- Iklan -
Kolum

Mencantumkan semula rakyat selepas PRU15

Maka kerajaan baru perlu memikul tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan negara, sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pengundian sudah selesai dan kerajaan baru akan dibentuk. 

Pihak yang tidak menjadi kerajaan tentunya menjadi pembangkang. 

Walaupun rakyat mengharapkan kerajaan baru akan memimpin dan mentadbir dengan baik, pihak pembangkang bertanggungjawab juga  menyemak imbang untuk rakyat dan negara.

Asasnya selepas pilihan raya umum (PRU), rakyat wajar dicantumkan semula dan negara distabilkan. 

Kurangkan politiking sebab rakyat sudah penat berkempen selama dua minggu serta terbawa-bawa dengan aktiviti-aktiviti berpolitik sejak tiga tahun lalu.

Rakyat dan negara perlu ditenangkan untuk fokus membina negara. 

Pihak yang menang akan memikul tanggungjawab mandat rakyat yang dikejar-kejar selama ini, dan mereka perlu diberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakannya.

Dalam pada itu, pihak yang kalah kena menerima keputusan dengan hati terbuka dalam semangat demokrasi berparlimen.  

Dewan Rakyat merupakan tempat untuk mereka berperanan. 

Dalam pada itu, untuk meneruskan perjuangan politik, mereka patut kembali pada rakyat dengan membangun akar umbi parti. 

Bukan saja untuk persediaan bagi PRU akan datang apabila tamat tempoh penggal kelak tetapi juga menyampaikan mesej perjuangan parti pada orang ramai. 

Lagipun tahun depan akan diadakan pilihan raya negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.
 
Kerja perjuangan politik adalah berpanjangan dan bukan mengikut musim PRU. 

Ia tidaklah bermakna bahawa aktiviti politik dilakukan sepanjang masa oleh orang ramai.

Rakyat secara umumnya perlu berehat daripada kerja-kerja politik selepas pilihan raya kerana mereka memiliki kehidupan seharian yang mesti diteruskan. 

Tetapi bagi ahli politik dan aktivis, kerja mereka adalah sepanjang hayat. 

Kecuali jika mereka mengambil keputusan untuk bersara daripada politik. 

Maka untuk itu, mereka boleh melupakan politik terutamanya bagi calon-calon yang kalah dalam PRU lalu.

Bagi mereka yang tidak terlibat dengan politik secara langsung, tumpuannya adalah pada hal ehwal diri sendiri dalam kehidupan seharian. 

Iaitu untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan dalam keadaan ekonomi negara dan dunia masih mencabar. 

Masalahnya ialah kehidupan seharian rakyat sejak dari dahulu sentiasa berkait dengan politik semasa bukan saja di peringkat negara, tetapi juga dunia. 

Tidak kiralah sama ada negara sedang menghadapi pilihan raya atau tidak.

Rakyat yang baru lepas membuang undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini tidak dapat berbuat apa-apa ketika mana kerajaan baru baru ditubuhkan. 

Mereka harus kembali pada kehidupan seharian. 

Pada hari Isnin ini tentu mereka semua kembali bekerja atau berniaga. 

Dalam kalangan mereka pula ada yang tiada pekerjaan dan sedang mencari punca pendapatan tetap. 

Pengangguran atau bekerja di bawah kelayakan dengan gaji rendah adalah suatu cabaran negara ini.

Maka kerajaan baru perlu memikul tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan negara, sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat. 

Tanggungjawab perdana menteri dan Kabinet adalah berat. 

Selepas kempen PRU, semua ahli politik, sama ada yang menang dan kalah akan berasa kepenatan. 

Lebih-lebih lagi Disember pada hujung tahun adalah bulan cuti. 

Maka banyaklah mereka serta kaki tangan kerajaan akan mengambil cuti tahun.

Namun negara pada bulan Disember menghadapi musim monsun yang boleh membawa bencana banjir. 

Maka kakitangan kerajaan yang terlibat dengan agensi-agensi berkaitan termasuk polis, tentera dan bomba tidak akan merasa cuti hujung tahun. 

Begitu juga dengan ahli politik yang baru dipilih rakyat bagi kawasan-kawasan yang terlibat. 

Tentulah mereka tidak boleh membiarkan pengundi-pengundinya terkapai-kapai.

Sebenarnya ahli-ahli Parlimen tidak boleh berehat. 

Belanjawan 2023 perlu dibentangkan semula di Parlimen. 

Ia perlu dibahaskan dan mesti diluluskan dengan segera sebab tahun sudah berada di penghujungnya. 

Kalau belanjawan sebelum ini dianggap sebagai bajet pilihan raya, maka kini apa yang perlu dibentangkan dan dilaksanakan ialah belanjawan selepas pilihan raya, pastinya turut mengambil kira manifesto pihak pemenang.

Namun dengan banyak perkara perlu disegerakan, rakyat juga perlu rehat sebelum dapat disuntik dengan semangat baru. 

Dengan kesederhanaan, sekurang-kurangnya Disember ini merupakan bulan persediaan bagi menghadapi tahun 2023, dengan harapan ia akan menjadi tahun lebih baik daripada 2022, 2021 dan 2020.

Namun ada penganalisis ekonomi berkata bahawa 2023 tidak akan lebih baik daripada 2022.

Malah ia merupakan lanjutan daripada 2022 dan tahun-tahun sebelumnya yang penuh dengab pancaroba pandemik dan kesan ekonomi akibat pertelagahan abtara Barat dan Rusia.

Bagaimanapun, hidup wajar diteruskan dengan apa yang ada. 

Kerajaan baru perlu mengemudi negara di atas lautan bergelora.  

Dengan keadaan ini, sudah tentu tidaklah semudah seperti mana apa yang digariskan dalam manifesto. 

Pastinya banyak janji perlu diubah duai, atau langsung tidak dapat dilaksanakan. 

Kejayaan negara ini tidak bergantung semata-mata pada pemimpinnya. 

Bukan juga pada perkhidmatan awamnya. 

Setiap seorang warga negara bertanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. 

Daripada ahli akademik; ilmuwan, penyelidik, saintis, golongan korporat hinggalah usahawan perniagaan sederhana dan kecil. Juga para pekerja, peladang dan nelayan yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. 

Kata-kata ini adalah seperti apa yang diucapkan semasa menjelang Hari Kebangsaan untuk mengingatkan rakyat mengenai realiti negara dan menaikkan semangat nasional bagi kebaikan bersama. 

Tetapi PRU dan pembentukan kerajaan baharu yang berlangsung setiap lima tahun adalah suatu pernyataan semula rakyat yang lebih besar dan nyata berbanding Hari Kebangsaan.

Langkah pertama untuk menyumbang kepada negara selepas PRU adalah untuk meningkatkan perpaduan. 

Maksudnya mencantumkan semula rakyat dari pelbagai pendokong parti yang bertelagah semasa kempen untuk melupakan perkara itu dan meneruskan kehidupan biasa.

Kemudian, langkah selanjutnya ialah menilai semula apa yang ada dan hubungannya dengan realiti baharu negara yang memiliki kerajaan dengan mandat segar dari rakyat bagi lima tahun akan datang. 

Jadi, apakah rancangan yang boleh dibuat oleh setiap warga negara bagi lima tahun akan datang serta apa pula yang boleh dikaitkan dengan dasar-dasar dan program-program baru kerajaan?

Namun begitu, segala peristiwa yang berlaku sebelum dan selepas pilihan raya lalu wajar dijadikan pengajaran. 

Rakyat biasa mungkin tidak perlu ambil perhatian. 

Tetapi golongan yang berfikir dalam masyarakat, bukan saja ahli akademik tetapi juga mereka yang prihatin terhadap negara termasuk ahli politik, para aktivis, penulis dan wartawan kena mengambil iktibar terhadap perbahasan yang berlaku sepanjang kempen dan menjelang pembubaran Parlimen.

Selain daripada soal ekonomi dan geopolitik negara, Malaysia menghadapi masalah yang masih tidak terlerai secara baik. 

Ia merupakan soal kaum dan agama. 

Perkara ini dianggap selesai selepas tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. 

Ia lebih mantap dengan kemerdekaan negara pada tahun 1957, penubuhan Malaysia pada tahun 1963, pemisahan Singapura pada tahun 1965 dan akhirnya Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970. 

Setakat tahun-tahun itu, ia boleh dikatakan persoalan nasional sudah selesai. 

Tetapi ia selesai bagi zaman itu, iaitu pada generasi kemerdekaan.

Kini, 50 tahun kemudian, generasi sudah berubah. 

Malaysia dan dunia juga sudah berbeza khususnya mengenai persoalan nasional yang berkaitan agama dan kaum. 

Generasi hari ini mungkin tidak dapat menerima apa yang sudah diputuskan 50 tahun lalu.

Namun begitu, masalah-masalah ini biarlah diselesaikan oleh generasi sekarang, iaitu anak-anak muda hari ini.

Golongan warga emas hanya perlu melepaskan masalah ini pada generasi muda untuk tanganinya. 

Sementara pihak yang akan menyelesaikannya nanti adalah golongan pemikir dalam masyarakat. 

Bagi orang ramai yang lain, mereka hanya menjalankan kehidupan peribadi dan keluarga seperti biasa.