- Iklan -
Rencana

PH jangan hina penjawat awam

Reformasi bagi DAP hanyalah istilah untuk halalkan rombakan asas kenegaraan dan perlembagaan negara, kata Radzi Jidin.

Radzi Jidin
2 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.

Saya membaca tulisan P Ramasamy bertajuk "Ossified public service badly in need of reform". Dalam ayat mudahnya Ramasamy berkata perkhidmatan awam Malaysia telah lapuk atau tepu dan amat-amat perlu direformasikan.

Tulisan P Ramasamy mengaitkan bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh orang Melayu adalah punca yang menyebabkan perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu. Beliau seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan.

Jadi hujah P Ramasamy ialah: perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu — puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu – penyelesaiannya ialah untuk kerajaan PH pimpinan Anwar Ibrahim pecahkan dominasi tersebut.

Ini satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu!

Namun, saya tidak terkejut dengan kenyataan P Ramasamy. Itulah suara hati DAP yang kita tahu amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu. Apabila DAP menguasai kerajaan, sudah tentulah usaha untuk memecahkan dominasi ini menjadi tumpuan utama mereka.

Perjuangan rasisme atau perkauman melampau sebegini jika tidak dibentung boleh menghancurkan masa depan tanah air yang tercinta ini.

Walaupun DAP cuba menunjukkan kononnya mereka bersemangat Malaysia dan menghormati masyarakat pelbagai kaum, sikap rasis itu ternyata masih amat tebal dalam diri mereka.

Adakah perkhidmatan awam di Malaysia menindas kaum bukan Melayu? Saya fikir kalau benar begitu, P Ramasamy pun tak boleh jadi Professor di UKM kerana UKM “didominasi” oleh orang Melayu. Selain P Ramasamy, ramai juga professor bukan Melayu di UKM, iaitu sebuah universiti yang ditubuhkan atas semangat kebangsaan Melayu.

Begitu juga di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang lain. Ramai pegawai bukan Melayu diterima masuk dalam perkhidmatan awam dan dinaikkan pangkat atas merit serta kecemerlangan perkhidmatan mereka. Ada yang jadi KSU, TKSU, ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah. Ada juga yang menjadi SME dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini bukan perkara baharu.

Sekarang P Ramasamy mahu kerajaan campuran PH-BN ini melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam. Kita tahu reformasi bagi DAP hanyalah istilah untuk menghalalkan rombakan besar-besaran kepada asas-asas kenegaraan dan perlembagaan negara yang telah sekian lama menjadi pasak yang mengekalkan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Seperti yang dijangka, Anwar Ibrahim tentunya tidak akan "reprimand" P Ramasamy. Kata beliau sepertimana yang dipetik Malaysiakini, "Tapi kita jangan melarang orang bercakap, memberi pandangan. Boleh (beri pandangan) tapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan,".

Perdana menteri tentunya sukar untuk berkeras dengan DAP kerana parti tersebut mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan campuran PH-BN. Keberadaan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri adalah atas ihsan DAP. Maka untuk kekal sebagai perdana menteri, hubungan dengan DAP serta aspirasi parti itu mestilah diberi keutamaan.

Cuba bayangkan sekiranya perkara yang menyentuh kaum lain disentuh oleh pemimpin Perikatan Nasional, tentulah berduyun-duyun pemimpin gabungan PH-BN akan menuduh Perikatan sebagai rasis. Tapi bila Abang Besar DAP bersuara yang jelas bersikap perkauman, tiada pula yang kata Abang Besar ini rasis!

Cuma saya nak cakap, kita boleh baca “grand design” kerajaan PH yang di dalamnya ada DAP ini.

Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya!

Radzi Jidin adalah ahli Parlimen Putrajaya.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow