- Iklan -
Rencana

Mengapa saya pilih parti Melayu?

Ia bermula dari satu nasihat yang akhirnya menjadi suatu pemberontakan.

Mahdzir Ibrahim
4 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Pejuang memasang bendera sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sekitar Dewan Undangan Negeri Kempas. Gambar: Bernama
Sukarelawan Pejuang memasang bendera sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sekitar Dewan Undangan Negeri Kempas. Gambar: Bernama

Memahami suatu naratif ialah tentang bagaimana ia bermula. Dan naratif juga selalunya bermula dengan cara yang sangat peribadi. Pengalaman intelek seseorang tak sama, kadangkala bermula dengan cara yang tidak sengaja tanpa apa-apa renungan ilmiah. 

Pada Disember 2010, seorang penguat kuasa telah menahan dan merampas barang jualan kereta sorong Mohamed Bouazizi, seorang peniaga kecil di Tunisia atas sebab tiada permit berniaga. 

Penguat kuasa itu seorang wanita yang bukan sahaja merampas barang niaga Bouazizi, malah menamparnya.

Di dunia arab yang didominasi oleh golongan lelaki, perbuatan penguasa wanita yang bernama Faida Hamdi ini adalah suatu yang sangat memalukan dan biadab.

Peniaga miskin ini membuat aduan kepada pejabat namun aduan ini tidak diendahkan. Bagi orang miskin yang ingin cari makan, ini suatu yang sangat mengecewakan.

Bouazizi kemudian kembali ke bandar, menyiram minyak (petrol) pada badannya, dan membakar dirinya dengan berkata “Bagaimana kalian harap untuk saya hidup”. Dari sinilah sebuah naratif kecil yang akhirnya merebak hingga mencetuskan Arab Spring. 

Namun, naratif saya tidaklah sebesar itu. Tragedi Mohamed Bouazizi bagi saya adalah sebuah novel besar, sedangkan naratif saya ini hanya sekadar cerita pendek.

Ia bermula dari satu nasihat yang akhirnya menjadi suatu pemberontakan seorang budak muda yang masih mentah 25 tahun lalu. 

Belum saya lupa, ketika pulang bercuti semester pada satu petang, saya bertembung dengan rakan-rakan abah yang sedang minum kopi sambil melabun hal politik dirumah kami, mereka semua orang-orang Umno yang tegar. 

Saya disapa dan bertanya khabar, kami berbual dan gelak mesra. Sebelum habis berlabun, saya diingatkan dengan satu nasihat yang tidak saya lupa hingga hari ini. 

Saya dinasihatkan agar sentiasa berterima kasih dan ingat akan jasa Umno yang telah berusaha hingga dapat memberi peluang kepada budak kampung seperti saya untuk menginjakkan kaki ke universiti, kejayaan ini bukan kerana saya pandai atau kelulusan saya. Kata-kata ini masih segar dalam memori. 

Saya hilang motivasi, rasa lemah dan terhina dengan nasihat ini. Dari saat itu, saya pulang ke kampus dengan tekad untuk menggagalkan diri saya, dan saya berjaya.

Dipendekkan cerita, selepas dibuang universiti saya memburuh dengan upah yang kecil, saya mula menabung.

Hampir 8 tahun bekerja, saya menyambung pelajaran di pusat pendidikan swasta menggunakan simpanan dan KWSP. 

Walaupun ia mengambil masa lebih 10 tahun untuk menamatkan pelajaran yang tercicir, saya puas hati kerana ia dari titik peluh saya sendiri tanpa bantuan Umno.

Pemberontakan saya berterusan kerana hidup miskin berbanding rakan lain yang sudah ada status dan karier. 

Pada waktu inilah saya dibimbing oleh teman-teman aktivis hingga bertemu dengan satu wadah perjuangan dengan parti politik. 

Ketika dalam perjuangan parti "Jalan Tengah Malaysia" ini, saya didedahkan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai punca masalah negara.

Ini "problem statement" parti ini. Saya juga mula belajar memahami Demokrasi Sosial (Social Democracy) yang menjadi ideologi parti ini. Kami percaya, inilah jalan keluar untuk Malaysia. 

Kami berwacana, berdialog, berbengkel, membedah buku, menulis serta menerbitkan artikel dan berkempen.

Namun, dalam tempoh itu sebenarnya saya telah mula menyedari bahawa masalah DEB ini bukan masalah falsafah atau prinsip, tetapi masalah "sikap orang Melayu" dan pemimpinnya. 

Di satu pihak lagi, dakwaan bahawa DEB ini sama dengan dasar aparteid oleh sesetengah pemimpin parti Demokrasi Sosial ketika ini, sebenarnya tidak tepat.

Sebaliknya ia satu retorik untuk menguatkan lagi sokongan undi bukan Melayu kepada parti ini. 

Namun kesedaran saya ketika itu tidak cukup kuat untuk menggerakkan saya kepada naratif lain. 

Hinggalah, pada suatu ketika seperti yang saya tulis dalam bahagaian satu – saya tidak sanggup lagi mempertahankan sesuatu yang tidak lagi boleh dipertahankan – bebalisme dan hipokrasi politik parti. 

Ketika kekacauan fikiran inilah mantan menteri pendidikan membawa saya bertemu Dr Mahathir Muhammad.

Saya berpeluang bersemuka dan bertanya segala soalan yang saya simpan bertahun-tahun yang dikutip dari pelbagai sumber termasuk "Malay Dilemma" dan Tun memberikan masa yang cukup untuk mendengar dan menjawab semua soalan saya. 

Tun bercakap tanpa retorik dan bahasa jargon. Apa yang kita baca pada tulisannya, itulah yang disebut di bibirnya.

Tun tidak pernah teragak-agak untuk menyatakan realiti, walaupun ianya ganjil dan pahit. Dan, segala realiti yang beliau ungkapkan, tak semua kita fahami malah kita sering salah faham. 

Ungkapannya tentang "Melayu Malas" yang menjadi kecaman banyak orang, adalah satu provokasi kepada orang Melayu agar mereka berfikir dan bertindak. 

Ungkapan ini mengingatkan saya pada nasihat teman abah 25 tahun dulu yang menyebabkan saya hilang motivasi untuk belajar dan memberontak. Bagi saya ketika itu, nasihat tersebut adalah suatu provokasi dan penghinaan kepada saya. 

Namun, kemarahan dan pemberontakan saya ketika itu tanpa disedari telah menjadi sebab untuk saya berusaha sendiri hingga urusan pelajaran saya selesai. 

Provokasi ini memang celaka. Tetapi lebih celaka jika saya bersikap negatif dengan provokasi itu, berhenti belajar dan menjadi budak yang pemalas hingga "membakar diri".

Malah ia akan bertambah celaka lagi jika saya tidak berusaha membuktikan bahawa saya mampu berdikari tanpa payung Umno. 

Saya tidak dapat memilih dan meminta kepada Tuhan untuk menjadi orang Melayu atau lain-lain bangsa.

Tetapi saya boleh memilih sama ada mahu menjadi Melayu yang rajin, jujur dan amanah atau menjadi Melayu pemalas, jahat dan khianat. 

Pengalaman ini telah membawa saya kepada suatu naratif baru dengan parti Melayu yang kecil, lemah dan belum tentu masa depannya. 

Apa yang akan berlaku pada parti ini tidak penting, yang penting kita, kerana kita yang menggerakkan naratif ini, ke mana, bagaimana dan bila. Kita boleh memilih, mahu jaya atau kecewa.

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow