- Iklan -
Kolum

Pekerjaan terbaik di dunia

Bagi  ahli politik, ia merupakan jawatan idaman.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dalam ucapan pengumuman peletakan jawatannya, Boris Johnson menyifatkan perdana menteri Britain adalah pekerjaan terbaik di dunia. 

Beliau kelihatan berasa keberatan untuk melepaskannya, tetapi tekanan amat kuat dari ahli-ahli Parlimen partinya mendorong Johnson beralah.

Umumnya, bagi ahli-ahli politik Britain, perdana menteri adalah jawatan tertinggi yang mereka idamkan dan untuk mereka, ia merupakan pekerjan terbaik di dunia.

Perdana menteri sebelum Johnson iaitu Theresa May juga menyatakan bahawa memegang jawatan itu adalah pencapaian tertinggi baginya. 

Beliau juga kelihatan berat untuk melepaskannya.

Theresa May menggantikan David Cameron yang melahirkan kelegaannya kerana dapat melepaskan jawatannya kerana tidak sanggup untuk melaksanakan Brexit, iaitu membawa keluar Britain daripada Kesatuan Eropah (EU).

Kecuali hal Brexit, mungkin Cameron juga berasakan bahawa jawatan perdana menteri adalah pekerjaan terbaik di dunia. 

Mana tidaknya, beliau berusaha untuk menjadi ketua parti Konservatif yang membolehkan beliau menjadi calon perdana menteri.

Walaupun partinya tidak dapat majoriti pada tahun 2010, Cameron menjadi perdana menteri kepada kerajaan campuran bersama Liberal Demokrat.  

Pada masa inilah mula keretakan hubungan antara Britain dengan EU. 

Cameron mengambil sikap tegas untuk menjaga kepentingan Britain dalam EU tetapi tidaklah  sampai hendak membawa negaranya keluar daripada kesatuan itu.

Kefahaman umum dalam kalangan golongan terpelajar adalah Britain wajar kekal dalam EU untuk kebaikan bukan saja bagi negara itu tetapi juga Eropah dan dunia Barat.

Tetapi bagi rakyat umum, mereka melihat kehadiran pekerja-pekerja asing terutama dari Eropah Timur mengancam bukan saja pendapatan tetapi juga budaya mereka. 

Maka idea Brexit ini mempunyai nada populis aliran kanan.

Apabila Nigel Farage melalui Parti Brexit menjadikan gagasan itu sebagai manifestonya, ia mendapat sambutan ramai. 

Maka parti Konservatif berasa terancam. 

Cameron menjanjikan referendum untuk Brexit jika beliau menang pilihan raya tahun 2016. 

Ia bertujuan supaya undi bagi partinya dapat dipertahankan.

Tetapi beliau tetap menolak Brexit dan percaya rakyat dalam referendum itu kelak turut mahu Britain kekal dalam EU.

Parti Konservatif menang majoriti selesa. 

Suatu yang mengejutkan bagi Cameron dan beliau tidak perlu lagi mengetuai kerajaan campuran. 

Ternyata referendum untuk Brexit memberi undi kepada parti Konservatif. 

Cameron terpaksa melaksanakan referendum itu. 

Ia merupakan suatu risiko bagi dirinya. 

Lebih-lebih lagi sebahagian daripada anggota Konservatif turut menyokong Brexit. 

Golongan ini diketuai oleh Johnson yang melancarkan kempen Leave, bermaksud tinggalkan EU.

Johnson adalah ahli politik populis yang mempunyai gaya mudah mesra dengan rakyat. 

Beliau berjaya menang bagi jawatan Datuk Bandar London. 

Tetapi bagi golongan politik, kemampuan beliau untuk menjadi orang yang dapat menyelesaikan masalah negara adalah diragukan.

Apabila referendum dilaksanakan, ternyata rakyat memilih Brexit. 

Ia merupakan tamparan bgi Cameron. 

Tetapi untuk pelaksanaan Brexit adalah suatu yang berat bagi Cameron, lebih-lebih lagi beliau tidak bersetuju dengannya. 

Jawatan perdana menteri sudah menjadi beban baginya dan beliau meletak jawatan.

Parti Konservatif memilih May untuk menggantikannya. 

Ia datang dengan tiba-tiba dan tidak dijangka. 

Beliau bukanlah pendukung Brexit tetapi anggota partinya percaya padanya untuk melaksanakan Brexit dengan boleh menguntungkan Britain. 

Johnson dilantik sebagai setiausaha luar arau menteri luar, tentunya turut terlibat bagi pelaksanaan Brexit. 

May berusaha sungguh-sungguh tetapi gagal. 

Bagi menghadapi pilihan raya, parti Konservatif memilih Boris Johnson untuk mengetuainya.

Dengan trend populis aliran kanan melanda dunia Barat, dari Donald Trump di Amerika Syarikat hingga Marie Le Pen di Perancis, maka Johnson adalah tokoh gelombang ini di Britain. 

Beliau mengalahkan Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn. 

Parti Buruh menolak Brexit dan Corbyn adalah ahli politik kiri. 

Parti Konservatif juga memainkan isu yang menggambarkan Corbyn sebagai anti-Yahudi iaitu anti-Semit walaupun sebenarnya tidak. 

Sebagai orang kiri, beliau sememngnya pro-Palestin.

Dalam kempennya, Parti Buruh mengingatkan orang ramai mengenai perwatakan Johnson yang menyebabkan ia tidak sesuai untuk menjadi perdana menteri. 

Parti Buruh menawarkan dasar-dasar pro rakyat bawahan yang seperti di negara lain, adalah penduduk majoriti. 

Tetapi pilihan raya itu berfokus kepada Brexit, dan mereka memberi undi kepada Parti Konservatif dan Johnson dengan selesa.

Beliau mula menjadi perdana menteri pada tahun 2019. 

Brexit berkuat kuasa pada tahun 2020. 

Pelaksanaan Brexit ternyata berlaku secara tidak teratur. 

Rundingan dengan EU tidak dapat diselesaikan dengan baik. 

Bekalan minyak dan keperluan lain juga terjejas. Perwatakan Johnson tidak membantu. 

Apa yang dikatakan oleh pihak Parti Buruh ternyata benar. 

Ahli-ahli Parti Konservatif mula meragui beliau.

Apbila Covid-19 sampai di Britain pada tahun 2020 dan kekal pada tahun 2021, keadaan bertambah buruk. 

Tetapi Johnson tetap tenang dan "menikmati pekerjaan terbaik di dunia" itu. 

Akhirnya minggu lalu, beliau beralah apabila 50 menterinya letak jawaran kerana enggan bekerja di bawah beliau. 

Kata-kata terhadap Johnson juga kasar. 

"Toksik," kata salah seorang daripada mereka.

Adakah jawatan perdana menteri Britain "adalah pekerjaan terbaik di dunia?" 

Ia merupakan ungkapan peribadi Johnson untuk menyatakan penghargaannya kepada jawatan itu. 

Bagi  ahli politik, ia merupakan jawatan idaman. 

Bagi rakyat, jawatan itu perlu diisi dan kesan daripada kehadiran seseorang di situ mesti mendatangkan manfaat kepada bukan saja negara tetapi dunia.

Sebagai negara raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, kedudukan dan kuasa perdana menteri adalah terhad. 

Perdana menteri adalah ketua kerajaan dan bukannya ketua negara.

Dunia boleh melihat bahawa pejabat dan kediaman rasmi perdana menteri Britain adalah bangunan biasa dan bukannya istana. 

Namanya mengikut alamat bangunan, iaitu 10 Downing Street. 

Tidaklah ia mempunyai nama istimewa.

Walaupun ia sentiasa dipelihara dan diperbaharui dengan baik, ia merupakan pejabat perdana menteri sejak 300 tahun dahulu ketika negara itu mempunyai empayar terbesar meliputi enam benua.

Kini negara-negara bekas tanah jajahan empayar itu turut mengamalkan sistem pemerintahan Britain, walaupun banyak penyesuaian mengikut tuntutan tempatan.

Perdana menteri perlu menjawab kepada Parlimen yang juga terletak di bangunan lama bersejarah. 

Dunia juga dapat melihat dalam House of Commons atau Dewan Orang Ramai. 

Ia kelihatan sempit dengan wakil rakyat duduk bersesak. 

Tanpa meja dan skrin komputer seperti mana dalam dewan Parlimen sebahagian daripada negara membangun. 

House of Commons ini kelihatannya seperti town hall atau dewan bandar.

London adalah kota sesak. Ia ibu kota dan pusat kewangan utama United Kingdom. 

Tetapi tiada pula tuntutan supaya pusat pntadbiran dipindahkan ke tempat lain.

Tanpa empayar, Britain masih berkemampuan tinggi, antara lain kerana warisan yang dihimpun semasa menjadi kuasa penjajah.

Turut diwarisi ialah sistem kuasa dunia pasca Perang Dunia Kedua. 

Dengan merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu. 

Ia masih berpengaruh sebagai sekutu utama Amerika Syarikat. 

Bersama bekas tanah jajahannya yang diperintah bangsa Inggeris, iaitu Australia, Canada dan New Zealand, Britain menjadi tulang belakang "dunia Barat" yang menguasai dan memimpin dunia hari ini melalui fahaman demokrasi liberal yang belum tercabar lagi.

Dunia Barat bukan saja menguasai kekayaan kebendaan dan persenjataan tetapi juga budaya, ilmu, kesusasteraan, kesenian, perbukuan, kewartawanan, media, sains dan teknologi. 

Maka siapa yang menjadi perdana menteri Britain bukan saja memimpin negara itu tetapi mempengaruhi dunia. 

Maka jawatan itu "adalah pekerjaan terbaik dunia" yang mana Parti Konesrvatif menganggap Johnson gagal.