- Iklan -
Rencana

Keputusan PRN jejas legitimasi kerajaan campuran untuk terus memerintah

Keputusan ini adalah jelas ke mana sokongan pengundi khususnya orang Melayu dan Cina.

Jayum Jawan
4 minit bacaan
Kongsi

Rakyat di Semenanjung Malaysia sudah membuat keputusan jelas mengenai siapa yang akan mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Keputusan ini adalah jelas ke mana sokongan Melayu dan Cina khasnya telah diberikan.

PRN 2023 bukan saja penting bagi rakyat di enam negeri memilih wakili rakyat mereka, tetapi implikasi lebih besar ialah PRN 2023 adalah ujian ke atas sokongan rakyat Semenanjung khasnya orang Melayu kepada kerajaan campuran dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Umumnya, atas permukaan keputusan PRN kali ini memperlihatkan kedudukan sama atau status quo dari segi siapa kembali memerintah di enam negeri. 

PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah kembali semula memerintah dengan memperoleh majoriti cukup di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. 

Sementara itu PN yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan kembali memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Jadi, apa yang berubah? Semacam tidak ada yang berubah tetapi apabila kemenangan setiap blok yang bertanding dikaji dengan sedikit mendalam, maka perubahan daripada segi siapa menang dan siapa kalah menjadi ketara dalam PRN.

Di Kelantan, PN menendang keluar PH dan sekutunya. Dari 37 kerusi yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PN hampir menyapu bersih 45 kerusi. 

Dua kerusi gagal dimenangi, tetapi jumlah 43 itu melebihi paras dua pertiga dan lebih baik daripada prestasinya pada PRU14 di mana PAS hanya menang 37 kerusi. 

Di Terengganu, PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi yang ada di negeri berkenaan apabila ia merampas 10 kerusi yang dahulunya dimenangi oleh BN. 

Di Kedah, PN juga menunjukkan prestasi yang meningkat. Dari 20 kerusi yang dimenangi pada PRU14, PN menawan 33 kerusi, meninggalkan 3 kerusi saja kepada PH-BN.

Di tiga negeri yang mereka kuasai sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, prestasi PN meningkat. 

Ketiga-tiga negeri adalah negeri Melayu yang mempunyai lebih 75% penduduk Melayu seperti di Kedah dan setinggi lebih kurang 95% di Kelantan dan Terengganu.

Di tiga negeri yang dikuasai PH, PN menunjukkan prestasi meningkat. 

Di Selangor, PN hanya ada satu kerusi pada PRU14 tetapi pada PRN kali ini, PN menang 22 kerusi. Ini agak luar biasa dan pasti membanggakan. 

Di Pulau Pinang, PN ada satu kerusi pada PRU14 tetapi jumlah itu telah meningkat kepada 11 pada PRN.

Begitu juga di Negeri Sembilan di mana PN tidak mempunyai sebarang kerusi pada PRU14 tetapi pada PRN kali ini mereka menang lima.

Justeru, walaupun kedua-dua blok parti bertanding itu mengekalkan kerajaan negeri masing-masing, tetapi peralihan sokongan dari jumlah kerusi negeri yang bergerak antara kedua-dua blok parti itu menunjukkan bahawa PN menang moral dan sebenarnya mengatasi PH dan sekutunya dalam kerajaan campuran.

Keputusan PRN menunjukkan dengan jelas beberapa perkara dan andaian umum yang semua sudah maklum. 

Pertama, Melayu di Semenanjung Malaysia mengatakan bahawa kerajaan campuran tidak didukung oleh majoriti Melayu Semenanjung yang merupakan masyarakat rakyat majoriti Malaysia. 

Kedua, Melayu di Semenanjung Malaysia juga berkata bahawa mereka tidak mahu bukan Melayu menjadi tunjang sebuah kerajaan kerana ini mencabar kedaulatan politik demokrasi berasaskan politik dominasi Melayu. 

Dalam konteks ini, mereka khuatir arah tuju Kerajaan Malaysia akan dikawal atau dipengaruhi oleh bukan Melayu.

Ada segelintir pengulas politik mengatakan bahawa PRN 2023 tiada kaitan dengan Kerajaan Perpaduan.

Sebenarnya, ini pandangan yang tidak tepat. Pilihan raya ada kaitan dengan semua hal berkaitan parti, kuasa dan kerajaan. Ini adalah kerana blok yang sama bertanding untuk mendapatkan sokongan. 

Justeru, keputusan dari segi jumlah kerusi naik atau susut menunjukkan pasang surut sokongan.

Daripada keputusan PRN yang menunjukkan peningkatan sokongan Melayu di Semenanjung Malaysia kepada PN, maka sudah dijangkakan bahawa PN akan menuntut dua hal. 

PN mendesak supaya Kerajaan Perpaduan berundur berasaskan mandat baharu Melayu Semenanjung atau menuntut supaya Parlimen dibubarkan supaya rakyat menentukan sokongan berasaskan sentimen yang ditunjukkan dalam PRN.

Legitimasi untuk terus memerintah oleh kerajaan campuran terjejas dengan keputusan PRN. 

Keputusan ini memberi kesan kepada legitimasi dan integriti untuk terus berpegang kepada kuasa dalam keadaan sokongan sudah susut dengan jelas dari para pengundi yang sama yang telah bersuara dalam platform sama, iaitu pilihan raya, walaupun dua pilihan raya berbeza menentukan kerajaan di dua peringkat yang berlainan.

Melayu akar umbi di Semenanjung sudah bercakap dengan jelas siapa pilihan mereka. Dari sudut parti, paling jelas mereka menolak Umno yang mengulangi kekalahan teruk pada PRU15. 

Malah lebih teruk kali ini kerana Umno kalah di 89 kerusi dan hanya menang 19 kerusi berbanding 43 kerusi sebelumnya. 

Umno mendapat markah gagal, 17.6%. Ia mengalami “total wipe-out” di Terengganu dan Kedah serta sagu hati satu kerusi di Kelantan dan dua kerusi di Pulau Pinang. Satu-satunya negeri yang tidak terkesan teruk ialah Negeri Sembilan, menang 14 kerusi dan kalah tiga.

Umno perlu reformasi radikal jika mahu terus hidup. Sudah ada suara mendesak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan.

Idris Jusoh, bekas menteri besar Terengganu, sudah menyuarakannya. Anwar tiada pilihan lain. 

Jika beliau menghalang perubahan ini dari berlaku PH juga akan terheret turun sama dalam PRU16.

Jayum Jawan adalah profesor di Universiti Putera Malaysia (UPM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.