- Iklan -
Kolum

Bila hidup masih di bawah ‘tempurung’

Bayangkan jika RON95 diapungkan seperti RON97 yang kini berharga RM4.70 seliter, apakah yang terjadi kepada rakyat Malaysia?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar kareer ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Rakyat Malaysia rata-ratanya masih tidak tahu apa yang sedang berlaku di dunia luar.

Kita hidup bagai katak di bawah tempurung, tapi tempurung di atas kepala kita ini ialah “subsidi”.

Harga minyak sedunia meningkat secara dahsyat, tapi rata-rata rakyat Malaysia masih tidak dapat merasai bahangnya kerana RON95 kekal pada aras RM2.05 seliter.

Bayangkan jika RON95 diapungkan seperti RON97 yang kini berharga RM4.70 seliter, apakah yang terjadi kepada rakyat Malaysia?

Di pihak industri yang terpaksa menggunakan diesel industri, mereka kini terasa bahang kenaikan yang amat parah.

Diesel industri meningkat ke paras melebihi RM4.50 seliter, hampir sekali ganda kenaikan berbanding setahun yang lalu.

Itu adalah sebab utama mengapa kita mula dapat melihat ada pihak yang mula mengepam diesel ke tong-tong di stesen minyak seluruh negara yang berharga RM2.15 seliter demi memastikan kelangsungan bisnes mereka.

Para nelayan yang sedang menggunakan diesel bersubsidi tidak merasai bahang ini lagi.

Bayangkan jika semua rakyat Malaysia terpaksa menggunakan diesel harga terapung, apakah yang akan terjadi kepada negara kita?

Begitu juga dengan harga minyak masak yang meningkat secara menggila di mana harga untuk 5kg minyak masak kini berada pada paras RM40 sebotol.

Ini semua kerana harga minyak sawit dan pelbagai jenis minyak tumbuhan meningkat secara mendadak di dunia susulan perang Ukraine dan Rusia.

Namun, rata-rata rakyat Malaysia yang masih menggunakan minyak masak paket yang disubsidi kerajaan tidak merasai bahang kenaikan ini.

Yang terasa bahangnya ialah kewangan negara yang terpaksa menampung peningkatan kos subsidi demi mengekalkan tempurung yang selesa bagi rakyat Malaysia.

Maka tidak hairanlah mengapa Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob terpaksa mengumumkan bahawa Putrajaya nampaknya akan menggembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Peningkatan kos subsidi yang mendadak ini pasti menyebabkan pendapatan negara kini tidak dapat lagi menampung perbelanjaan.

GST dikenali sebagai cara domestik yang paling berkesan di seluruh dunia untuk memastikan rakyat bersama-sama menyumbang kepada pendapatan negara.

Di Malaysia, ironinya, GST nampaknya perlu dibayar rakyat untuk mengekalkan tempurung di atas kepala agar dapat terus menikmati penghawa dingin di dalamnya tanpa merasai kebahangan yang sedang membakar dunia.

Jika kerajaan Malaysia gagal mengekalkan tempurung subsidi ini, rakyat Malaysia pasti akan merana teruk.

Tak perlu melihat jauh, cuba bayangkan jika harga minyak RON95 dibenarkan naik ke paras RM3 seliter hari ini, apakah kesannya kepada kos kehidupan rakyat?

Kenaikan harga barang dan isu GST akan menjadi topik utama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Cara berkempen ahli politik di PRU15 akan mendedahkan sama ada mereka meletakkan kepentingan negara atau kepentingan diri di depan.

Tapi masalahnya bukan ahli politik, tapi mentaliti rakyat Malaysia yang masih tidak sedar mereka hidup di bawah tempurung subsidi ini.