- Iklan -
Kolum

Keresahan orang Melayu

Virus yang mengganggu orang-orang Melayu ini dari mana?

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Hari ini ramai warga sedar bahawa politik Malaysia sesudah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih terumbang-ambing. 

Kita tidak perlu pergi belajar ke University of Oxford atau ke  Havard University untuk membaca, melihat dan memahami apa yang berlaku.

Hari ini ramai warga melihat negara kita tidak terurus dan semakin bercelaru walaupun sudah hampir setahun kerajaan baru ditubuhkan.

Kerana ini ramai warga, ramai menganalisa dan pemerhati politik memberi sebab itu dan sebab ini.

Ada yang menuduh Anwar Ibrahim gagal. Kini Anwar menjadi seleberiti berjoget terpekik terlolong ke sana sini. Anwar tidak boleh buat kerja. 

Anwar tidak masuk pejabat dan fail kini semakin membukit. Banyak jawatan syarikat berkait kerajaan (GLC) masih belum diisi.

Tidak cukup dengan berita ini, timbul pula cerita apabila Anwar buka mulut dia berbohong. Semua janji jadi capati. 

Anwar dicap sebagai kaki putar “numero uno”.

Ada warga dan pemerhati politik yang memberi pandangan bahawa jemaah menteri Kabinet Anwar tidak ada pengalaman dan  ada yang tidak cerdik.

Justeru, kerana keadaan ini maka yang paling resah gelisah ialah orang-orang Melayu. 

Tidak bagi orang-orang Cina. Tidak juga bagi orang-orang India.

Hakikatnya orang-orang Melayu makin gelisah.  

Orang-orang Melayu makin resah. Orang-orang Melayu merasa tidak selesa. 

Perasan resah dan gelisah ini tidak difahami secara tuntas. Hanya dirasakan.

Resah gelisah wujud tetapi orang-orang Melayu secara ilmiah lagi tuntas mereka tidak tahu dari mana punca kegelisahan ini datang.

Virus 

Virus yang mengganggu orang-orang Melayu ini dari mana? 

Dari bilik makmal mana bocornya virus yang menjadikan orang-orang Melayu gelisah resah dalam negara mereka sendiri?

Tulisan ini cuba memberi satu jalur pandangan untuk mencari sebab musabab yang mewujudkan kegelisahan orang-orang Melayu.

Sebenarnya sebab musabab wujud kegelisahan orang-orang Melayu ini cukup jelas. 

Memahaminya tidak memerlukan ilmu bedah otak.

Orang-orang Melayu resah gelisah kerana untuk pertama kalinya dalam sejarah moden tamadun Tanah Melayu, perdana menteri yang dilantik bukan datang daripada parti Melayu.

Najib Razak, perdana menteri walaupun seorang pencuri yang dimasukkan ke dalam penjara masih berasal dari parti   Melayu, United Malays National Organisation (Umno). 

Mahathir ketika dilantik kali kedua berasal dari Bersatu yang juga parti Melayu. 

Begitu juga Muhyidin Yassin. 

Ismail Sabri Yaakob, pengganti Muhyidin juga dari parti Melayu, Umno.

Tetapi  Anwar bin Ibrahim yang menjadi perdana menteri ke-10 selepas PRU15 bukan dari parti Melayu.

Anwar yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi perdana menteri bukan berasal dari parti Melayu.

Wakil rakyat bukan Melayu menguasai?

Anwar datang dari PKR. Parti ini bukan parti Melayu. 

PKR “claimed” diri mereka parti berbilang kaum dab bukan eksklusif untuk orang-orang Melayu. 

Ada India, Cina, Baba dan Nyonya dan yang lain-lain dalam PKR

Jangan silap baca, Anwar bin Ibrahim adalah seorang Melayu. 

Hanya Anwar tidak memimpin parti Melayu.

Justeru kerana perdana menteri kali ini bukan dari parti Melayu maka semenjak selesai PRU15 kita lihat suasana politik Tanah Melayu semakin tidak stabil, porak peranda tunggang langgang.  

Retak menunggu belah.

Tidak ada pula pemerhati dan penganalisa politik berkata dengan sempoi: “Anwar bukan dari parti Melayu, bukan dari Umno, Bersatu, PAS, ini sebab orang  Melayu jadi huru-hara dan gelisah”.

Orang Melayu secara keseluruhan kini melihat kuasa politik Tanah Melayu telah terlepas dari tangan Melayu.  

Hakikat ini adalah hakikat empirikal lagi ilmiah.

Malah amat jelas dalam real politik jumlah wakil rakyat DAP lebih ramai daripada wakil rakyat PKR. 

Dalam Parlimen DAP ada 42 kerusi. PKR hanya ada 31 kerusi. Jumlah 42 lebih ramai daripada 31.

Dalam sistem demokrasi mengundi dan pungutan suara pastilah suara 42 wakil rakyat DAP lebih kuat daripada suara 31 wakil rakyat PKR.

Tambah meresahkan lagi dalam PKR sendiri masih ramai wakil rakyat yang bukan Melayu.

Jeng jeng jeng sampai media sosial. Masuk TikTok. Kempen PKR jadi kuda DAP bermula.

Justeru kempen TikTok yang menggambarkan PKR ditunggang oleh DAP menusuk dan menggigit. 

Kempen naratif ini dalam media sosial berjaya. Naratif DAP menunggang PKR ini amat-amat diyakini oleh orang-orang Melayu.

DAP asal PAP

Orang-orang Melayu melihat kuasa politik kini sudah masuk ke tangan DAP. 

DAP ini walaupun mendakwa sebagai parti berbilang kaum, masih dilihat oleh Bani Melayu sebagai parti Cina.

Tidak semua orang Melayu buta sejarah.

Orang Melayu sedar tentang fakta di mana sejarah DAP ini berasal usul daripada Parti Peoples’s Action Party (PAP)  yang dikepalai oleh Lee Kuan Yew. 

Sosok Lee Kuan Yew ini dengan licik berjaya mengambil pulau Singapura yang pada asalnya sebahagian dari Tanah Melayu untuk dijadikan wilayah orang-orang Cina.

Dalam suasana ini, muncul dua naratif induk dalam landskap politik Tanah Melayu hari ini.

Pertama, kuasa politik sudah hilang daripada dimiliki oleh orang-orang Melayu.  

Kedua, PKR sedang ditunggang oleh DAP.

Untuk memperkukuhkan naratif PKR jadi kuda tunggangan ini dibuktikan bahawa PKR tidak memiliki sokongan Melayu.

Bukan sahaja dalam PKR ramai wakil rakyat bukan Melayu malah dalam undi pilihan raya juga wakil rakyat Melayu hanya menang dengan undi Cina, undi Cina penyokong DAP.

PKR tidak mendapat sokongan Melayu ini bukan mitos politik. Bukan propaganda politik. 

Ini terbukti secara ilmiah bahawa sokongan Melayu terhadap PKR tidak melepasi 20%.

Kajian demi kajian. Pungutan suara demi pungutan suara sudah dijalankan. 

Merdeka Center dan Ilham Centre membuat kajian mendapati orang Melayu tidak menyokong PKR.

Sekali lagi kita tidak perlu belajar politik di University of Oxford atau di Yale University. 

Memadai kita rujuk keputusan Pilihan Raya Negeri di enam negeri yang baru selesai untuk memahami sokongan Melayu terhadap PKR.

Rata-rata keputusan PRN di enam negeri membuktikan orang Melayu tidak menyokong PKR. 

Negeri lubuk Melayu seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan semuanya menyokong Bersatu atau PAS.  

Malah di Selangor di wilayah lubuk-lubuk Melayu calon PKR, calon Amanah atau calon Umno semua bungkus.

Di Pulau Pinang lebih menakjubkan. 

Paling tertonggeng ialah tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh semuanya jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN). 

Permatang Pauh adalah kubu kuat dan kampung asal Anwar.

Permatang Pauh ialah kerusi tradisional anak beranak Anwar. 

Ketika Anwar dalam penjara kerusi ini dimiliki oleh  isteri Anwar. 

Sesudah itu kerusi yang sama diduduki oleh anak Anwar.  Kali ini semua bungkus. Parlimen kalah dan tiga DUN lingkup.

Bukan sahaja profesor dari Oxford akan tersenyum membaca kisah Permatang Pauh ini, malah profesor dari Sintok juga akan akur bahawa orang Melayu tidak lagi menyokong Anwar.

Kenapa orang Melayu tidak menyokong PKR? Kenapa orang Melayu tidak menyokong Anwar?

Apakah kerana Anwar pernah dipenjarakan kerana meliwat Saifol Bukhari?  

Kes liwat ini menjadikan orang Melayu tidak percaya kepada Anwar?  Mungkin betul mungkin tidak.

Tapi apa yang jelas kempen media sosial yang menggambarkan Islam sedang terancam adalah sebab utama. 

Islam dihebohkan sebagai sedang digugat.

Yang mengancam Islam, yang menggugat Islam pastilah DAP, parti milik orang Cina. 

Islam terancam

Malah DAP dituduh sebagai parti Komunis yang anti agama dan anti Islam.

Malah Abdul Hadi Awang, pemimpin PAS menganggap kerajaan Anwar ini sebagai kerajaan “luar tabii”. 

Kerajaan yang ditunggang oleh DAP yang anti Islam.

Ancaman terhadap Islam ini menjadi satu kempen yang berjaya. 

Orang-orang Melayu mendengar Islam diancam ini dari kuliah-kuliah tidak rasmi di masjid. 

Mereka juga melihat dari apa yang berlaku di hadapan mata. 

Orang Melayu merasa yakin akan naratif Islam diancam.

Propaganda dan naratif Islam diancam dari TikTok, YouTube dan Facebook dari Ustaz YouTube inilah yang menjadikan PN mendapat kemenangan besar dalam PRN di enam negeri.

Untuk mempertahankan Islam yang sedang terancam PN dan para penyokong memiliki empat bom nuklear.

Empat bom nuklear ini ialah liberal, plural, sekular dan LGBT. 

Bom-bom ini jika dilepaskan ke wilayah PKR pasti akan memusnah dan menghancurkan saki-baki sokongan Melayu kepada PKR.

Contoh terbaik bagaimana bom ini bergerak dibuktikan dalam PRN di enam egeri yang lalu.

Kiraan undi awal adalah bukti ilmiah bahawa orang-orang Melayu tidak lagi menyokong PKR. 

Justeru pengundi Melayu percaya Islam sedang terancam.

Pengundi awal terdiri daripada pegawai kerajaan, polis dan tentera. 

Mereka ini hampir 100% orang Melayu. Mereka menjadi pengundi awal kerana bertugas di hari mengundi.

Bila kertas undi dibuka jelas dibuktikan hampir 80 hingga 90% pengundi awal menolak Pakatan Harapan (PH). 

Pengundi awal memberikan undi kepada PN.

Pelik tetapi benar perkara ini belum pernah berlaku. 

Pegawai kerajaan, polis dan tentera amat setia kepada kerajaan. 

Tetapi kali ini secara terbuka mereka termakan kempen Hadi yang mempropagandakan Islam sedang digugat. 

Kerajaan Anwar kerajaan di luar tabii. 

Kerajaan campuran PH-Barisan Nasional (BN) sedang ditunggang oleh DAP, sebuah parti Komunis.

Jelas lagi terang polis tidak tunjuk hormat kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. 

Jelas lagi terang tentera tidak tunjuk hormat pada Menteri Pertahanan Mohamad Hasan. 

Jelas lagi terang pegawai kerajaan tidak mempedulikan tentang “dedak” yang ditabur oleh Anwar.

Apakah betul kerajaan Anwar di luar tabii? 

Apakah betul Islam sedang diancam? 

Apakah benar Islam tergugat oleh DAP?

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.