malaysia kita bukan memakai sistem monarki mutlak seperti di Arab Saudi atau di Brunei. 

Kita mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Betul, kita memakai sistem demokrasi berparlimen. 

Negara dunia ketiga

Tetapi jangan lupa, jangan lalai Malaysia ini negara dunia ketiga.  

Apa yang wujud dalam negara dunia ketiga seperti di Malaysia ini adalah prosedur demokrasi. 

“Kulit” demokrasi bukan “pengisian” demokrasi. Kulit bukan isi.

Kita ada pilihan raya. Kita ada Parlimen. 

Kita ada lembaga kehakiman. Kita ada televisyen dan radio, akhbar, sekolah dan universiti. 

Semua ini alat untuk membantu demokrasi. 

Bukan bermakna dengan wujudnya benda-benda ini, maka demokrasi dan hak kebebasan wujud.

“Bro, kalau lu masih tak sedar perkara ini, lu isap apa?”

Jangan sesekali lupa di belakang semua ini adalah kuasa. 

Kuasa ini muncul dari kuasa politik. Kuasa politik ini adalah kuasa daulah.

Kuasa daulah ini datang dari undi. Sapa dapat banyak undi dia menang. Sapa menang dia berkuasa. Ini hukum demokrasi. Ini Perlembagaan Malaysia.

Ada apa dengan kuasa? Kenapa perlu kuasa?

Di belakang kuasa ini ialah harta kekayaan. 

Ada berbilion bertrilion, berjuta bilion ringgit, dolar dan dinar. 

Justeru merebut kuasa adalah merebut harta.

Parti Demokrasi ke, parti Islam ke, parti kafir ke, parti Komunis ke, parti Liberal ke, semua berjuang untuk merebut kuasa. 

Dengan kuasa berupaya merebut harta kekayaan.

Jangan sesekali lupa bila membaca politik, jangan tidak masukkanan perkara merebut harta ini sebagai latar apabila menganalisa politik Malaysia sekarang.

Bagaimana dengan janji sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?  

Bagaimana dengan perjuangan reformasi?

Janji-janji dibuat sebelum mengundi.  Janji dalam ceramah politik. 

Janji politik, janji ekonomi dan janji hak asasi dalam manifesto ini bertujuan untuk mengolah persetujuan.

Janji-janji ini dibuat untuk memastikan calon akan dapat undi.

Mengolah persetujuan

Mengolah persetujuan ini bukan payah. 

Kepada makcik dan pakcik Felda, dijanjikan harga sawit mahal. 

Kepada penanam padi dijanjikan subsidi baja. 

Kepada anak muda di universiti dijanjikan hutang PTPTN dilupuskan. 

Kepada masyarakat kelas menengah, dijanjikan suasana liberal yang lebih selesa.

Kepada NGO dan aktivis sosial dijanjikan ruang demokrasi yang lebih terbuka. 

Kepada kaum peniaga dijanjikan suasana pelaburan yang mudah.

Kepada pak lebai dan mak haji ada operasi tangkap kedai jual jam pakai logo pelangi. 

Kepada pak haji dan mak haji, dilakukan tangkapan merpati dua sejoli dalam hotel bajet di Chow Kit.

Sesekali polis akan melakukan tangkapan dadah. 

Dadah yang terbungkus ditangkap bukan tokan, tauke atau “Tan Sri” tuan empunya dadah tertangkap sama. 

Ini tidak berlaku.

Semua ini bertujuan mengolah persetujuan. 

Yakinlah bahawa mengolah persetujuan ini sudah menjadi seni hingga ramai malah majoriti warga terpengaruh.

Anwar nak jadi raja?

Apakah ini bermakna kerajaan Madani yang dituduh hipokrit ini tidak membawa apa-apa perubahan?

Apakah “sekali air bah sekali pasir berubah”? 

Perubahan pasti ada. Ini jelas dapat dilihat.

Perubahan yang berlaku dari Dr Mahathir Mohamad ke Muhyidin Yassin ke Ismail Sabri Yaakob ke Anwar ialah perubahan sosok. 

Air bah berlaku tetapi pasir tidak berubah.

Anwar ganti Ismail. Tengku Zafrul ganti Azmin.  

Saifuddin Nasution Ismail ganti Hamzah Zainuddin. 

Air mengampuh bah, tetapi pasir tetap di situ. 

Sosok berubah tetapi sistem tidak berubah.

Di belakang sistem kerajaan ini, ada satu lagi sistem daulah. 

Sistem inilah yang sebenarnya mengendalikan negara kita.  

Apakah bukan Anwar yang mengendalikan negara kita ini? Anwar? Siapa Anwar? 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Kalau bukan Anwar yang mengendalikan negara kita ini bermakna bukan Anwar yang membebaskan Zahid?

Bermakan bukan Fahmi Fadzil yang suka menutup akaun TikTok? 

Bukan Saifuddin yang  beri arahan tangkap Chegu Bard? Siapa sebenarnya yang berkuasa sekarang?

Mu duduk baik-baik ambo nak royak. Ambo nak beri pencerahan.

Di belakang PRU, di belakang PRN, di belakang perdana menteri, di belakang jemaah menteri, di belakang polis, di belakang SPRM dan di belakang segala macam “M” ini ialah “daulah terpendam” atau “deep state”.

Sapa daulah terpendam ini?  

Apakah Anwar? Apakah Mat Sabu? Apakah Rafizi daulah terpendam?

Raja Louis berkata: “Beta adalah daulah”.

Apakah Anwar nak jadi macam Raja Louis ke-14?  

Kisah kuasa politik dan kuasa daulah belum selesai tunggu minggu hadapan.