- Iklan -
Rencana

Pertuduhan terhadap Muhyiddin cacat, perlu dibatalkan

Ini kerana pasukan pendakwaan dilihat gagal mengemukakan sebarang ‘authority’ untuk pertimbangan hakim.

Marzuki Mohamad
6 minit bacaan
Kongsi

Pada 12 Julai 2023, berlangsung pendengaran permohonan Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta bagi sekutunya iaitu Bersatu.

Kesemua wang ini dimasukkan terus ke akaun Bersatu, bukan akaun peribadi Muhyiddin.

Saya hendak jelaskan sedikit hujah-hujah pasukan peguam bela Muhyiddin untuk menyokong permohonan ini dalam bahasa yang mudah.

Ada dua perkara utama yang dihujahkan.

Pertama, Muhyiddin dituduh di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) yang menyatakan: “Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan”. 

Menurut seksyen 23(2) akta sama, pegawai awam itu pula dianggap menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan apabila dia membuat apa-apa keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mengenainya pegawai itu, atau mana-mana saudara atau sekutunya, mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. 

Ini bermakna, pihak pendakwaan mesti menyatakan di dalam pertuduhan apa keputusan atau tindakan yang diambil oleh Muhyiddin yang boleh dianggap menggunakan jawatan atau kedudukannya. 

Pasukan peguam bela memberi contoh pertuduhan ke atas Najib Razak yang dengan jelas menyatakan keputusan atau tindakan yang diambil oleh beliau dalam kes menerima suapan daripada dana SRC International.

Malangnya, pertuduhan ke atas Muhyiddin tidak menyatakan apakah keputusan atau tindakan yang diambil oleh beliau untuk dianggap telah menggunakan jawatan atau kedudukannya bagi tujuan menerima “suapan” untuk parti Bersatu. 

Justeru, pasukan peguam bela berhujah pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat dan hendaklah dibatalkan kerana bercanggah dengan peruntukan seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah yang menghendaki sesuatu pertuduhan mengandungi butir-butir cara mana kesalahan itu telah dilakukan.

Pasukan pendakwaan pula berhujah mereka tidak perlu menyatakan dalam pertuduhan apa “keputusan atau tindakan” yang dibuat oleh Muhyiddin. 

Hakim bertanya sama ada mereka mempunyai sebarang “authority” atau contoh kes yang diputuskan sebelum ini untuk menyokong hujah mereka. Mereka jawab tiada.

Dalam mana-mana perbicaraan di mahkamah, hujah yang dikemukakan oleh peguam mestilah bersandarkan kepada undang-undang atau “authority” yang sah. 

Dalam kes ini nampaknya pasukan pendakwaan gagal mengemukakan sebarang “authority” untuk pertimbangan hakim.

Keduanya ialah takrifan sekutu. Ini kerana Muhyiddin tidak dituduh menerima suapan bagi dirinya. Beliau dituduh menerima suapan bagi sekutunya iaitu Bersatu.

Ini berbeza dengan kes Najib. Beliau dituduh menerima suapan bagi dirinya. Ada bukti wang SRC International masuk ke dalam akaun peribadinya, dan wang itu digunakan untuk perbelanjaan peribadi.

Begitu juga kes Ahmad Zahid Hamidi. Ada bukti duit Yayasan Akal Budi digunakan untuk tujuan peribadi.

Dalam kes Muhyiddin, wang sumbangan politik masuk ke dalam akaun Bersatu. 

Tidak ada satu sen pun masuk ke dalam akaun peribadinya atau digunakan untuk tujuan peribadi. 

Jika ada tentu sekali pihak SPRM telah menemui buktinya kerana agensi anti rasuah itu telah merampas penyata akaun bank Bersatu dan juga semua lejer parti itu.

Persoalan yang dibangkitkan oleh pasukan peguam bela ialah adakah Bersatu boleh ditakrifkan sebagai sekutu Muhyiddin menurut Akta SPRM? Ini penting kerana pertuduhan ke atas Muhyiddin di bawah Seksyen 23 Akta SPRM ialah menerima suapan bagi sekutunya iaitu Bersatu.

Pihak pendakwaan bergantung kepada takrifan sekutu di bawah Seksyen 3 Akta SPRM iaitu “mana-mana organisasi yang orang itu, atau mana-mana penamanya, menjadi pekongsinya, atau orang yang bertanggungjawab bagi atau mengawal, atau yang mempunyai kepentingan mengawal dalam, perniagaannya atau hal ehwalnya”.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa Bersatu adalah sebuah organisasi menurut takrifan sekutu di bawah Seksyen 3 Akta SPRM. 

Mereka memberi contoh maksud organisasi dalam kamus-kamus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang mengatakan parti politik adalah sebuah organisasi. 

Mereka juga memberi contoh nama parti-parti politik seperti United Malays National Organization (Umno) yang menggunakan perkataan organisasi. 

Begitu juga United Progressive Kinabalu Organization (Upko) yang juga menggunakan perkataan organisasi. 

Maka, bagi mereka, Bersatu sebagai parti politik adalah sebuah organisasi yang termasuk di dalam takrifan sekutu menurut Seksyen 3 Akta SPRM.

Hujah pertama menggunakan takrifan kamus memang boleh diterima dalam undang-undang. Tetapi jika terdapat takrifan dalam akta yang berbeza dengan takrifan di dalam kamus, makan takrifan dalam akta hendaklah diguna pakai.

Hujah kedua yang bersandarkan contoh nama-nama parti yang menggunakan perkataan organisasi pada namanya untuk menyokong hujah bahawa parti politik adalah “organisasi” menurut Seksyen 3 Akta SPRM bagi saya agak lemah. Kenapa saya kata lemah?

Kita ambil contoh secara logik saja. Misalnya, kalau orang itu bernama Raja Arif, adakah dia seorang Raja atau Sultan yang berdaulat? Tidak ada seorang pun Raja atau Sultan yang bernama Raja Arif di negara kita. Apalagi kalau namanya Rajagopal. Sah-sah bukan raja.

Jadi mahkamah hendaklah melihat kepada takrifan “organisasi” menurut undang-undang bukan contoh-contoh yang boleh dipersoalkan.

Pasukan peguam bela berhujah bahawa Bersatu sebagai sebuah pertubuhan politik tidak boleh dianggap sebagai “organisasi” menurut takrifan sekutu di bawah Seksyen 3 Akta SPRM.

Kenapa?

Pertama, Bersatu adalah sebuah “pertubuhan” yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. 

Dalam Akta SPRM, perkataan “pertubuhan” (society) dan “organisasi” (organization) digunakan secara berasingan yang bererti kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang berbeza dan tidak boleh dianggap sebagai perkara yang sama atau sinonim.

Pasukan peguam bela menggunakan kaedah dan peraturan pentafsiran statut yang jelas iaitu apabila Parlimen menggubal sesuatu Akta, setiap perkataan yang digunakan dalam akta itu mempunyai maknanya yang tersendiri. 

Prinsip undang-undang yang diguna pakai ialah “Parliament does not legislate in vain”.

Maknanya, jika ada dua perkataan berbeza yang digunakan di dalam sesuatu Akta, kita tidak boleh kata dua-dua tu sama saja.

Jadi, bagi pasukan peguam bela, Bersatu tidak boleh dianggap sebagai “sekutu” menurut Seksyen 23 Akta SPRM kerana ia adalah sebuah “pertubuhan” bukan “organisasi” yang termasuk dalam takrifan “sekutu” menurut Seksyen 3 akta yang sama.

Kedua, “organisasi” yang termasuk dalam takrifan sekutu juga mempunyai ciri-ciri sebuah badan komersil yang berasaskan keuntungan, sedangkan Bersatu adalah sebuah badan politik yang tidak berasaskan keuntungan. 

Saya tulis sekali lagi takrifan sekutu menurut Seksyen 3 Akta SPRM: “mana-mana organisasi yang orang itu, atau mana-mana penamanya, menjadi pekongsinya, atau orang yang bertanggungjawab bagi atau mengawal, atau yang mempunyai kepentingan mengawal dalam, perniagaannya atau hal ehwalnya”.

Perkataan penama adalah perkataan yang biasanya digunakan bagi sebuah syarikat perniagaan. Bersatu sebagai sebuah parti politik tidak ada penama.

Perkataan pekongsi adalah perkataan yang biasanya merujuk kepada syarikat atau firma yang ditubuhkan oleh rakan-rakan kongsi. 

Rakan-rakan kongsi ini pula mempunyai jumlah saham yang tertentu di dalam syarikat. 

Bersatu sebagai sebuah parti politik tidak ditubuhkan oleh rakan-rakan kongsi. 

Ia ditubuhkan oleh pengasas-pengasas parti dan mereka semua tidak ada saham di dalam parti. 

Bersatu ada tujuh orang pengasas, enam daripadanya telah tidak lagi menjadi ahli Bersatu. 

Mereka tidak menjual “saham” mereka di dalam Bersatu ketika keahlian mereka terlucut. 

Ini bermakna mereka tidak ada kepentingan komersil di dalam Bersatu. Sedangkan organisasi yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM mempunyai sifat komersil.

Perkataan kepentingan mengawal yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada pemegang saham majoriti dalam sesebuah syarikat. 

Sebagaimana yang saya jelaskan di atas, Muhyiddin sebagai pengasas Bersatu tidak ada “saham” dalam Bersatu. 

Macam mana hendak kata beliau ada “controlling interest”? Dia seperti ahli-ahli parti yang lain hanya mempunyai satu undi saja dalam parti. 

Kalau ada pemilihan parti undinya dikira satu saja. Begitu juga dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. 

Walaupun Muhyiddin adalah presiden, kalau ada pengundian dalam mesyuarat, undi Muhyiddin dikira satu undi saja. Perlembagaan Bersatu tidak memberikan presiden kuasa mengawal atau kuasa veto dalam mengurus hal ehwal parti.

Yang paling jelas ialah perkataan perniagaan. Perkataan perniagaan ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM iaitu: “apa-apa kegiatan yang dijalankan bagi maksud mendapat laba atau untung dan termasuklah segala harta yang didapati daripada, atau yang digunakan dalam atau bagi maksud penjalanan kegiatan itu, dan segala hak dan liabiliti yang berbangkit daripada kegiatan itu”. 

Sahlah perkataan perniagaan ini merujuk kepada organisasi yang menjalankan aktiviti perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan. 

Bersatu adalah pertubuhan politik bukan organisasi perniagaan. 

Menurut Fasal 24(1) Perlembagaan Bersatu, sumber kewangan Bersatu adalah daripada yuran ahli dan derma, bukan daripada aktiviti perniagaan.

Berdasarkan fakta-fakta ini, dengan disokong oleh “authority” dari segi undang-undang (banyak kes-kes yang dinyatakan oleh pasukan peguam bela sebagai panduan untuk hakim membuat keputusan) pasukan peguam bela berhujah bahawa Bersatu tidak boleh ditakrifkan sebagai “sekutu” di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 23 Akta SPRM.

Maka dengan itu, pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat dan bukan satu kesalahan yang diketahui di bawah undang-undang.

Dalam perkataan yang mudah, Muhyiddin tidak melakukan apa-apa kesalahan dan pertuduhan ke atasnya hendaklah dibatalkan.

Maka, terserahlah kepada Yang Arif Hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan dan prinsip undang-undang yang diterima pakai.

Marzuki Mohamad adalah bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.