- Iklan -
Rencana

Idealisme perjuangan Umno digantung

Kerjasama parti itu dengan DAP mengesahkan perkara tersebut.

Muhammad Afifi Abdul Razak
4 minit bacaan
Kongsi

Parti politik ialah antara entiti penting dalam proses demokrasi bernegara. Ia dikatakan mempunyai jangka hayat yang panjang, melebihi jangka hayat ahli politik itu sendiri. 

Antara contoh parti politik yang tertua dan masih wujud hingga pada hari ini ialah Parti Demokrat di Amerika Syarikat, yang ditubuhkan oleh dua orang negarawan tersohor Amerika Syarikat, iaitu Thomas Jefferson dan James Madison kira-kira sekitar tahun 1790-an.

Di Britain, ada parti Konservatif yang ditubuhkan oleh Sir Robert Peel sekitar tahun 1832. Manakala di Malaysia pula ada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Onn Jaafar. 

Kebanyakan parti ini masih lagi berkuasa, setidak-tidaknya masih wujud dalam kerangka politik di negara masing-masing.

Biasanya, kelangsungan jangka hayat parti politik ini ditentukan oleh objektif penubuhannya dan juga strategi atau cara berpolitiknya dalam usaha untuk mendapat, mengembang dan mengekalkan kuasa politik yang diperolehnya menerusi proses pilihan raya, sekiranya ia wujud dalam kerangka politik demokrasi.

Hari ini, perbincangan mengenai kelangsungan sesebuah parti politik tidak lagi dikendalikan dengan cara perbincangan secara “gaya kampungan” tetapi sebaliknya menggunakan gaya perbincangan ilmiah yang moden, lengkap dengan kata-kata serta ayat-ayat yang tinggi maknanya serta disulami dengan pelbagai gaya retorik politik.

Justeru itu, kejayaan kelangsungan sesebuah parti politik pada hari ini telah dikaitkan oleh sesetengah orang dengan aspek idealisme dan uslub. Dua konsep ini digunakan bagi menggambarkan keadaan politik kepartian yang masih wujud dalam kerangka sistem demokrasi moden. 

Secara ringkasnya, istilah ‘idealisme’ berasal daripada perkataan “idea” yang bermaksud “dunia dalam jiwa”, yang mana menurut Plato, menekankan perkara-perkara yang bersifat “idea” dan seringkali memperlekehkan perkara-perkara yang bersifat “kebendaan” dan “fizikal”. 

Manakala “uslub” pula ialah perkataan dari bahas Arab yang “jalan”, “cara” atau “metode”.

Baru-baru ini, satu tulisan telah dikeluarkan oleh bekas perdana menteri merangkap bekas naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakub, mengenai keadaan parti tersebut khasnya pasca Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) yang tamat baru-baru ini.

Keputusan PRN15 menyaksikan Umno kalah teruk di mana parti tersebut hanya mampu menang sebanyak 19 kerusi sahara daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Tulisan Ismail Sabri dalam akhbar Utusan Malaysia kelmarin, “Apa makna PRN ini kepada UMNO?”, menjadi topik perbincangan hangat.

Keras tulisan Ismail Sabri. Antaranya mengenai kemarahan orang Melayu kepada Umno yang bertambah marak seperti api membakar jerami sebagai manifestasi kemarahan serta kebencian pengundi Melayu malah terdapat dalam kalangan pendukung serta ahli parti.

Kesimpulan Ismail Sabri ringkas, punca yang sebenar penolakan pengundi Melayu bila mereka mentafsirkan Umno telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal sehingga parti itu kini terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mencapai kemenangan.

Justeru, mengikut beliau, Umno memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif yang boleh diterima oleh rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

Malangnya ada pemimpin Umno yang bersikap defensif dengan perkara ini. Ada yang mengatakan Ismail Sabri silap dan gagal membezakan antara idealisme dan uslub politik Umno. Menurut beliau, Umno tidak pernah sesekali mengubah idealisme perjuangannya. Ia masih kekal dengan dasar perjuangan Melayu dan Islam.

Apa yang berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub) yang dikatakan boleh berubah mengikut keperluan semasa. Menyertai kerajaan campuran yang turut disertai DAP tidak ada kena mengena dengan idealisme tetapi adalah uslub perjuangan.

Memang betul jika dilihat dalam Perlembagaan Umno, ia masih kekal dengan dasar perjuangan Melayu dan Islam. 

Bagaimanapun orang Melayu tidak melihat kepada apa yang tertulis dalam Perlembagaan Umno tetapi memerhati tindak-tanduk parti itu.

Mereka berpendapat tindak-tanduk Umno kebelakangan ini semacam tidak selari dengan dasar ini. Sejak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi sebenarnya perkara ini dipersoalkan bila ada ura-ura kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH).

Jika dilihat kepada kandungan manifesto BN dalam PRU 15 pun komitmen Umno kepada dasar perjuangan Melayu dan Islam sudah menjadi persoalan. 

Ada 13 tawaran utama di dalam manifesto BN dan tidak ada satu pun daripadanya yang menjaga kepentingan umat Melayu.

Tawaran kesembilan di dalam manifesto BN ini paling jelas bercanggah dengan perjuangan Umno, bertajuk “Mengamalkan Dasar Berasaskan Keperluan”, berbunyi BN akan “memastikan keseimbangan dan keadilan sosial melalui peralihan daripada dasar berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan”.

Tambah hangat lagi bila Khaidhirah Abu Zahar membuat hantaran di Instagram miliknya berbunyi “Masih terngiang-ngiang di telinga, jelas di mata… suara-suara pemimpin Umno yang memperlekehkan kepentingan orang Melayu Islam di Malaysia ini dalam meeting (mesyuarat) MKT (23 November 2022)” disertai petikan ayat difahamkan daripada pemimpin Umno berbunyi “Tak perlu dah jaga orang Melayu ini.”

Kerjasama dengan DAP mengesahkan idealisme perjuangan Umno telah digantung dan dipesongkan. Ini kerana agenda DAP, Malaysian Malaysia, jelas memperjuangkan kesamarataan dan sehingga ke hari ini DAP tidak pernah menarik balik agenda tersebut.

Orang Melayu melihat kepada tindakan, bukan pengucapan. Di sini jentera penerangan Umno lemah. Tidak ada penerangan yang tersusun bagaimana penyertaan Umno dalam kerajaan campuran akan memartabatkan kedudukan Melayu-Islam di negara ini.

Selagi orang Melayu tidak dapat diyakinkan mengenai perkara ini, sukar untuk mereka menerima bahawa uslub yang diguna pakai oleh Umno sekarang akan membolehkan ia kekal dengan idealisme asalnya, sebaliknya mereka lebih cenderung dengan pandangan Shamsul Amri Baharuddin yang lantang berhujah bahawa Umno kini lebih kepada menjaga kepentingan kelompok tertentu, bukan idealismenya.

Muhammad Afifi Abdul Razak ialah penganalisis politik.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.