- Iklan -
Kolum

Apakah Khairy akan menjadi MB Negeri Sembilan?

Cabaran Khairy untuk menjadi MB Negeri Sembilan daripada BN adalah amat mencabar.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Hasrat Khairy Jamaluddin menjadi presiden Umno tahun ini nampaknya semakin jauh daripada gengaman. 

Ini susulan usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi presiden dan timbalan presiden berjaya “diluluskan” pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 baru-baru ini.

Usul tersebut mengukuhkan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan dalam Umno. 

Pada masa sama, ia melemahkan kedudukan Khairy dalam Umno.

Bukan itu sahaja, Khairy dijangka berdepan dengan tindakan disiplin ekoran dakwaannya wujudnya usaha membawa masuk perwakilan import bagi memastikan usul tambahan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi Umno dalam pemilihan akan datang, diluluskan dalam PAU 2022.

Meskipun begitu, persepsi umum terhadap Zahid, Mohamad dan Khairy di luar Umno dipercayai amat berbeza berbanding persepsi dalaman terhadap mereka.

Persepsi umum yang positif terhadap Khairy daripada rakyat jelata ekoran kecemerlangannya menjadi menteri kesihatan tempoh hari perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebelum terlambat.

Untuk menghidupkan karier politiknya selepas kekecewaan di Sungai Buloh dan PAU, Khairy kini perlu memindahkan fokusnya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sasaran Khairy hanya satu, menjadi menteri besar Negeri Sembilan selepas PRN tahun ini.

Jika Khairy berjaya menjadi menteri besar Negeri Sembilan, beliau sudah pasti dapat membalas jasa manis Mohamad yang "merampas" kerusinya di Rembau.

Kedua, beliau juga boleh mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zahid kerana memaksanya memilih laluan ini.

Cabaran Khairy untuk menjadi MB Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) adalah amat mencabar.

Ini kerana watikah calon BN perlu ditandatangani oleh Zahid.

Namun begitu, jika Khairy memilih mengikut langkah Shahidan Kassim, peluangnya untuk menjadi menteri besar Negeri Sembilan amat cerah.

Ini kerana Khairy kemungkinan besar akan mendapat sokongan daripada Perikatan Nasional (PN), rakyat Negeri Sembilan dan ahli dan pendokong Umno yang tidak senang dengan Mat Hasan dan Zahid. 

Khairy juga berpeluang memanfaatkan dan membesarkan lagi kebangkitan PN yang melanda seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebagaimana Dr Mahathir Mohamad yang mewujudkan Umno Baru susulan perpecahan Umno di 1988, Khairy adalah satu-satunya tokoh yang boleh berkemampuan mewujudkan Umno yang baru pada masa akan datang.

Akan tetapi buat masa ini, Khairy memerlukan satu jawatan penting untuk melonjakkan semula karier politiknya dan peluang terdekat beliau ialah berusaha menjadi menteri besar Negeri Sembilan tahun ini.