- Iklan -
Kolum

Apabila dunia terpukau dengan Jacinda Ardern

Dua faktor yang terus menarik perhatian dunia ialah usia dan jantinanya.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pada Khamis lalu dunia dikejutkan dengan berita bahawa Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern akan meletakkan jawatan pada bulan depan. 

Berita ini disiarkan oleh semua stesen televisyen antarabangsa utama:  NHK, France24, DW, ABC, CNA, CGTN, Wion, Al-Jazeera dan BBC. 

Mengapakah berita mengenai peletakan jawatan seorang perdana menteri dari sebuah negara kecil di penjuru bumi ini begitu menarik perhatian dunia?

New Zealand hanya ada lima juta penduduk dengan dua pulau utama, North Island dan South Island. 

Kambing biri-biri di sana tentunya lebih  banyak daripada penduduk. 

Nama pulau-pulau itu pun tidak unik, hanya disebut sebagai pulau utara dan pulau selatan. 

Tetapi hampir kebanyakan penduduk New Zealand tinggal di pulau utara walaupun pulau selatan lebih besar. 

Tetapi South Island amat sejuk pada musim dingin. 

Ia menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia pada musim panas dan merupakan antara tempat paling cantik di dunia.

New Zealand terletak tidaklah strategik dari segi tempat laluan kapal-kapal antarabangsa. 

Ia juga tidak mempunyai negara-negara jiran yang boleh menjadi ancaman kepadanya. 

Cumanya kedudukan New Zealand yang berhampiran dengan benua Antartika dan pulau-pulau kecil di Lautan Pasifik boleh memainkan peranan dalam persaingan kuasa-kuasa besar.

Tetapi minat dunia terhadap berita mengenai peletakan jawatan perdana menteri itu bukanlah terhadap negara New Zealand.

Ia lebih kepada ketokohan Ardern itu sendiri. 

Sejak beliau menjadi ketua kerajaan pada tahun 2017, Ardern muncul sebagai seorang ahli politik yang popular bukan saja bagi negaranya tetapi juga dunia.

Dua faktor yang terus menarik perhatian dunia ialah usia dan jantinanya. 

Pada usia 37 tahun, Ardern muncul sebagai perdana menteri wanita paling muda New Zealand. 

Sementara ketua kerajaan wanita paling muda dunia ialah Sanna Marin yang berusia 34 tahun ketika menjadi perdana menteri Finland.

Persamaan Finland dengan New Zealand ialah kedua-duanya merupakan negara sejuk yang terletak di hujung dunia dan hampir dengan kutub. 

Bezanya Finland bersempadankan Rusia yang sentiasa boleh menjadi ancaman padanya.

Finland adalah sebahagian daripada rantau Nordic yang juga terdiri daripada negara-negara Scandinavia iaitu Sweden, Norway, Denmark dan Iceland. 

Di mata dunia,  rantau ini dan juga New Zealand merupakan negara-negara maju, aman, stabil, berkebajikan dan beretika yang menjadi idaman ramai orang untuk dijadikan model.

Tentulah apa yang menjadikan negara-negara itu sedemikian bukanlah kerana kedudukan geografi, iklim dan cuacanya tetapi lebih kepada sikap dan perawakan kebanyakan penduduknya. 

Mereka bukan saja mampu mewujudkan sistem demokrasi yang memberikan kestabilan dan pentadbiran yang berkesan, tetapi dapat juga melahirkan pemimpin seperti Ardern. 

Maknanya trend dunia pada masa akan datang ialah lebih banyak pengundi yang akan cenderong untuk memilih pemimpin muda dan dari kalangan wanita.

Tetapi populariti Ardern pada mata dunia bukan semata-mata kerana beliau adalah seorang wanita muda. 

Tindakan-tindakan politik beliau mendapat pujian. 

Bagi rakyat New Zealand, usaha beliau untuk menangani kemiskinan kanak-kanak serta merapatkan jurang pendapatan seperti meningkatkan gaji minimum memperoleh sokongan hingga beliau dan partinya iaitu Parti Buruh menang besar (landslide) dalam pilihan raya umum tahun 2020.

Bagaimanapun, dunia tentulah tidak mengambil perhatian sangat terhadap isu-isu domestik New Zealand. 

Apa yang menjadi perhatian dunia terhadap Ardern ialah bagaimana beliau menangani dua perkara, iaitu serangan pengganas pelampau kulit putih Australia ke atas dua masjid di Christchurch dan juga tindakan membendung wabak Covid-19 di New Zealand.

Bagi menangani kejadian serangan pengganas beliau memperkenalkan undang-undang keras terhadap senjata yang mudah memperoleh sokongan Parlimen. 

Sementara terhadap Covid-19, beliau berjaya menjadikan New Zealand sebagai negara pertama di dunia yang bebas daripada wabak itu.

Kejayaan-kejayaan itu memang mendapat pujian dunia tetapi beliau bertambah popular dengan cara berkomunikasinya. 

Ardern adalah seorang lulusan bidang komunikasi awam dengan pengkhususan pada politik. 

Cara beliau berjumpa dengan waris mangsa kejadian serangan masjid di Christchurch menarik perhatian dunia. 

Dengan bertudung dan memberi salam, beliau mengambil hati orang Islam di seluruh dunia yang menyaksikannya di kaca televisyen.

Dalam pada itu, kejayaan beliau menggunakan media massa dan media sosial semasa kempen pilihan raya tahun 2020 merupakan suatu pembaharuan yang disukai oleh pengundi New Zealand. 

Kini ketika kedudukan politik beliau dalam parti dan negara masih kukuh, maka pengumumannya hendak meletak jawatan adalah suatu yang mengejutkan bagi New Zealand dan dunia.

Pada usia 42 tahun, beliau masih mampu menjadi perdana menteri untuk waktu yang panjang. 

Bukan saja New Zealand yang kehilangan pemimpin tetapi dunia juga mungkin berasa kekurangan dengan ketiadaan beliau di pentas kekuasaan. 

Ketika mana di kebanyakan negara, seseorang penguasa amat sukar untuk melepaskan jawatannya, Ardern pula dengan senang menyerahkan kuasa. 

Mungkinkah ini merupakan suatu etika politik baru?

Ardern menjelaskan bahawa sebab beliau meletak jawatan adalah kerana dirasakan sudah kehabisan tenaga untuk terus memegang amanah dan tanggungjawab yang berat sebagai perdana menteri. 

Maknanya beliau penat. Mungkinkah beliau terlalu aktif dan lincah dalam melaksanakannya hingga beluau berasakan sudah kehabisan tenaga? 

Kalau beliau tidak bekerja bersungguh-sungguh, mungkin tidaklah cepat penat. 

Ardern mula aktif pada usia yang amat muda iaitu ketika berumur 17 tahun apabila beliau menyertai Parti Buruh.

Para penganalisis menyatakan bahawa dari tinjauan umum, populariti beliau dalam negara menurun sejak beberapa bulan lalu.

Cabaran yang beliau hadapi ialah krisis perumahan. 

Mereka beranggapan bahawa sebab inilah kemungkinannya yang mendorong beliau meletak jawatan supaya Parti Buruh dapat memilih pemimpin lain bagi mengelak ia kalah dalam pilihan raya akan datang.

Para pengundi New Zealand tidak terikat pada parti dan ideologi. 

Sebelum munculnya Ardern, Parti Buruh kalah pada dua penggal. 

Kemunculan Ardern menambah kerusi partinya. 

Ini bernakna pengundi memilih personaliti daripada parti.

Bagaimanapun, Ardern tidaklah boleh melaksanakan semua kehendak ideologinya, iaitu demokrasi sosial tetapi terpaksa juga berkompromi dan menangguhkan sebahagian agendanya menurut rentak kehendak para pengundi.   

Antaranya untuk mengenakan cukai harta dan cukai modal kerana ia ditentang oleh sebahagian daripada pengundi.

Walaupun Ardern tidak dapat melaksanakan kesemua agendanya tetapi beliau menunjukkan bagaimana seorang demokrat sosial berpolitik pada abad ke-21 di sebuah negara maju.

Tetapi mereka yang terpukau pada Ardern dan New Zealand perlu ingat bahawa negara itu hanya mempunyai penduduk lima juta, iaitu lebih kurang seperti Singapura. 

Kebanyakan pengundinya pula merupakan keturunan Inggeris yang hidup dalam budaya demokrasi liberal. 

New Zealand pula dari segi ekonomi dan politik adalah sebahagian daripada dunia Barat yang maju dan menguasai dunia.

Negara-negara yang bukan sebahagian daripada dunia Barat tidak akan dapat mengikut jejak New Zealand atau Finland dan negara-negara Scandinavia. 

Sukar untuk mendapatkan seorang ahli politik yang dengan mudah melepaskan jawatan dengan alasan tidak lagi mampu untuk memikul tanggungjawab.