- Iklan -
Rencana

Politik dalam pelantikan hakim di Malaysia

Sistem pelantikan yang ada sudah baik, namun perlu pindaan pada Akta 695 bagi menambah 'kekananan' sebagai salah satu kriteria pelantikan hakim.

Abdul Hamid Mohamad
13 minit bacaan
Kongsi
Bendera Malaysia berkibar di hadapan Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Gambar: Bernama
Bendera Malaysia berkibar di hadapan Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Gambar: Bernama

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ketua hakim negara (KHN), presiden Mahkamah Rayuan (PMR), hakim besar Malaya (HBM), hakim besar (Sabah dan Sarawak), hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), yang bertindak atas nasihat perdana menteri (PM), selepas berunding  dengan Majlis Raja-Raja (MRR).

Pada fahaman saya, peruntukan itu memberi budi bicara kepada PM untuk memilih siapa yang dikehendakinya untuk memenuhi sesuatu jawatan hakim itu. Beliau cuma dikehendaki berunding (consult) dengan orang-orang dan institusi yang disebut dalam Perlembagaan.

Pada 2009, semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) telah diadakan.

Ringkasnya, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) diadakan “untuk mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman” yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada PM. Tugas SPK adalah untuk menerima permohonan orang yang berkelayakan bagi mengisi jawatan-jawatan hakim di semua peringkat mahkamah atasan. 

SPK akan bermesyuarat dan memilih calon yang sesuai mengikut kriteria yang ditetapkan oleh akta itu. Nama calon yang dipilih bagi sesuatu jawatan itu akan dikemukakan kepada PM untuk pertimbangannya.

Jika beliau tidak bersetuju, beliau boleh meminta dua nama lagi bagi setiap kekosongan. Nampaknya, bagi setiap kekosongan, beliau mestilah memilih salah seorang daripada tiga nama yang dikemukakan oleh SPK. 

Selepas itu, beliau dikehendaki berunding dengan orang-orang dan Majlis Raja-Raja (MRR) seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Perlu diingati beliau tidak diperlukan mendapat persetujuan mereka (termasuk MRR. Selepas membuat pilihannya, beliau hendaklah menasihati YDPA untuk melantik orang yang dipilihnya. YDPA tiada pilihan dalam hal ini.)

Perhatikan, PM tidak lagi bebas memilih siapa sahaja yang disukainya. Beliau hanya boleh memilih salah seorang daripada tiga orang yang dipilih oleh SPK.

Akta 695 juga tidak menyebut PM boleh memberi nama-nama calon yang dikehendakinya kepada SPK untuk dipilih oleh SPK dan mengemukakan balik kepadanya “untuk disyorkan bagi pelantikan ke jawatan yang berkenaan”.

Sehingga pelantikan Raja Azlan Shah, walaupun pada masa itu PM mempunyai kebebasan memilih siapa sahaja yang layak mengikut Perkara 123 Perlembagaan, pelantikan ke jawatan KHN dilakukan mengikut kekananan (seniority).

Walaupun Abdul Hamid Omar lebih lama menjadi hakim dari Mohd Salleh Abas, dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan, Salleh adalah lebih kanan. Beliau tidak dilantik menjadi hakim kerana perkhidmatan beliau diperlukan dalam perkhidmatan itu. Pada masa itu beliau adalah de facto pendakwa raya.

Maka, untuk berlaku adil kepada beliau, bagi menggantikan Raja Azlan Shah apabila Mohamed Suffian Hashim bersara, Salleh dilantik terus ke Mahkamah Persekutuan mendahului Hamid. Apabila jawatan HBM menjadi kosong, beliau terus dilantik menjadi HBM. Maka, pelantikannya mendahului Hamid bukanlan satu percaturan politik.

Sebaliknya, apa yang berlaku beberapa tahun kemudian iaitu penyingkiran Salleh dan pelantikan Hamid sebagai KHN adalah percaturan politik pertama dan paling serius hingga ke hari ini.

Hal seperti ini tidak berlaku semasa zaman Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak dan Hussein Onn menjadi perdana menteri, mungkin kerana tiga sebab. 

Pertama, ketiga-tiga mereka adalah peguam kelulusan Inns of Court England. Mereka lebih tahu dan lebih menghormati doktrin pemisahan kuasa (separation of powers) antara eksekutif dan badan kehakiman. 

Kedua, keadaan politik Umno pada masa itu lebih stabil dan ketiga-tiga mereka tidak terlalu takut terlepas jawatan presiden Umno dan PM. 

Ketiga, watak Dr Mahathir Mohamad dan fakta beliau menjadi PM terlalu lama. Latar belakang beliau berlainan daripada ketiga-tiga PM terdahulu daripadanya. 

Sifat yang ada pada tiga PM terdahulu itu terdapat juga pada Abdullah. Cadangan demi cadangannya ditentang oleh Raja Azlan, akhirnya Abdullah mengalah dan menerima saya.

Mungkin faktor “orang kampung saya” dan “I know the man" memain peranan. 

Faktor beliau menjadi PM yang lama itu memberi lebih keyakinan kepadanya untuk membuat apa yang beliau mahu.

Apa pun, Dr Mahathir adalah PM pertama yang mempolitikkan pelantikan KHN. Ia bermula dengan penyingkiran Salleh kerana beliau takut kalah kes mengenai pemilihan beliau sebagai presiden Umno jika Salleh mempengerusikan persidangan Mahkamah Agung (pada masa itu). 

Dalam peristiwa itu, Hamid telah dilantik menjadi pengerusi suruhanjaya yang ditubuh untuk membicarakan Salleh. Hamid pada masa itu adalah HBM, hakim paling kanan selepas Salleh.

Ertinya, jika suruhanjaya itu mendapati Salleh bersalah dan menamatkan perkhidmatannya, dari segi kekananan Hamid adalah penggantinya.

Maka, pelantikan Hamid sebagai pengerusi suruhanjaya itu adalah percanggahan kepentingan (conflict of interest) yang amat nyata. 

Sebab itulah orang ramai tidak senang dengan pelantikan Hamid itu dan mendesak beliau menarik diri. Beliau enggan sambil memberi alasan beliau dilantik oleh YDPA! (Tidak disebut pula siapa yang menasihat baginda). Akhirnya, apa yang ditakutkan akan berlaku itu pun berlakulah dan Hamid pun menggantikan Salleh sebagai KHN.

Selepas Hamid bersara, Eusof Chin dilantik menjadi KHN. Beliau telah melangkau Mohd Azmi Kamaruddin dan Harun Hashim, yang juga lebih kanan daripadanya sebagai hakim Mahkamah Tinggi. Mereka telah dilangkau sekali lagi oleh Lamin Mohd Yunus dan Wan Adnan Ismail yang dilantik menjadi PMR dan oleh Anuar Zainal Abidin yang dilantik menjadi HBM.

Sayugia diingati Azmi adalah seorang daripada lima orang hakim yang bersidang di Mahkamah Agung dan mengeluarkan perintah yang menyebabkan mereka digantung tugas oleh Yang di-Pertuan Agong, semestinya atas nasihat Dr Mahathir.

Harun Hashim pula kerap mengeluarkan perintah semakan kehakiman (judicial review) terhadap eksekutif dan membuat keputusan bahawa Umno adalah sebuah pertubuhan haram.

Eusof Chin digantikan oleh Mohamed Dzaidin Abdullah. Pelantikan Dzaidin juga menarik. Namanya diumumkan selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR).

Tindakan MRR yang seolah-olah menggambarkan MRR yang menentukannya boleh dipersoalkan. 

Selepas itu Dr Mahathir dapat memilih orangnya semula. Sebagai pengganti Dzaidin beliau melantik orang Kedah, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Pelantikan beliau melangkau Abdul Malik Ahmad, Siti Norma Yaacob dan Haidar Md Noor.

Dr Mahathir telah bersara semasa Ahmad Fairuz menjadi KHN. Beliau digantikan oleh Abdullah Badawi yang selalu merujuk kepada saya sebagai “orang kampung” beliau.

Sebenarnya, bapa Abdullah, Ahmad Badawi adalah salah seorang penjamin biasiswa saya untuk belajar undang-undang di University of Singapore.

Pada masa itu saya adalah hakim paling kanan selepas Fairuz. Tetapi, kepada Umno, saya mempunyai dosa yang sangat besar dan tidak boleh dimaafkan: Saya telah melepas dan membebaskan Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya yang pertama.

Orang politik tidak membaca alasan penghakiman dan tidak mempedulikan apakah keterangan yang dikemukakan di mahkamah.

Kepada mereka, kamu melepas dan membebaskan musuh politik kami, kamu orangnya. Saya terus dicop sebagai “orang Anwar” dan disenarai hitam daripada menjadi KHN.

Ini ditambah pula dengan Fairuz yang mahu diberi sambungan selama enam bulan seperti yang dibolehkan oleh Perlembagaan.

Itu haknya, tetapi janganlah memburuk-burukkan nama saya supaya saya diketepikan untuk memberi peluang kepadanya untuk disambung.

Untuk mengelak saya menjadi KHN, mula-mula Hashim Yusoff, seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang junior telah dipilih.

Rahsia itu bocor dan Majlis Peguam membocorkan pula rahsia beliau mempunyai lebih dari 30 alasan penghakiman yang tertunggak.

Saya difahamkan, bahawa percubaan Abdullah untuk mengisi jawatan itu dengan Zaki Azmi juga tidak dipersetujui Sultan Azlan Shah.

Jika betul, memang boleh dihujahkan bahawa, mengikut Perlembagaan, Sultan Azlan Shah tidak berhak menentang kehendak PM itu.

Tetapi, sebagai mantan KHN, beliau mempertahankan faktor kekananan yang sentiasa dihormati hingga kepada pelantikan beliau sendiri, apatah lagi apabila hakim berkenaan hendak dilangkau semata-mata kerana beliau memberi satu penghakiman yang tidak memihak kepada parti PM.

Kemudian, terbit pula video VK Lingam (“Correct. Correct, Correct”) mengenai percakapannya dengan seorang yang dikatakan berjawatan tinggi dalam badan kehakiman berkenaan pelantikan hakim-hakim.

Suruhanjaya penyiasatan ditubuh untuk menyiasatnya. Suruhanjaya itu mengesahkan bahawa suara di sebelah lagi adalah suara Fairuz, KHN.

Beliau bertanya kepada  VK Lingam yang rapat dengan Dr Mahathir, siapa telah dipersetujui oleh Dr Mahathir untuk menjadi hakim di pelbagai peringkat.

Bayangkan seorang peguam mengetahui rahsia pelantikan hakim, KHN bertanya beliau mengenai perkembangan terakhir, tidak hairan jika beliau meminta pertolongannya untuk meminta sesuatu daripada PM. 

Penemuan suruhanjaya itu menghancurkan peluang Fairuz untuk diberi sambungan enam bulan itu.

Tetapi, suatu petang, saya berada di pejabat. Saya menerima panggilan daripada pendaftar syarikat yang pernah bekerja sebagai junior officer saya, dan, sebagai timbalan pendakwa raya, mendakwa di hadapan saya semasa saya menjadi hakim Mahkamah Tinggi, di Pulau Pinang.

Beliau berkata, “I have been asked to go and see you (don’t ask me by whom) and ask you one question and get the answer straight from your mouth.”

“Come”, saya menjawab.

Apabila beliau tiba, beliau terus bertanya, “Is it true that you were the one who arranged for Judge Hishamuddin to hear the ISA case in which he granted damages of RM1 million?”

Saya menyoal beliau kembali: “Is it the function of a Federal Court Judge to fix cases for hearing by High Court Judges?”

Beliau menjawab: “No.” 

Saya menyoal beliau: “Haven’t you got the answer?”

Beliau tersenyum dan beredar. Saya termenung sambil terfikir, sampai begitu sekali orang hendak cari salah saya. 

Sehari dua kemudian, lebih kurang jam 9.30 pagi saya menerima panggilan telefon daripada ketua setiausaha sulit Abdullah mengatakan PM hendak berjumpa dengan saya di pejabatnya. Itulah kali pertama saya menerima panggilan telefon dari pejabat PM dan hari itulah kali pertama saya pergi ke pejabatnya. 

Apabila saya masuk, Abdullah tidak senyum pun kepada saya. Beliau kelihatan serius.

Apabila kami duduk, beliau terus berkata, “Dengar kata you orang Anwar”. Saya menjawab, “You tahu dak pada hari pertama  rayuan itu didengar, Anwar tak mahu saya membicara kesnya sebab dia ingat I orang you. Orang kata I orang Raja Azlan, tapi depa tak tahu Raja Azlan murka pada I kerana I tak pi mengadap. Sampai dia kata 'Dah besar, tak ada jemputan diraja tak datang'”.

"I jawab I tak mahu hang around the istana sebab I tak mahu orang kata I nak minta favours. I duduk di Pulau Pinang sembilan tahun. Tiap-tiap tahun, hari raya, I ada di kampung. Sekali pun I tak pi rumah terbuka you sebab I tak mahu orang kata I melobi untuk naik pangkat…”

Sampai di situ beliau menepuk paha saya dan berkata “OK. I believe you. I am offering the post of president of the Court of Appeal to you. I will tell Umno, I know the man.”

Maka saya pun dilantik menjadi PMR dan sebulan kemudian dilantik menjadi KHN, tarikh lantikan itu dikebelakangkan ke tarikh saya dilantik menjadi PMR. Apabila genap umur saya 66 tahun, perkhidmatan saya disambung enam bulan lagi seperti yang dibolehkan oleh Perlembagaan. Apabila Allah Ta’ala menghendaki sesuatu perkara itu berlaku, maka berlakulah ia. 

Saya merasa pelik, semasa Abdullah menjadi PM, beliau tidak mahu saya menjadi PMR (dan KHN), tetapi setelah kami bersara dan saya sakit, tanpa diundang dan diduga, beliau menziarah saya sebanyak empat kali, dua kali di rumah dan dua kali di hospital.

Beliau pergi ke hospital tanpa memberitahu kakitangan hospital. Saya memanglah tidak tahu. Kali pertama beliau menziarah saya di hospital (Putrajaya) beliau berkata “I didn’t know you had suffered so much.”

Kali akhir beliau menziarah saya, mungkin dalam tahun 2015, adalah di rumah saya. Saya perhatikan beliau tidak banyak bercakap. Walau bagaimanapun ada sekali beliau respons kepada percakapan saya.

Saya menceritakan, di satu majlis saya memulakan ucapan saya dengan berkata, “Saya telah menjalani enam pembedahan, semuanya dari tengkok ke bawah. Insya Allah, apa yang ada di atas dari tengkok masih original”.

Beliau mencelah “Boleh gelak lagi.” Itu menunjukkan, pada masa itu, beliau masih faham jenaka saya.

Pelantikan Zaki mengganti saya memang telah diduga. Beliau adalah PMR pada masa itu, jawatan terkanan selepas KHN.

Kasihan kepada Alauddin Mohd Sheriff yang tidak pernah tidak bersetuju dengan sesiapa. Beliau kerugian sekali lagi apabila beliau diminta mengambil persaraan awal untuk membolehkan Arifin Zakaria mengganti Zaki. Tetapi, ini bukan hasil dari campur tangan ahli politik.

Md Raus Sharif hanya beberapa bulan muda dari Arifin. Apabila Arifin dilantik menjadi KHN, peluang beliau menjawat jawatan itu adalah tipis. Pelantikan Arifin adalah mengikut kekananan. Secara peribadi, saya cuma mengharapkan Arifin tidak akan meminta penyambungan selama enam bulan itu dan memberikannya kepada Md Raus. Tetapi, sambungan enam bulan itu diberi kepada Arifin, maka tempoh yang tinggal hanyalah beberapa bulan bagi Md Raus menjadi KHN.

Apabila tempoh itu tamat beliau dilantik menjadi hakim tambahan Mahkamah Persekutuan selama tiga tahun sekali gus terus menjadi KHN. (Sila lihat “Keperlembagaan Pelantikan Semula Ketua Hakim Negara Selepas Umur 66 Tahun Enam Bulan” (06 05 2017) dan lain-lain). 

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mahathir kembali semula menjadi PM, kali ini PM kerajaan PH. Dalam hanya beberapa bulan, beliau mengulangi apa yang dilakukannya terhadap Salleh dengan menghendaki Md Raus meletak jawatan, kali ini ditambah seorang lagi, HBM.

Ia diikuti dengan pelantikan Richard Malanjum, satu pelantikan politik bagi memenuhi tuntutan parti-parti politik dalam kerajaan PH, terutama sekali dari Sabah dan Sarawak.

Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku berkenaan pelantikan Richard dan selepas itu, tetapi, Tommy Thomas, peguam negara PH, ada mencerita dalam bukunya. “My Story: Judiciary in the Wilderness.” Buat masa ini, memadailah saya memetik apa yang ditulisnya dan memberi komen saya.

Katanya:

“Satu-satunya calon untuk kedudukan kosong ketua hakim negara ialah Richard Malanjum, ketua hakim Sabah dan Sarawak. Ketua Hakim Negara Malanjum bukan sahaja hakim paling kanan di Mahkamah Persekutuan, beliau juga yang paling bijak dan berkebolehan. Atas merit, dia sepatutnya dilantik bertahun-tahun sebelumnya. Tetapi Arifin dan Raus dilantik sebagai ketua hakim negara…

"Saya terkejut gembira semasa perbincangan saya dengan perdana menteri mengenai pengganti Ketua Hakim Negara Raus, apabila beliau menyebut Richard. Tun telah mendengar perkara yang baik tentang Richard. Kami juga bersetuju dengan tiga pelantikan lain yang disebabkan oleh persaraan Raus dan Zulkefli. Maarop dinaikkan pangkat daripada hakim besar Malaya kepada presiden Mahkamah Rayuan, Zaharah Ibrahim menjadi hakim besar Malaya dan David Wong Dak Wah, hakim besar Sabah dan Sarawak." (Halaman 338).

"Perdana menteri dan saya berbincang untuk mengisi empat jawatan itu kerana semua penyandang akan bersara dalam tempoh setahun antara satu sama lain. Mahkamah tertinggi secara semula jadi akan menjadi punca pelantikan tersebut….Kekananan tidak relevan. Kriteria kami adalah integriti, kecekapan, kelakuan, kebebasan dan rekod prestasi yang terbukti dalam penghakiman bertulis….

"Dipersetujui hanya seorang calon yang memenuhi ujian: hakim Tengku Maimun Tuan Mat. Saya berkongsi dengan perdana menteri pengalaman saya ketika hadir di hadapan beliau sebagai pesuruhjaya kehakiman dan hakim Mahkamah Tinggi, dan seterusnya, di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Hakim Rohana Yusuf adalah calon yang menonjol untuk presiden Mahkamah Rayuan. Hakim Abang Iskandar Abang Hashim pada dasarnya adalah satu-satunya pencabar jawatan ketua hakim Sabah dan Sarawak. Hakim Azahar Mohamed dipilih sebagai hakim besar Malaya. Tun gembira kerana dua lantikan paling kanan adalah wanita, sambil berseloroh berkata PAS tidak akan membantah... Akhirnya, dipersetujui bahawa keempat-empat nama itu akan dikemukakan bersama oleh Tun ke Majlis Raja-Raja, walaupun pelantikan mereka akan berperingkat-peringkat..."(Halaman 342).

"…Majlis Raja-Raja meluluskan pemilihan perdana menteri…" (Halaman 342).

"…Saya membuat kunjungan hormat kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun tidak lama kemudian. Dia menyambut saya dengan mesra di dalam biliknya yang luas di Istana Kehakiman di Putrajaya. Saya menunjukkan nama pilihan perdana menteri untuk tiga nama lain. Dia gembira dengan setiap daripada mereka, mengatakan bahawa dia boleh bekerja dengan mereka, dan bahawa mereka boleh bekerja bersama-sama sebagai pasukan yang berkesan.” (Halaman 343).

Mengenai pelantikan Richard, adakah SPK mengadakan mesyuarat? Siapakah yang mempengerusikan mesyuarat itu? Bagaimana beliau satu-satunya calon? Siapakah yang menentukannya? Thomas?

Daripada apa yang diceritakan, nampaknya beliau sendiri yang memilih nama-nama calon-calon empat jawatan tertinggi itu dan membawanya kepada PM, berbincang dengannya, mendapat persetujuannya, menghantar nama-nama itu ke MRR, mendapat persetujuannya dan menasihat YDPA untuk membuat pelantikan. Dalam kata-kata lain, beliaulah “king makernya”.

Di sini, Thomas telah bertindak di luar bidang kuasanya. Sebenarnya peguam negara tidak mempunyai peranan dalam pelantikan hahim-hakim. Yang mempunyai peranan untuk memilih calon-calon hakim, termasuk empat jawatan yang tertinggi itu dan mengemukakannya kepada perdana menteri ialah SPK yang peguam negara tidak pun menjadi ahli.

Ingat kembali, Akta 695 menyebut apabila SPK menerima permohonan (semestinya daripada calon-calon itu sendiri), SPK akan bermesyuarat. Adakah keempat-empat nama tersebut memohon untuk jawatan-jawatan itu? Adakah mesyuarat diadakan? Siapakah yang mempengerusikan mesyuarat itu? Richard telah bersara. PMR, HBM, HB(Sabah dan Sarawak) dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, paling kurang, sehingga kepada Tengku Maimun, semuanya berkepentingan.

Selain daripada itu, masalah korum juga akan timbul. Jika SPK bermesyuarat untuk memilih calon-calon berkenaan, bagaimana masalah-masalah itu diatasi? Nampaknya semua prosedur yang ditetapkan oleh Akta 695 telah diketepi atau dilanggar oleh peguam negara.

Mengenai pemilihan Tengku Maimun sebagai KHN, orang ramai mungkin tidak tahu bahawa, pada masa itu, Tengku Maimun adalah seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang junior. 

Mengenai pelantikan pesuruhjaya kehakiman (PK), hakim-hakim Mahkamah Tinggi, hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, selepas diadakan Akta 695, setakat saya menjadi ahli SPK (2009 hinggga 2012) saya boleh katakan tidak ada campur tangan politik. 

Kesimpulan

Kita telah melihat, semasa Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak dan Hussein Onn menjadi PM, boleh dikatakan tidak ada campur tangan politik dalam pelantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim. Kekananan dihormati.

Segala-galanya berubah apabila Dr Mahathir menjadi PM. Beliau melakukannya sepanjang tempoh beliau menjadi PM dan mengulanginya apabila beliau menjadi PM bagi kali kedua, sebagai PM kerajaan PH.

Ditekan oleh Umno dan percayakan maklumat palsu, Abdullah cuba menghalang saya daripada menjadi KHN, tetapi akhirnya beliau mengalah. 

Najib Razak menyambung perkhidmatan Md Raus sebagai KHN dan Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai PMR dengan cara yang boleh dipersoalkan memberi alasan kepada Dr Mahathir memaksa mereka meletak jawatan.

Akta 695 tidak menyebut kekananan sebagai salah satu faktor yang dikehendaki diambil kira dalam kenaikan pangkat hakim. Yang disebut ialah:

(a) integriti, kompetensi dan pengalaman; 

(b)  objektif, tidak berat sebelah, adil dan peribadi moral yang baik; 

(c)  ketegasan, kebolehan membuat penghakiman tepat pada masanya dankemahiran yang baik dalam penulisan undang-undang; 

(d)  kerajinan dan kebolehan untuk menguruskan kes dengan baik; dan

(e) kesihatan fizikal dan mental.”

Sebagai seorang bekas ahli SPK saya katakan, dibantu oleh laporan yang disediakan oleh SPK, ahli-ahli SPK lebih tahu semua perkara ini pada calon-calon itu daripada seorang peguam negara yang baru dilantik dari kalangan peguam swasta. Biar apa pun tugas menilai calon-calon itu diberi kepada ahli-ahli SPK oleh Akta 695.

Daripada apa yang kita lihat, ahli-ahli politik memilih berdasarkan satu faktor, sama ada dia “orang kita” atau tidak.

Alasan itu adalah bercanggah dengan kriteria yang diperuntukkan oleh seksyen 12 dan tanggungjawab PM untuk “mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman” yang diperuntukkan oleh Seksyen 2.

Kita juga dapat perhatikan modus operandi ahli politik memilih hakim ke jawatan tertinggi itu. Pilih seorang yang junior, yang “boleh bekerja” dengannya yang mempunyai tempoh yang agak panjang, sebelum bersara.

Dia akan merasa terhutang budi kepada orang yang melantiknya dan tidak akan “membuat masalah” sepanjang satu tempoh kerajaannya. Soalannya ialah sama ada ia akan memberi kesan negatif kepada kebebasan KHN dan badan kehakiman dan tanggungjawab PM “untuk mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman”.

Saya hujahkan, khususnya untuk kenaikan pangkat ke jawatan KHN, faktor kekananan hendaklan diambil kira. Baiknya faktor kekanan diambil kira ialah, ia akan mengelak perbuatan lobi-melobi dan usaha menjatuhkan imej hakim yang lebih kanan.

Di India, Perlembagaannya memperuntukkan bahawa pelantikan hakim besar mengikut kekananan. Tetapi, cara itu pun ada kelemahannya. Akibat peruntukan Perlembagaan Itu, ada hakim besarnya yang menjawat jawatan itu selama 17 hari dan oleh sebab dia bercuti sebelum persaraan, dia tidak masuk ke Pejabat Hakim Besar walau sehari pun!

Saya berpendapat sistem kita yang ada sekarang sudah baik. Kita hanya perlu meminda Akta 695 untuk menambah kekananan sebagai salah satu kriteria yang patut diambil kira melainkan dalam keadaan terkecuali (exceptional), bagi pelantikan KHN.

Yang penting ialah pemimpin-pemimpin politik hendaklah mematuhi akta itu.

Di halaman 338, Thomas dengan bangganya menulis, “Oleh itu, dalam masa kira-kira dua bulan PRU14, empat ketua badan kehakiman baru dilantik, dan dilantik oleh pentadbiran Tun.”

Tetapi itu juga boleh dilihat sebagai menunjukkan betapa seriusnya campur tangan pentadbiran Dr Mahathir dalam pelantikan hakim. Apa yang dilakukan oleh satu pentadbiran akan diulangi oleh satu pentadbiran lain apabila berlaku perubahan kerajaan kerana masing-masing mahu orangnya sendiri.

Sekarang pun sudah ada pemimpin-pemimpin Umno yang bercakap mengenainya. Maka, akan berterusanlah campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman!

Abdul Hamid Mohamad adalah bekas ketua hakim negara.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow