- Iklan -
Kolum

‘Kuasa Melayu’ di MCKK

Surat Dr Mahathir ini pada hemat aku cuba menyedarkan orang-orang Melayu.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Akhir bulan Mei 1969, kehidupan di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) kembali pulih seperti sedia kala.  

Gulai ikan sardin dan telur tinggal kenangan. Menu dewan makan kembali menjadi seperti biasa.  Ikan, ayam daging kembali di atas meja makan.

Aku perhatikan lori pembekal makanan dari Ipoh atau Taiping ada berhenti di belakang Big School. 

Penghantaran bahan makanan tidak diganggu lagi.

Budak koleq meneruskan kehidupan sama seperti sebelum dan sesudah 13 Mei.

Satu tradisi yang menghidupkan MCKK ialah “Tuesday Activity” atau “Aktiviti Hari Selasa”.  

Setiap budak koleq diwajibkan mengambil bahagian dalam Tuesday Activity.

Pelajar bebas untuk memilih apa saja persatuan yang diminati. 

Ini aktiviti di luar bilik darjah. 

Ada pasukan pakaian seragam seperti kadet, pengakap dan kumpulan pancaragam MCKK. 

Ada kelab amal seperti Red Cross dan St John Ambulance. Ada kelab Cinema.  

Kelab renang terus berjalan walaupun di MCKK kolam renang kering. 

Setiap Selasa bas MCKK akan membawa ahli kelab renang ke Burma Pool di Taiping.

Di MCKK yang tidak wujud hanya kelab Pandu Puteri.

Paling terulung diantara semua kelab- kelab Tuesday Activity ini ialah “Debating and Current Affairs Club” atau Kelab Debat dan Hal Ehwal Semasa. 

Tidak semua yang melamar untuk memasuki kelab ini akan diterima.

Prosesnya agak senang tapi mencabar.  

Yang melamar wajib membuktikan berkeupayaan untuk berucap dengan baik. Berucap dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris.

Hakikatnya kelab debat ini mendidik ahlinya untuk cekap berfikir, berucap dan berhujah.  

Ini benih-benih permulaan untuk tertarik dalam hal ehwal semasa seperti agenda sosial dan politik terkini.

Mengasah bakat untuk memimpin.

Pada bulan pertama di MCKK apabila aku wajib membuat persediaan memasuki Aktiviti Selasa.  

Aku memilih untuk menyertai kelab debat.

Berdebar juga ketika aku ditemuduga oleh para senior, Rahman Adnan dan Kasim Ahmad.  

Kemudian aku diminta berucap dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Aku ingat lagi petang itu selain daripada Kassim Ahmad dan Rahman Adnan ada, Mustafa Nor, Rahman Yusof dan Hamzah Zin. 

Majoriti ahli kelab ini daripada tingkatan enam atas. Aku, Razak dan Ezani, semua pendatang baru mahu melamar.

Pelajar tingkatan lima yang menjadi ahli kelab ini tidak ada kecuali Syed Kadir.

Petang itu aku diterima  menjadi ahli kelab debat. Jadi setiap Selasa aktiviti aku ialah berdebat dan berbincang hal ehwal semasa.

Kelab ini bersidang dalam bilik khusus dengan meja dan kerusi kayu panjang mahagony berwarna hitam coklat. Meja dan kerusi ini pada hemat aku sudah melalui puluhan tahun sejarahnya.

Bilik ini terletak di sebelah pejabat guru besar dan tidak jauh dari Dewan Hargreaves.
 
Kelab yang tidak melebihi 15 orang ahlinya dilihat eksklusif dan elitis.

Kalau di High Table Dewan Makan kami diajar cara bersopan menjamah makanan. 

Dalam kelab debat kami diajar cara berhujah dengan sopan. Kami ini adalah anak-anak berudu  belajar berucap dan berhujah seperti para YB di Parlimen atau peguam di mahkamah.

Setiap Selasa kami akan menimbulkan agenda baru untuk didebatkan. 

Kalau Selasa ini Bahasa Melayu maka Selasa depan berdebat dan berbincang dalam Bahasa Inggeris.

Mister Tate akan menjadi guru pembimbing dan mengawasi kelab ini. Hakikatnya kelab ini terbuka luas untuk membincangkan apa sahaja terutamanya hal ehwal semasa.

Tahun 1969 dunia anak-anak muda sedang berubah. Latar budaya ialah gerakan hippies, rock n roll dan gaya hidup baru anak muda.  

Gaya hidup ini membawa kehidupan bebas daripada yang lama, menentang yang kolot dan meneroka satu dunia baru.

Ganja menjadi tanda dan semangat gerakan anak-anak muda ini.

Manakala latar politik pula ialah Perang Vietnam.  

Perang ini ditentang oleh kaum  pelajar di seluruh dunia. 

Anak muda di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Jepun dan Australia turun  ke jalan raya bagi menentang Perang Vietnam.

Anak muda di AS dikenakan “draft”. 

Draft ialah sistem paksaan khidmat negara selama dua tahun.   

Khidmat negara ini bermakna menjadi tentera dan pergi berperang ke Vietnam.

Semua ini menjadi agenda yang kami bincangkan dalam kelab debat. 

Kami berbincang hal hippies, ganja, Perang Vietnam dan politik.
 
Aku merasa dunia aku semakin terbuka luas.

Satu lagi tradisi MCKK ialah wujudnya Student Union.  

Ada Fifth Form Union dan ada Sixth Form Union. Dua persatuan ini menjalankan pelbagai aktiviti.

Persatuan ini menjalankan aktiviti seperti konsert, pertandingan syarahan, debat, talentime  atau menjemput pensyarah luar untuk berceramah.

Namanya saja Persatuan Tingkatan Lima dan Enam tetapi bila melakukan aktiviti ianya  merangkumi seluruh pelajar MCKK. 

Dari tingkatan satu ke tingkatan enam semuanya menjadi khalayak. Aktiviti ini berjalan dalam Dewan Hargreaves.

Tiba-tiba pada satu hari Selasa di minggu akhir bulan Jun 1969 aku dengar berita tentang  surat Dr Mahathir Mohamad.  

Aku dengar berita ini ketika aku bersama ahli kelab debat. Ada ahli kelab dapat melihat dan membaca surat ini. Surat sampai melalui pos.

Aku belum dapat melihat atau membaca surat ini. Apa isinya aku tidak tahu. 

Siapa Dr Mahathir pun aku tidak tahu. 

Tapi aku rasa surat ini penting kerana ianya menjadi satu tajuk perbualan kami dalam kelab debat.

Tetapi surat Dr Mahathir ini tidak menjadi tajuk perbincangan mungkin kerana penyebaran berjalan di bawah tanah.

Aku menunggu dan yakin surat ini akan dapat aku baca. Anggapan aku betul.

Tiba-tiba di Dorm 20 sepucuk surat Dr Mahathir sampai juga melalui pos. 

Awalnya aku nampak Kamarudin Jaffar membacanya. Sesudah itu beralih dan bertukar tangan.  

Surat dalam kertas A4 dua muka surat ini disaikostail untuk selebaran.  

Pasti yang sampai ke Dorm 20 ini bukan edisi pertama atau salinan asal.

Aku perhatikan Wan Magata menulis tangan kembali isi surat ini. Mungkin untuk disebarkan dengan pos kepada yang lain.

Akhirnya surat Dr Mahathir sampai ke tangan aku. Aku baca. Isinya bersangkutan dengan kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Dr Mahathir marah kepada Tunku kerana Tunku mengambil sikap “lalai dan lepa” terhadap orang Cina.  

Dr Mahathir menimbulkan kes 11 orang Cina yang seharusnya dihukum mati tetapi diampunkan. Mengikut Dr Mahathir ini menjadikan orang Cina  makin berani.

Aku tidak tahu pun siapa dan apa kes 11 orang Cina ini. Mungkin aku ada membaca di Utusan Malaysia tetapi sudah terlupa.

Dr Mahathir menulis bagaimana pada 12 Mei, 1969 orang-orang India dan Cina membuat “kurang  ajar” kepada orang-orang Melayu. Bab ini pun aku tidak tahu. 

Kurang ajar macam mana kerana aku tidak ada membacanya latar belakang beritanya.

Bagaimana Cina dan India kurang ajar aku tidak mengerti. Aku tidak tahu apa yang berlaku di Kuala Lumpur.

Dari apa yang aku fahami Dr Mahathir mengkritik Tunku. Daripada pemahaman aku Tunku sudah menjadi pembelot terhadap perjuangan Melayu.

Dr Mahathir memperli Tunku yang mendakwa dirinya sebagai “The Happiest Prime  Minister”. 

Bab ini aku tahu kerana aku pernah terbaca bagaimana Tunku dinobatkan oleh media Inggeris  sebagai perdana menteri paling gembira setelah sepuluh tahun memegang jawatan itu.

Surat Dr Mahathir ini hakikatnya mengkritik Tunku. Ianya satu surat terbuka. Surat ini disebar secara meluas.

Dalam surat ini ada juga disebut tentang darah keturunan Pakistan Dr Mahathir. Ini juga aku tidak faham.

Aku juga terperanjat bila membaca ketika negara dalam darurat Tunku asyik bermain “poker”.

Setahu aku main poker ini main judi. Untuk Dr Mahathir ini satu perkara yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh Tunku sebagai seorang perdana menteri.

Surat Dr Mahathir ini pada hemat aku cuba menyedarkan orang-orang Melayu.  

Surat yang ditulis pada 17 Jun, 1969  ini semua berlatarbelakangkan apa yang berlaku pada  sebelum dan sesudah 13 Mei, 1969.

Aku lihat Dr Mahathir ini agak sopan terhadap Tunku. Dr Mahathir membahasakan dirinya patik ketika menulis surat ini kepada Tunku.

Aku hairan apakah Dr Mahathir tidak sedar makna perkataan patik ini. Tetapi Dr Mahathir tidak menggunakan “patik pacal yang hina”.

Aku tahu makna perkataan patik ini. Aku pernah dengar emak aku ada menggunakan bila berbual dengan Mak Engku isteri kepada Raja Husin di Kampung Batu Serambai.

“Kita ni orang biasa, orang bono. Dio rajo kita bahasakan diri kita patik.”

Emak aku memberi penjelasan.

Bila aku lihat kamus maka aku terperanjat kerana patik itu ertinya anak anjing.

“Mak aa, aku  tak nak pakai patik. Patik ini anak anjing.” 

Aku bertengkar dengan emak aku tentang perkataan patik.

“Pokok dek ekao laaa.” Emak aku memberikan kebenaran.

Apakah Dr Mahathir tidak tahu makna patik kerana dia ada darah Pakistan? 

Atau Dr Mahathir  sosok yang sopan bila menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman dia merendah diri sebagai “anak anjing”.

Surat Dr Mahathir daripada apa yang aku dengar, sudah tersebar luas. Semua orang-orang Melayu ingin membacanya.

Nama Dr Mahathir yang berani mengkritik Tunku diikuti pula oleh nama seperti Harun Idris, Musa Hitam dan Syed Jaafar Albar. 

Daripada akhbar Utusan aku membaca bahawa mereka ini adalah “ultra”. 

Mereka dianggap ultra Melayu. Aku sebenarnya tidak faham akan makna ultra Melayu ini.

Anggapan aku ultra Melayu ini adalah mereka yang memperjuangkan nasib kaum Melayu.

Aku ingat lagi aku menulis sepucuk kepada Simon Lee a.k.a Lee Keong tentang ultra Melayu ini. Aku nyatakan sokongan aku kepada ultra Melayu sebagai sokongan aku kepada orang-orang Melayu.

Babak surat Dr Mahathir berlalu.

Satu malam Khamis Sixth Form Union mengadakan program Malam Pidato.   

Kami semua berada dalam Dewan Hargreaves. Para senior tingkatan enam atas mendominasi pidato malam itu.

Tiba-tiba muncul Basri pelajar aliran Sains tingkatan enam atas. Dia mula berpidato. 

Cukup hebat. Pidato ini  makin hebat kerana Basri memakai sarung tangan putih di tangan kanannya. Basri melaungkan “Malay Power”.

Aku tahu makna Malay Power atau Kuasa Melayu.  

Slogan yang dilaungkan oleh Basri  di Hargreaves Hall pada malam Khamis itu adalah akibat  daripada apa yang berlaku pada 13 Mei di Kuala Lumpur.

Kami dan pelajar junior semua senyap. Mungkin ada yang faham dan mungkin ramai yang tidak faham kenapa Basri memakai sarung tangan putih untuk melaungkan Malay  Power.

Kemudian di kelab debat aku diberi tahu latar belakang ucapan Basri.

Kesahnya begini. 

Basri pelajar dari Selayang mendapat kebenaran untuk pulang ke rumahnya. Tujuannya ialah untuk mengambil tandatangan penjaga untuk mengisi borang melamar biasiswa “Colombo Plan”.

Basri pulang beberapa hari sebelum hari mengundi.  

Daripada apa yang aku dengar Basri terperangkap dalam huru-hara politik yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

Daripada apa yang aku dengar si  Basri ikut sama dalam demonstrasi anti Cina yang bergerak dari Selayang ke arah Chow Kit yang diatur oleh anak-anak muda Melayu di Selayang.

Basri budak koleq tingkatan enam atas terlibat sama dalam suasana 13 Mei. Justeru dia memberikan ucapan Malay Power.

Tidak berapa lama kemudian di perpustakaan aku terbaca dalam majalah Mastika satu berita tentang Shahnon Ahmad penulis novel Ranjau Sepanjang Jalan.

Sasterawan dari utara ini menulis tentang Malay Power dan “Malay Bastard”. 

Mata hati aku terbuka. Aku mula ingin memahami lebih mendalam apa yang sedang berlaku.

Aku juga mula memikirkan konsep Malay Bastard ini. Aku mula memikirkan siapakah Malay Bastard ini. 

Aku juga mula memikirkan apakah ada kebenaran daripada surat Dr Mahathir.

Banyak soalan yang tidak aku temui jawapan.

Akhirnya cuti penggal pertama aku sampai. 

Aku akan pulang ke Jelebu dan berjumpa kawan lama.  

Pulang ke Jelebu aku akan melintasi Kuala Lumpur yang masih lagi dalam keadaan tegang.