- Iklan -
Kolum

Tiga peristiwa bermakna bagi dunia Islam

Lebih memberi kesan kepada dunia, sama ada baik atau buruk ialah pelantikan Mohammed sebagai perdana menteri Arab Saudi.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Minggu lalu berlaku tiga peristiwa yang boleh mempengaruh keadaan umat Islam akan datang.

Pada waktu sama ia mencerminkan suatu keadaan perjalanan sejarah umat Islam dalam konteks geopolitik dunia.

Peristiwa-peristiwa itu ialah pemergian ulama Sunni berpengaruh, Yusof Al-Qaradawi, siri protes berhubung kematian Mahsa Amini di Iran dan pelantikan Mohammed bin Salman sebagai perdana menteri Arab Saudi.

Ketiadaan Qaradawi tidaklah memberi kesan bagi umat Islam akan datang. 

Seperti mana ketika hayatnya, pengaruh beliau adalah berbentuk kenyataan, ilmu dan buku-bukunya yang menjadi rujukan di seluruh dunia Sunni. 

Beliau bagaimanapun mewakili satu era gerakan Islam merangkumi 70 tahun perjuangan dengan melibatkan geopolitik Timur Tengah yang masih tidak kelihatan penghujungnya.

Tetapi peristiwa siri protes berhubung kematian Mahsa Amin di Iran pula dipercayai memberi kesan pada keadaan dan arah tuju bukan saja kepada Republik Islam itu tetapi juga hubungannya dengan Barat. 

Sama ada keadaan akan menjadi bertambah buruk atau baik, ia tetap memberi kesan kepada seluruh dunia.

Lebih memberi kesan kepada dunia, sama ada baik atau buruk ialah pelantikan Mohammed sebagai perdana menteri Arab Saudi. 

Sebelum ini perdana menteri adalah bapanya, Raja Salman.

Tanpa jawatan itu pun, Mohammed mempunyai kuasa dan pengaruh besar sebagai Tengku Mahkota dan menteri pertahanan. 

Tetapi dengan jawatan perdana menteri, beliau menjadi ketua kerajaan yang secara rasminya memang mempunyai kuasa. 

Ketiga-tiga peristiwa ini merupakan perkembangan hal ehwal semasa yang akan lebih dapat difahami apabila ia dilihat dari sudut konteks sejarah kontemporari dan geopolitik abad ke-19, 20, yang akhirnya melimpah ke abad 21. 

Saya membesar pada tahun 1970-an di mana pertarungan global adalah antara Barat yang kanan dan Timur yang kiri dalam bentuk Perang Dingin. 

Tidak timbul peranan gerakan Islam, apatah lagi revolusi Islam.

Tahun 1973 amat penting bagi umat Islam kerana berlakunya Perang Ramadan sebagai usaha negara-negara Arab untuk membebaskan Palestin dan wilayah-wilayah Mesir, Jordan dan Syria daripada pendudukan Israel. 

Perang ini diketuai oleh Presiden Mesir Anwar Sadat untuk menebus kekalahan yang dialami oleh pendahulunya, Gamal Nasser dalam perang Arab-Israel pada tahun 1967. 

Tetapi Anwar yang lebih berjaya daripada Nasser dalam perang menentang Israel tidak muncul sebagai wira umat Islam. 

Tokoh yang muncul ialah Raja Arab Saudi, Almalik Faisal yang mengenakan embargo minyak kepada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana menyokong Israel. 

Beliau berani bertindak sedemikian walaupun Arab Saudi adalah sekutu AS. 

Ketika itu Qaradawi sudah berada di Qatar. 

Di Mesir, kerajaan Nasser menangkap, mendera, menahan dan membunuh pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin walaupun pada mulanya mereka adalah sekutu semasa Revolusi Mesir ketika mana Raja Farouk digulingkan. 

Pada masa itu, dunia Arab terbahagi dua, sebahagian menjadi sekutu AS, dan sebahagian adalah memihak kepada Soviet Union. 

Sungguhpun begitu, apabila menghadapi Israel, negara-negara Arab itu bersatu.

Terdapat bukan sahaja persaingan antara AS dengan Soviet tetapi juga antara negara-negara yang menjadi sekutu mereka. 

Lebih-lebih lagi Nasser mempunyai wawasan nasionalis kiri yang hendak menyatukan seluruh dunia Arab dalam sebuah pemerintahan, malah beliau pernah menubuhkan Republik Arab Bersatu bersama Syria.

Maka dengan tekanan rejim Nasser terhadap Ikhwan, adalah wajar negara-negara Teluk pro-Barat yang bimbang dengan pengaruh nasionalis kiri itu memberi perlindungan kepada aktivis Ikhwan. 

Dalam hal ini, Qatar yang memberi perlindungan kepada Yusof Qaradawi pada tahun 1962.

Buku pertana Qaradawi yang saya baca ialah Madrasah Ikhwanul Muslimin terbitan Indonesia pada tahun 1982. 

Ia mengisahkan pengalaman beliau dalam kaedah pendidikan Ikhwan.

Tetapi apa yag menarik anak-anak muda lewat 1970-an dan awal 1980-an seluruh dunia bukannya Ikhwan tetapi Revolusi Iran yang berlaku pada tahun 1979.

Ayatollah Khomeini memberikan inspirasi dan imaginasi kepada umat Islam di seluruh dunia untuk melaksanakan Islam. 

Revolusi Iran itu tidak digerakkan oleh golongan Islam konservatif semata-mata. 

Ia turut disertai oleh pelbagai aliran politik, daripada kanan hinggalah ke kiri termasuk mereka yang memahami Islam secara progresif dan radikal. 

Mereka bersatu menentang Shah dan mahu menggantikan sistem monarki kepada republik demokratik yang inklusif menampung semua aliran Islam di bawah kepimpinan institusi ulama Syiah.

Buku pertama berkaitan revolusi Iran yang saya baca pada tahun 1982 bukanlah tulisan Ayatollah Khomeini tetapi adalah oleh Ali Shariati. 

Anak-anak muda yang pada awalnya berpegang pada aliran kiri seperti sosialis dan komunis berhijrah ke gerakan Islam kerana mendengar syarahan-syarahan Ali Shariati. 

Tetapi selepas revolusi, pemikiran beliau sudah tidak kedengaran atau dibicarakan di Iran.

Dari  Revolusi Iran, barulah ramai anak-anak muda zaman itu tertarik pada keseluruhan pemikiran gerakan Islam. 

Bagi orang Sunni yang merupakan majoriti, mereka lebih selesa dengan pemikiran Ikhwanul Muslimin. 

Dari situ barulah timbul tulisan-tulisan Hassan al-Banna, Muhammad Ghazali, Sayyid Qutb dan Yusof Qaradawi. 

Maka pada tahun 1980-an di Timur Tengah, persaingan politik bukan antara negara sekutu AS dengan sekutu Soviet. 

Mesir di bawah Anwar Sadat sudah pun berdamai dengan Israel dan ia mesra AS. 

Persaingan adalah antara Iran dengan negara-negara lain di Timur Tengah. 

Iraq melancarkan perang ke atas Iran supaya revolusinya tidak boleh dieksport. 

Negara paling ke depan di Timur Tengah dalam menghadapi Iran ialah Arab Saudi.
 
Selama 30 tahun, Timur Tengah didominasi oleh persaingan antara Iran dan Arab Saudi. 

Walaupun pelbagai peristiwa berlaku dalam kedua-dua negara bersama juga dengan pergolakan serantau yang melibatkan AS tetapi kedudukan kerajaan Riyadh dan Teheran adalah kukuh.

Tetapi dalam 30 tahun, dunia sudah berubah dengan generasi pun mula bergantian. 

Sememangnya presiden baru Iran, Ebrahim Raisi merupakan anak muda semasa Revolusi Iran, tetapi kini  kebanyakan generasi baru tidak memiliki pengalaman apatah lagi semangat perjuangan revolusi itu.

Ketika saya pergi ke Iran pada tahun 2000-an,  dalam perbualan dengan beberapa warga Teheran, dari seorang pekedai, guru, jurugambar hinggalah wartawan, maka didapati terdapat suasana rasa tidak senang hati terhadap kerajaan pimpinan ulama. 

Mereka impikan sebuah negara yang lebih demokratik, sekular dan kurang berbalah dengan pihak luar.

Mereka mahu menjadi negara "normal".

Maka apabila berlaku rentetan protes ekoran kematian Mahsa, ia adalah sesuatu yang tidak mengejutkan.  

Apa yang akan dialami oleh Iran pada masa akan datang akan ditentukan oleh anak-anak muda mereka hari ini, tidak kiralah sama ada keadaan akan menjadi lebih baik atau tidak.

Begitu juga Arab Saudi. Mereka juga mengalami tekanan daripada perubahan generasi. 

Adalah dapat difahami bahawa generasi hari ini tidak akan dapat menerima keadaan negara yang digubal oleh pakatan Wahabi-Saudi 90 tahun dahulu.

Maka apabila Raja Salman melantik puteranya sebagai Tengku Mahkota, perubahan mendadak dijangka berlaku di negara itu. 

Lebih-lebih lagi apabila kini beliau adalah perdana menteri.