- Iklan -
Kolum

Benteng pertahanan PAS di Kelantan

Musuh susah untuk menyerang pimpinan dan pentadbiran PAS di Kelantan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

PAS memerintah Kelantan selama 30 tahun. Ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Sejak kemenangannya pada 1990, Kelantan sememangnya dilayan seperti “anak tiri” oleh kerajaan persekutuan dari sudut duit royalti dan juga pembangunan infrastruktur. 

Contohnya, lebuh raya tidak dibina dari awal. 

Apabila dibina, sehingga hari ini Kelantan adalah negeri terakhir yang belum disambung. 

Lebuhraya Pantai Timur hanya dapat dinikmati sehingga Kuala Terengganu.

Jadi apa yang mempertahankan PAS di Kelantan?

Pada 1990 sehingga 2013, yang mempertahankan PAS di Kelantan ialah ikonnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Nik Aziz bukan main dilanyak lagi ketika beliau masih hidup. 

Pada era 2000-an, kenyataan-kenyataannya mengenai agama sering diputar belit untuk menimbulkan kebencian agar orang ramai menjauhi PAS.

Tetapi ini tidak mengubah tugas berdakwah Nik Aziz. Beliau tetap mengutarakan pendirian Islam dan PAS di mana-mana.

Selepas pemergian Nik Aziz pada 2015, Kelantan masih dapat dipertahankan PAS sehingga hari ini.

Pemergiannya yang ditangis berjuta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, kawan dan lawan. Ini adalah bukti kehebatan dakwah Nik Aziz.

Ikon yang paling digeruni lawan PAS di Kelantan selepas pemergian Nik Aziz - tidak lain tidak bukan ialah Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah yang juga naib presiden PAS.

Segala tohmahan dan serangan terhadap Kelantan, beliaulah benteng pertahanan yang pertama yang tampil menjawab di media. 

Kesungguhan dan keberanian beliau untuk menjawab isu secara terbuka wajar dikagumi. 

Jika ada masalah, beliau mengaku ada masalah tanpa berselindung. 

Dan cara Amar menjawab kena dengan selera rakyat Kelantan, di mana kebanyakan masa, beliau memperjelaskan bahawa isu yang sama turut berlaku dengan teruk di negeri lain tapi tidak difokuskan oleh media. 

Beliau adalah panglima perang manakala Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob membawa imej penenang.

Maka yang banyak dijadikan sasaran musuh PAS ialah Amar.

Kerana banyak menjawab, Amar sebagai manusia yang biasa tidak dapat lari daripada terjawab dengan jawapan yang kadang-kala menimbulkan kontroversi.

Dan itulah sahaja modal yang boleh digunakan terhadap Amar.

Apabila modal itu turut gagal menggugat, maka gambar beliau mengisi minyak kereta sendiri dan gambar lama bercuti di luar negara pun dijadikan isu.

Apa tidaknya? 

Musuh susah untuk menyerang pimpinan dan pentadbiran PAS di Kelantan. 

Nak cari kesalahan rasuah tak jumpa. 

Nak cari salah laku pentadbiran yang serius amat payah. 

Cerita skandal seks pula tidak kedengaran.

Yang tinggal ialah tubuh Amar dan beliau diserang kerana merupakan benteng pertahanan PAS di Kelantan yang terlantang dan terkuat.