- Iklan -
Kolum

Warna-warna parti politik membakar semangat aktivis

Jika psikologi warna merupakan perkara penting dalam perniagaan, maka ia juga berperanan dalam politik.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Gerakan Tanah Air yang dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada Khamis memilih ungu sebagai warnanya. 

Ini bermakna dalam pilihan raya nanti, gabungan ungu ini akan berdepan dengan biru tua dan merah. 

Kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan warna biru tua.

Mereka berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan warna merah.

Adakah warna-warna ini mempunyai makna politik atau hanya dipilih untuk menunjukkan kelainan daripada lawan lawannya?

Dalam kajian warna, ada satu bidang yang mengupas mengenai kesannya terhadap tingkah-laku manusia, ia disebut sebagai psikologi warna.

Bidang ini banyak digunakan oleh mereka yang terlibat dengan pemasaran, penjenamaan, pengiklanan dan pembungkusan. 

Jika psikologi warna merupakan perkara penting dalam perniagaan, maka ia juga berperanan dalam politik.

Sama ada pilihan warna parti politik dilakukan dengan mengambil pertimbangan psikologi warna atau hanya kebetulan, ia tetap mempunyai peranan.

Umumnya, warna dalam politik di peringkat sejagat sudah tetap yang merupakan hasil perkembangan sejarah. 

Biru adalah konservatif, merah adalah kiri, hijau adalah Islam dan setiap bangsa serta negara mempunyai warna masing-masing.

Perbezaan antara BN dan PH adalah jelas, biru tua lawan merah. 

Ia merupakan perlawanan tradisi di seluruh dunia. Kanan lawan kiri. 

Parti Konservatif lawan Parti Buruh di Britain. 

Begitu juga di negara-negara Eropah yang lain. Sementara Parti Komunis China dan Vietnam tentunya berwarna merah. 

Warna asas mudah dikenali dan dihasilkan. 

Maka merah, biru, kuning dan hijau sentiasa menjadi pilihan parti politik untuk menampilkan kehadiran dan kelainan mereka pada mata pengundi. 

Apabila warna-warna itu sudah digunakan oleh parti sedia ada, mereka yang baru perlu menampilkan warna berbeza. 

Tidak seperti dahulu, teknologi kini mampu menghasilkan bancuhan warna baru.
    
Tetapi di kertas undi, hanya ada warna hitam di atas latar belakang oren tua.
 
Namun warna mempunyai peranan semasa kempen dan penyebaran maklumat kepada rakyat.
 
Datang dari mana warna ungu Gerakan Tanah Air? 

Asas kepada perjuangan gabungan ini adalah Melayu-Islam.

Warna yang dikaitkan dengan politik Melayu-Islam ialah merah, putih, kuning dan hijau.
    
Tetapi ungu adalah warna kegemaran pakaian orang Melayu terutama di Johor. 

Di sana ia dipanggil biru kundang. 

Buah kundang yang sudah tidak dikenali orang menghasilkan warna itu.

Warna itu sering dipilih untuk baju Melayu. 

Ia juga dijadikan warna hiasan bagi acara-acara rasmi.
    
Paling akhir warna itu dijadikan simbol politik ialah pada tahun 2017 berkaitan dengan perjuangan Rang Undang-undang 355 yang dipelopori oleh PAS.

Ketika mengadakan perhimpunan di Padang Merbok untuk menyokong RUU355, para peserta mengenakan baju berwarna ungu.

PAS berusaha menyatukan parti-parti Melayu-Islam untuk menyokongnya bagi melaksanakan undang-undang Syariah termasuk Hudud.
   
Untuk itu, pada tahun 2018, mereka menempa sejarah apabila dapat bekerjasana dengan Umno dalam Muafakat Nasional. Mereka bercakap mengenai kerajaan Melayu-Islam.

Tetapi kini PAS bersama dengan Bersatu dalam PN. Ia sudah mengumumkan akan menggunakan lambang PN dalam pilihan raya akan datang. 

Warna PAS adalah hijau dan kali ini ia menggunakan warna biru tua, sama dengan BN.
    
BN ada MCA dan PN ada Gerakan. 

Maka gabungan mereka tidaklah boleh dikatakan eksklusif Melayu-Islam. 
    
Warna biru tua BN asalnya dari Perikatan. Ia pula sama dengan warna MCA. 

Umno mempunyai warna merah putih. Sementara MIC berwarna biru muda.

Lambang MCA sama dengan bahagian sudut bendera kebangsaan tetapi tanpa bulan sabit. 

Ia juga sama dengan lambang Parti Nasionalis China, Kuomintang yang juga berlatar biru tua tetapi dengan reka bentuk bintang yang berbeza. 

Lambang ini juga ada pada bendera kebangsasn Republik China yang kini memerintah pulau
Taiwan. 

Pada awalnya biru tu pada bendera Persekutuan Tanah Melayu sebelum merdeka melambangkan bahawa Malaya adalah negara Komanwel.

Warna Komanwel pula tentunya mengikut Britain yang daripada benderanya berwarna biru, merah dan putih seperti mana kebanyakan negara-negara Eropah.

Tetapi warna diraja British ialah ungu. 

Pada kurun ke-17, warna ungu yang dihasilkan dari sejenis bunga yang dukar diperolehi. 

Ia merupakan warna bangsawan.  

Hanya dengan penjajahan ke atas India, memaksa penduduk menanam bunga berkenaan serta pembelian dengan harga menindas, barulah warna indigo diperoleh untuk mewujudkan suatu industri kain premium.

Dalam kalangan orang Melayu, warna diraja ialah kuning, sejak zaman Sri Wijaya yang beragama Hindu-Buddha.

Maka dalam bendera Umno turut ada bulatan kuning dengan di tengah-tengahnya keris berwarna hijau. 

Tetapi asas bendera Umno ialah merah putih. 

Seperti juga bendera PAS yang bezanya adalah terdapatnya bulatan hijau di penjuru.

Merah putih adalah juga bendera Parti Rakyat Malaya dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya.

Begitu juga dengan bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.

Warna merah putih berasal dari Sang Saka yang merupakan bendera Indonesia. 

Daripadanya juga dijadikan bendera Singapura dan Melaka. 

Begitu juga di Sarawak pada masa Abdul Rahman Yaakob menjadi ketua menteri dengan nama Sang Triwarna.

Parti pecahan Umno tidak lagi menggunakan merah putih. 

Parti Semangat 46 mengambil warna kuning. 

Bersatu pula berwarna merah. 

Parti pecahannya, Pejuang dan Muda tidak menggunakan warna merah.  

Pejuang mengambil warna biru yang unik, hanya terhasil kerana ada teknologi baharu. 

Birunya tidak setua BN dan tidak semuda PKR. 

Parti Muda mengambil hitam, warna minimalis.

Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra) seperti Semangat 46 mengambil warna kuning. Pengasas Putra, Ibrahim Ali pernah menjadi ahli Semangat 46.

Pejuang dan Putra adalah dua daripada empat parti gabungan Gerakan Tanah Air. 

Satu lagi ialah Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). 

Asalnya ia merupakan parti pecahan PAS, maka bendera awalnya turut berwarna hijau. 

Tetapi kini ia bertukar pada warna pulasan atau maroon.

Sebuah institusi yang menggunakan warna pulasan ialah Universiti Teknologi Malaysia dengan huraian pada warna itu, ia menyebut betapa pulasan itu adalah buah asli rantau Melayu. 

Motto UTM adalah Untuk Tuhan dan Manusia. Cuma warna UTM adalah pulasan tua berbanding warna Berjasa yang merupakan pulasan muda.

Berjasa yang dijenamakan semula ini menekankan fahaman Melayu-Islam berbeza dengan fahaman dahulu yang hampir kepada PAS.

Perbezaannya dengan PAS dahulu ialah soal kerjasama dengan Umno. Berjasa menyertai BN menggantikan PAS pada tahun 1978.

PAS melahirkan dua lagi pecahan iaitu Hizbul Muslimin atau Hamim dan Parti Amanah Negara. 

Hamim mengambil warna hijau dan Amanah menggunakan oren, suatu warna baru dalam politik. 

Oren dilihat sebagai warna segar, tidak seperti biru, merah dan hijau.

Sedangkan lambang parti asal yang diambil alih oleh Amanah iaitu Parti Pekerja Malaysia (PPM) berwarna hijau juga, walaupun bagi mereka, warna itu bukanlah menandakan Islam tetapi petani.
    
PPM ditubuhkan srbagai sebuah parti kiri bagi mewarisi Parti Buruh yang terbatal pendaftarannya.  

Simbol parti itu mirip dengan Parti Buruh. Tetapi Parti Buruh seperti mana parti-parti kiri dunia berwarna merah.

Namun PH yang berwarna merah bukannya gabungan kiri. 

Ia menjadi merah kerana ia perlu mempunyai warna yang bertentangan dengan BN. 

Namun dalam pilihan raya lalu PH menggunakan lambang PKR berwarna biru muda.

Kali ini dalam pasaran politik terdapat pelbagai warna. 

Di Semenanjung Malaysia warna utama ialah biru tua dan merah. 

Tetapi warna ungu Gerakan Tanah Air akan turut mencelah. 

Itu kalau mereka mahu menggunakan lambang yang sama. Jika mereka menggunakan lambang parti masing-maing, maka muncullah warna kuning, pulasan dan putih Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) berwarna putih. 

Warna-warna ini mungkin tidak mempengaruhi pengundi tetapi kemeriahan kibaran bendera parti akan menaikkan semangat aktivis dan penyokong parti. 

Manusia hidup secara bersuku kaum (tribal) dan warna panji-panji membakar semangat juang mereka.