- Iklan -
Kolum

3 cabaran tahun depan untuk dihadapi kerajaan baru

Oleh kerana PRU15 akan diadakan, maka Malaysia pasti menerima sebuah kerajaan baru, tidak kiralah daripada parti atau gabungan apa.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Walaupun tahun 2022 masih berbaki kurang daripada tiga bulan, tetapi ramalan dan jangkaan mengenai apa yang akan berlaku pada tahun 2023 sudah dikeluarkan oleh badan-badan ekonomi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). 

Mereka memberi amaran kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi.

Maka sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini atau tahun depan, secara umumnya di seluruh dunia bersepakat bahawa 2023 adalah tahun mencabar. 

Oleh kerana PRU15 akan diadakan, maka Malaysia pasti menerima sebuah kerajaan baru, tidak kiralah daripada parti atau gabungan apa. 

Tetapi kerajaan baru itu tetap perlu menghadapi cabaran yang dijangka berlaku pada tahun 2023. 

Cabaran itu bukan saja perlu dihadapi tetapi juga mesti diatasi dengan jayanya.

Punca cabaran ini berada di luar kawalan kerajaan tetapi Malaysia memerlukan kebijaksanaan kepimpinan barunya untuk menghadapi dan mengatasinya. 

Maknanya bagi tahun 2023, usaha adalah untuk mengurangkan kesan daripada cabaran itu.

Tiga cabaran di peringkat dunia itu ialah kemerosotan pertumbuhan ekonomi, peningkatan pergolakan geopolitik dan perubahan iklim. 

Namun ketika mana pergolakan politik dan perubahan iklim sukar diramal tetapi jangkaan bagi keadaan ekonomi adalah jelas.

Kemerosotan pertumbuhan ekonomi dunia ini adalah disebabkan penurunan perdagangan antara negara yang dijangka berlaku pada tahun depan. 

Ia pula diakibatkan oleh suasana pasca pandemik Covid-19 dan perang di Ukraine.

Suasana pasca pandemik ini tentunya merupakan lanjutan daripada keadaan tahun 2022. 

Maknanya keadaan tahun 2022 inipun sudah tidak elok, dan tahun 2023 keadaan akan lebih buruk lagi. 

Contohnya pada tahun ini, inflasi sudah mula berlaku dengan kenaikan kadar faedah serta kemerosotan nilai mata wang tempatan.

Perang Ukraine yang mula berlaku pada tahun ini turut memberi kesan dalam bentuk dua aliran untuk tahun depan. 

Pertama, keadaan di sana tidak akan aman walaupun Rusia sudah mencapai matlamat perangnya dengan memasukkan empat wilayah Ukraine ke dalam kedaulatannya. 

Ukraine akan terus berusaha untuk menguasai kembali wilayahnya. 

Kedua, kesan perang Ukraine membawa peluasan pergolakan politik dunia iaitu pada asasnya adalah antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, tetapi akan turut melibatkan negara-negara Eropah dan China.

Pada penghujung tahun ini juga, sudah berlaku tindakan-tindakan ketenteraan oleh AS dan China di Asia Timur. 

Ia ditambah pula pelancaran misil balistik Korea Utara melintasi ruang udara Jepun untuk jatuh ke Lautan Pasifik dengan sasaran ke arah AS. 

Korea Utara dilihat sebagai sekutu China dan Rusia, sementara Korea Selatan dan Jepun adalah sekutu AS.

Suasana seperti ini menjejaskan keyakinan pelabur global. 

Begitu juga dengan sentimen industri dan akhirnya menjejaskan perdagangan. 

Dengan merosotnya perdagangan, ia akan mengurangkan pembelian dan penjualan.

Dengan keadaan yang tidak menggembirakan bagi manusia pada tahun 2023, ia ditambah pula dengan cabaran perubahan iklim. 

Ia berlaku seperti apa yang diramalkan oleh para saintis sejak 50 tahun lalu. 

Banjir yang dijangka berlaku pada bulan depan di negara ini boleh jadi adalah hanya merupakan kitaran cuaca biasa, tetapi keseriusannya mungkin kerana fenomena perubahan iklim juga.

Perubahan iklim ini pula terjadi antara lain kerana pemanasan global. 

Ia pula berkaitan dengan pelepasan terlalu banyak karbon dioksida daripada penggunaan bahan api fosil. 

Pertambahan pemanasan pula disumbangkan oleh penebangan pokok-pokok hutan yang juga banyak berlaku di negara ini.

Seperti mana negara-negara lain, Malaysia terpaksa juga menghadapi cabaran-cabaran ini. 

Tentunya negara ini tidak dapat berbuat apa-apa terhadap cabaran-cabaran global yang di luar kawalannya. 

Apa yang boleh dilakukannya hanyalah memberi sumbangan dalam negara supaya keadaan tidak lebih teruk lagi  Umpamanya pertumbuhan ekonomi dunia amat bergantung pada keadaan negara-negara besar seperti AS, China, Eropah, India dan Jepun. 

Malaysia hanya terapung-apung bergantung kepada mereka. 

Sungguhpun begitu, jika negara ini boleh mengatur pertumbuhan ekonominya dengan baik, maka ia merupakan sumbangan positif pada dunia.

Begitu juga dalam menghadapi kegentingan hubungan AS-Rusia dan AS-China. 

Malaysia perlu tetap bersikap berkecuali dalam persaingan itu walaupun tentunya negara ini lebih mesra dengan Barat.

Bukan saja bersikap berkecuali, Malaysia wajar aktif dalam kerangka Asean untuk menggunakan kaedah diplomasi supaya ketegangan AS-Rusia dan AS-China dapat dikendurkan demi kesejahteraan dunia. 

Inilah patutnya sumbangan negara kepada dunia.

Terhadap perubahan iklim, Malaysia juga mempunyai peranan atau lebih berat lagi, tanggungjawab bagi memberi sumbangan kepada dunia dalam soal alam sekitar. 

Walaupun negara ini kecil berbanding Indonesia, Congo dan Brazil tetapi kedudukan Malaysia dalam jalur hutan hujan tropika bumi menyebabkan ia wajar berperanan. 

Hutan hujan tropika Semenanjung Malaysia adalah kebih kecil daripada Sumatera. 

Tetapi ia sudah banyak digondolkan untuk industri, perbandaran, perladangan dan pembalakan. 

Tetapi hutan yang ada itu perlu dipertahankan dan dipelihara sebagai sumbangan negara pada kedudukan alam sekitar dunia. 

Begitu juga hutan hujan tropika di Sarawak dan Sabah. Walaupun hutan-hutan di sana adalah lebih kecil daripada apa yang ada di Kalimantan  tetapi ia tetap merupakan sebahagian daripada khazanah alam sekitar Borneo.

Hutan pulau Borneo seperti mana khazanah alam sekitar Amazon di Brazil dan Congo di Afrika merupakan jantung bumi yang mesti dipertahankan untuk mengurangkan pemanasan global.

Namun tugas berat oleh kerajaan baru Malaysia adalah lebih kepada menjaga kebajikan rakyat yang pasti terkesan daripada cabaran-cabaran 2023. 

Ia tidak mudah dan mungkin usaha kerajaan boleh menemui kegagalan. 

Tetapi ketika mula memegang tampuk kekuasaan, mana-mana kerajaan baru mesti bersikap positif untuk memenuhi harapan tinggi rakyat yang mengundi mereka semasa pilihan raya. 

Dengan perdana menteri yang memberi kepimpinan, idea-idea bagi mengatasi cabaran itu perlu datang dari ahli Kabinet yang memimpin kementerian masing-masing. 

Mereka pula akan bergantung pada kreativiti dan kecekapan anggota-anggota perkhidmatan awam untuk memimpin. 

Maknanya usaha untuk mengatasi cabaran itu adalah bersifat kolektif.

Pada peringkat rakyat pula, sektor swasta juga berperanan besar untuk menjana pertumbuhan ekonomi. 

Keperluan kerjasama kerajaan dan swasta adalah tinggi. 

Dalam hubungan yang lancar sebegini, tiada tempat bagi korupsi dan penyelewengan. 

Rakyat pula terdiri daripada pelbagai golongan yang mahu berperanan dalam suatu sistsm demokrasi semak dan imbang. 

Kebebasan media pula merupakan asas bagi negara untuk bergerak bersih dalam menghadapi sebarang cabaran 

Sebab itu, negara perlu bersifat inklusif dengan rakyat yang berbakat, berpendidikan dan cekap untuk menjayakan sistem. 

Bukan saja dalam kalangan ahli politik tetapi juga dalam perkhidmatan awam serta sektor swasta termasuk usahawan kecil dan sederhana.  

Jika ramai daripada yang berbakat berhijrah keluar, maka negara kehilangan peluang untuk memperoleh manfaat. 

Dunia sudah berubah. 

Begitu juga dengan Malaysia.  

Politik negara berubah dengan besar sejak tahun 2018. 

Malaysia tidak boleh kembali kepada keadaan sebelum 2018. 

Sementara dunia juga berubah dengan pandemik tahun 2020. 

Dunia tidak dapat kembali kepada keadaan sebelum 2019. 

Walaupun keadaan perniagaan kelihatan beransur pulih, tetapi norma baru ini sudah berbeza.

Begitu juga dengan iklim dunia. 

Keadaan alam sekitar dunia tidak dapat dikembalikan seperti mana tahun 1970. 

Memang benar cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mana-mana kerajaan di dunia bagi tahun 2023 adalah besar. 

Termasuk bagi bakal kerajaan baru Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.