- Iklan -
Rencana

Kit Siang bukan demokrat tulen

Adalah tidak masuk akal permintaan Lim Kit Siang agar pemimpin pembangkang mengisytiharkan untuk menolak usaha menukar kerajaan.

Mahdzir Ibrahim
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama

“Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ‘mengisytiharkan’ mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada sebarang rancangan untuk menjatuhkan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Demikian laporan berita mengenai kenyataan Lim selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman memuat naik angka 126.

Hal ini dihangatkan lagi apabila muncul poster dan tangkap layar berkaitan calon perdana menteri dan gerakan untuk menukar kerajaan PH.

Bagi saya, perkara ini hanya ‘lelucon’ politik, namun bagi Lim ia seperti suatu perkara yang amat serius hingga dia membuat kenyataan yang gopoh.

Adalah tidak masuk akal permintaan Lim agar pemimpin pembangkang mengisytiharkan untuk menolak usaha menukar kerajaan.

Menukar kerajaan adalah amalan demokrasi, ia bukan suatu jenayah apatah lagi suatu tindakan tidak bermoral. Jika Lim seorang demokrat yang tulen, dia pasti faham ranah politik ini.

Mereka yang pernah berniat menukar kerajaan sebelum ini, akan merasa bimbang kerajaannya tumbang. Orang ini akan menjadi “paranoid” dengan perkembangan sekeliling.

Mereka yang sudah biasa membuat demonstrasi jalanan, akan mencari pelbagai alasan untuk tidak membenarkan lawannya berbuat yang sama untuk memprotesnya.

Buktinya, Anwar begitu menggelabah apabila acara Proklamasi Orang Melayu hendak dilancarkan hingga meracau dalam ucapan ceramahnya.

Jika Kit Siang lupa, mari saya ingatkan. Pada Rabu 23 September 2020, dalam sidang media Anwar Ibrahim mengumumkan beliau sudah mempunyai sokongan majoriti untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Mengapa ketika itu, Lim berdiam diri dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar itu? Mengapa beliau tidak mengecam tindakan Anwar itu? Bukankan tindakan itu untuk menggugat kestabilan kerajaan ketika menghadapi pandemik?

Tetapi mengapa kali ini, apabila ada ura-ura pihak mahu menukar kerajaan Anwar, Lim melenting?

Sikap Lim yang hipokrit ini makin terserlah apabila beliau berdiam diri apabila Umno memutuskan untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar mengampunkan Najib Razak yang didapati bersalah oleh 13 hakim.

Lim yang lantang ini, rupanya menikus dan berdiam diri dalam isu ini. Adakah beliau bersetuju dengan usaha Umno itu? 

Atau Lim takut dimarahi Umno dan Zahid Hamidi sepertimana Khalid Samad dan Amanah diherdik Umno hingga memohon ampun dan maaf?

Lim juga senyap sunyi apabila wakil kerajaan iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying gagal menjawab soalan di Parlimen pada 27 Mac lalu? 

Sebelum ini, Lim cukup tegas dan suka menegur jika ada wakil kerajaan Umno/BN tidak hadir sidang dewan atau gagal menjawab soalan dewan. Pasti sidang media akan diadakan mengecam situasi itu.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman, Lim harus konsisten dan berjiwa besar menghadapi dinamika politik. 

Jangan ada sikap “double standard” – kami boleh, kamu tidak. Sikap Lim ini menunjukkan beliau bukan seorang demokrat tulen.

Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.