- Iklan -
Kolum

Jelebu pasca 13 Mei

Cina, Melayu dan India hidup macam biasa.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku sampai kembali ke kampung. 

Di Kampung Chenor semua sama seperti yang aku tinggalkan tiga bulan dahulu. 

Pak Ngah Aminuddin Manaf menang dalam Pilihan Raya Umum ke-3 (PRU3). 

Pak ngah menjadi wakil rakyat untuk kawasan Simpang Pertang untuk kali kedua.

Tahun 1969, rumah aku di Kampung Chenor masih menggunakan pelita minyak gas dan air perigi.

Perigi batu depan rumah kini sudah ada dinding papan. 

Perigi batu ini khusus untuk air  minum. Walaupun dalam kawasan rumah keluarga kami, tetapi masih boleh dikongsi oleh jiran sekampung.

Ini amalan budaya Melayu tradisional yang tidak wujud konsep swasta. Konsep milik peribadi ini amat baru. 

Di kampung semua dikongsi. Semua tolong menolong. Ke bukit sama di daki, ke lurah sama di turuni.

Budaya ini masih kuat dalam kampung Melayu tradisional. 

Aku tak tahu bagaimana dengan budaya baru di Kampung Felda atau di kampung tanah rancangan yang dianggap moden.

Untuk ke perigi mandi kami perlu berjalan ke kawasan kampung di belakang rumah. 

Ada sebuah perigi mandi yang lumayan. Airnya sentiasa melimpah ruah. 

Letaknya di tepi paya pohon sagu di sebelah kolam ikan milik Mak Long Noriah dan Pak Long Mansor.

Satu hari aku terjumpa satu tin cat putih lebihan daripada cat tingkap rumah.  

Tanpa dipengaruhi oleh sesiapa aku melakar logo “peace”, dua huruf “B” terbalik di dinding papan perigi aku. 

Ini simbol “ban the bomb”, simbol anti perang. 

Logo ini aku lihat banyak diguna pakai oleh hippie. Di sebelah logo anti perang ini aku tulis: “Anti-Tunku”.

Dua minggu kemudian tanpa aku sedar cakaran di dinding perigi ini dilihat oleh YB Aminuddin Manaf ketika dia lalu dengan keretanya.

Berita cakaran didinding ini menjadi perbualan waktu makan keluarga kami. 

Aku difahamkan YB Aminuddin Manaf menegur adiknya Rais Manaf yang gagal memberi tunjuk ajar kepada Hishamuddin Rais.

YB Aminuddin Manaf agak marah kerana dirinya adalah ketua United Malays National Organisation  Bahagian Jelebu. Mankala presiden parti ini ialah Tunku Abdul Rahman.  

Dan aku melakar di dinding perigi: “Anti-Tunku”.

Abah aku tidak pula meminta aku memadamkan cakaran itu. 

Apakah dia bersetuju dengan apa yang aku lakukan tidak pula aku tahu.

Cakaran ini dari tidak ada orang tahu kini menjadi  buah mulut dan satu tarikan untuk orang kampung. Aku merasa bangga.

Ketika bercuti ini aku cari kembali kawan-kawan lama.

Aku sempat berjumpa kawan bekas warga asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ), Mat Sham dari Petasih dan Omar Razak dari Peradung. 

Kami berjumpa di Kuala Klawang. Mereka berdua masih merancang untuk menyambung belajar. 

Bila berjumpa kami berlabun tentang 13 Mei dan apa yang berlaku di Kuala Lumpur.

Kami ini macam “orang buta” menggambarkan gajah.

Mengikut mereka, di Jelebu tidak ada apa-apa kejadian berlaku. 

Cina, Melayu dan India hidup macam biasa.

Warga India di Kaman Keling, Kuala Klawang masih bekerja untuk Public Works Department (PWD). 

Cina dalam pekan Kuala Klawang dan Titi memilih wakil rakyat Mister Lim Kim Kee dari Malaysian Chinese Association (MCA).

Di Jelebu Melayu tidak bergaduh dengan Cina. Getah keping dan getah buku masih di jual kepada Tok Peraih Cina di Kuala Klawang. 

Pasar sayur dan ikan masih di jalankan oleh penjual Cina.

Barang runcit masih dibeli dari kedai Cina. Malah keluarga aku sendiri masih berlanggan dan membeli bahan makanan sistem tulis di “buku 555” dari kedai Cina Seng di Kuala Klawang

Mat Sham dan Omar yang tidak keluar dari kampung hanya mendengar khabar angin. Apa yang mereka dengar tidak jauh bezanya dari apa yang aku tahu.

Tapi peristiwa 13 Mei ini membuka banyak cerita dan kisah lama.  

Kami usik kembali kisah “Bintang Tiga”. Muncul kembali cerita selendang merah dan parang terbang.

Seperti di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) anak-anak muda di Jelebu juga ada kesedaran untuk kembali belajar bersilat. 

Dari Mat Sham aku dengar cerita gelanggang silat mula di buka di Petasih dan di Geylang.

Kisah Kiyai Salleh dan Selendang Merah aku dengar lagi. 

Aku tidak tahu siapa Kiyai Salleh ini. Mungkin dari Muar mungkin dari Batu Pahat. Aku tidak tahu buah butir sejarahnya.

Apa yang aku dengar ialah keperwiraan Kiyai Salleh melawan Bintang Tiga. Kiyai ini dikatakan menggunakan ilmu kebatinan Melayu yang menjadikan dirinya kebal.

Kisah ini sama seperti yang aku dengar di Dorm 20. 

Kisah kekebalan kiyai dan tok guru silat. Malah ada tok guru silat yang berupaya mandi minyak  panas yang menggelegak.

Tapi cerita dari Lee Keong agak berbeza. Dia bercerita bagaimana dalam pekan Kuala Klawang ramai anak muda Cina yang dulunya bekerja di Kuala Lumpur kini pulang kembali.

Mereka pulang secara tergesa-gesa.

Malah satu dua “kaki busuk”, samseng kampung sempat melarikan diri dari Kuala Lumpur dan pulang menginap di Jelebu.

Rondaan polis dan askar dengan peraturan darurat menjadikan ramai samseng Cina di Kuala Lumpur jadi takut. Mengikut Lee Keong Kuala Lumpur menjadi wilayah bahaya untuk mereka.

Bila aku berlegar dekat pasar basah Kuala Klawang aku ternampak dua tiga orang yang kami kenali di Kuala Klawang sebagai kaki busuk sedang menjadi penjual sayur dan ikan.

Tahun 1969 abah aku ketika ini bekerja di Seremban dan sekali-sekala di Kuala Lumpur sebagai pegawai keselamatan.  

Abah aku juga membawa pulang kisah-kisah 13 Mei yang tidak sahih.

“Mayat terapung dalam Sungai Klang.” Surah tidak sahih dan khabar angin dari abah aku.

Abah aku juga berkisah tentang jumlah korban.

Cerita mulut khabar angin yang digaul dengan “ajinomoto menjadikan angka korban 13 Mei amat jauh bertingkah daripada apa yang aku baca dari Utusan Malaysia.

Abah aku juga bercerita tentang Sungai Buloh. Daripada apa yang aku difahamkan Sungai Buloh di jadikan wilayah di mana mayat mangsa tragedi 13 Mei dikebumikan.  

Kali pertama aku dengar mayat ditanam di Sungai Buloh aku terperanjat. Kenapa mayat dibawa ke Jelebu untuk di kebumikan.

Aku bertanya kerana di Jelebu juga ada kampung bernama Sungai Buloh. 

Terletak dalam daerah Durian Tipus bersempadan dengan Karak di Pahang. Aku tak sangka ada tempat lain yang namanya juga Sungai Buloh.

Bila diterangkan baru aku faham. 

Di Selangor juga ada Sungai Buloh. Daripada apa yang aku dengar, mayat ditanam di kawasan Hospital Penyakit Kusta Sungai Buloh. Kenapa ditanam di kawasan kusta hanya Guru Nanak yang tahu.

Emak aku Cikgu Zaleha Sidek selalu ada mesyuarat. Kadang kala di sebelah petang lepas sekolah ada mesyuarat.

Dulu emak aku sibuk dengan mesyuarat Women Institute (WI). Ada belajar buat kuih cake “orang putih” atau membungkus kuih dan hadiah untuk pesakit di Hospital Petaling. 

Emak aku sentiasa aktif membuat kerja amal. Kali ini agak berlainan.

“Meeting kek mano mak?” Aku bertanya.

“Pejabat DO, OCPD pun ada sama.” Emak aku menjawab.

Awalnya aku tidak faham apa tugas Cikgu Zaleha bermesyuarat dengan Tuan DO dan Tuan OCPD.

Akhirnya  baru aku di fahamkan emak aku ini dilantik sebagai salah seorang anggota jawatankuasa Mageran untuk daerah Jelebu.

Mageran Jelebu ini adalah jaringan dari Mageran di Kuala Lumpur yang dikepalai oleh Abdul Razak Hussein.

Satu petang Mak Long Noriah aku datang ke rumah. 

Dia bercerita bagaimana dia merasa takut ketika berlaku 13 Mei. Dia teringatkan aku yang tidak berada di kampung.

“Mak long risau, Isam selamat ke tidak.” Mak long bercerita.

“Mak long takut ekao naik kereto api. Ekao selamat tak? Mak long donga cerito dalam kereto api pun ado kono bunuh.” Mak long bertanya sambil menyebar berita yang tidak sahih.

Ketika ini akhbar dan radio selalu memberi ingatan kepada semua orang agar jangan dengar khabar angin. Ini kerana pelbagai khabar angin tersebar tentang 13 Mei.

Lalu aku tergambar kembali akan wajah-wajah Askar Melayu yang siap bersenjata tegak berdiri di pintu masuk ke koc kereta api.

“Semua ok mak long, dalam kereta api pun ada askar.” 

Jawapan aku untuk menenteramkan hati mak long yang gusar.

Satu hari aku berjumpa dengan Mister Gamma Khan di kawasan sekolah. Aku datang untuk melihat zoo sekolah yang satu ketika dahulu aku juga aktif mengambil bahagian untuk mendirikannya.

Zoo sekolah ini bertujuan untuk mengenalkan arnab, ular, kucing hutan, biawak, tenggiling dan burung-burung kepada pelajar.

Zoo yang terletak di sebelah bilik makmal sains  menjadi tarikan kepada pelajar yang berminat dalam ilmu biologi.

“Isham, how is MCKK?” Mister Gamma bertanya.

“All good sir.” Aku menjawab.

“You like the town? Kuala Kangsar, my town.” Mister Gamma menambah cerita.

“Let’s do a durian party.” Mister Gamma tiba-tiba memberi cadangan.

Ketika ini musim durian di Jelebu. Malah pasca 13 Mei musim durian menjadi-jadi di banyak negeri di Semenanjung.

Aku ada terbaca dalam akhbar tentang “Parti Durian Muhibah” yang diadakan di beberapa pekan di Semenanjung. Ini pesta makan durian.

Muhibah menjadi tema dengan tujuan mengumpulkan kembali persahabatan dan menyambung kembali silaturahim Cina, Melayu dan India yang dirosakkan oleh 13 Mei. 

Justeru dikenali sebagai “Muhibah Durian Party”.

Idea Muhibah Durian Party ini merebak.

“Ok, let’s do it.” Aku menyokong cadangan Mister Gamma.

Esoknya kami berjumpa lagi. Aku ajak Lee Keong datang sama. Mister Gamma akan mengurus dana. 

Dia minta derma daripada guru-guru SMUJ. Parti ini akan diadakan di kawasan sekolah SMUJ.  

Aku ditugaskan menjemput kenalan Melayu. Lee Keong di tugas untuk menjemput warga Cina dari pekan Kuala Klawang.

Aku ingat lagi petang Sabtu itu ramai tetamu datang ke kawasan sekolah SMUJ. 

Kami makan durian beramai-ramai di tanah lapang tempat perhimpunan rasmi sekolah setiap pagi  hari Isnin.

Pak Itam Hashim aku datang dari Kampung Chenor. 

Berapa orang tua dari Kampung Sarin dan Kampung Tembun datang sama. 

Ramai warga Cina dari pekan Kuala Klawang datang bersama. 

Mereka kenal baik dengan Mister Gamma. Juga turut sama pada petang itu adalah kawan-kawan budak sekolah SMUJ.

Mister Gamma juga adalah “stringer” untuk akhbar New Straits Times. Dia melaporkan berita  Muhibah Durian Party di Kuala Klawang. 

Dua hari kemudian keluar berita ini dalam akhbar New Straits Times. Aku merasa puas hati dan bangga.

Cuti hampir habis. Ketika mengemas beg untuk pulang ke Kuala Kangsar aku terjumpa kartus ganja.  

Tanpa tembakau dan daun rokok. Aku gulung ganja dengan kertas buku.

Tanpa pengalaman, tanpa alat yang betul aku gagal menikmati ganja pada malam itu. Lebihan ganja itu aku berikan kepada Mat Zain jiran sebelah kampung aku.

Sebelum pulang ke Kuala Kangsar Mister Gamma memberi aku seratus keping penanda buku dengan logo zoo SMUJ.

Mister Gamma meminta aku menjual penanda buku ini di MCKK untuk mengumpul dana zoo sekolah lama aku.

Sabtu akhir cuti sekolah aku naik teksi ke Seremban. Dari Seremban aku naik bus Foh Hup ke Kuala Lumpur. Awal petang aku sampai ke Stesen Bas Pudu.

Aku menapak dan melintas Foch Avenue dan terus ke Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. 

Di stesen kawan-kawan dari Johor Bahru dan Gemas sudah sedia menunggu. Ghani, Hatta, Baharuddin, Rashid semua ada di stesen.

Kereta api dari Kuala Lumpur ke Butterworth bergerak jam 8.30 malam dan sampai ke Kuala Kangsar jam 1.00 pagi.

Malam ini aku merasa paling selamat dalam kereta api kerana beberapa gerabak di penuhi oleh Askar Melayu. Mereka dalam perjalanan ke utara. Mungkin ke sempadan Siam.

Apa yang menarik perhatian aku ialah para askar semunya memakai skarf terlilit di leher berwarna merah.

Lalu aku teringat akan selendang merah Kiyai Salleh.  

Apakah askar Melayu ini juga anak murid Kiyai Salleh? 

Pertanyaan yang aku tidak temui jawapan.

Bila wisel berbunyi kami masuk ke  dalam koc. 

Bila kereta api bergerak aku budak Jelebu sekali lagi berubah untuk menjadi budak koleq.