- Iklan -
Rencana

Najib, malulah sikit ‘kantoi’ tipu Parlimen

Satu negara dapat menyaksikan bagaimana Najib terdesak sehingga sanggup mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat semalam.

Saladin Hassan Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak ketawa pada satu sidang media ketika berkempen di PRN Melaka tahun lalu.
Bekas perdana menteri Najib Razak ketawa pada satu sidang media ketika berkempen di PRN Melaka tahun lalu.

Gelagat “Bossku”, Najib Razak kebelakangan ini nampaknya seperti sangat terdesak.

Ramai yang mengaitkan kegelabahan itu dengan rayuan pusingan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Mahkamah Persekutuan bermula 15 Mac ini.

Faktanya, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi Najib hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil sewaktu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu telah menggunakan hujah keras: “tiada kepentingan nasional, hanya memalukan negara,”.

Semalam, Najib sekali lagi terasak ke penjuru dinding apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk menangguhkan tarikh pendengaran rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC, bagi memasukkan bukti dan keterangan baru.

Harus diingat, rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 15 dan 16 Mac ini adalah rayuan pusingan terakhir. Sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan dikekalkan, hukuman ke atas Najib akan berkuat kuasa serta merta.

Dan semalam juga, satu negara dapat menyaksikan bagaimana Najib amat terdesak sehingga sanggup mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan titah diraja apabila mendakwa kononnya tiada satu sen pun dana awam digunakan kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

Walaupun menyebut perkataan hutang pokok, tidak sukar untuk meramal tujuan Najib yang mahu menanam naratif kononnya pembayaran hutang 1MDB (termasuk faedahnya) langsung tidak menggunakan dana awam, berdasarkan intonasi perbahasannya.

Pun begitu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz menjawab dakwaan Najib dalam masa kurang 24 jam, dengan bahasa yang mudah difahami.

Jelas Zafrul: “Kita sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi.

“Jadi dakwaan bahawa belum lagi kita bayar prinsipal hutang 1MDB ini adalah tidak berasas.

“RM32.3 bilion ini tarikh matang dia di antara 2022 hingga 2039. Jadi, belum lagilah dibayar, ini prinsipalnya, tapi kita sudah mula membayar faedahnya.”

Maka, tepatlah tindakan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menghantar surat permohonan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun supaya Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Menurut Pua, apa yang dikatakan oleh pengerusi Lembaga Penasihat BN semalam bukan sahaja mengelirukan, malah perbuatannya secara spesifik menghina Parlimen.

“Ini adalah palsu, kerana kerajaan telah bayar RM8.8 bilion dan faedah semasa beliau jadi menteri kewangan,” katanya.

Kini, bola berada di kaki Azhar Azizan Harun untuk membuat keputusan. Sebagai tokoh yang berpegang teguh kepada integriti, beliau mesti membuat keputusan tepat dengan merujuk Najib kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Ia bukanlah untuk mencari salah sesiapa kerana yang lebih penting ialah mempertahankan kemuliaan Dewan Rakyat.

Janganlah kemuliaan itu dirobek-robek sesuka hati oleh pihak berkepentingan serong, lebih-lebih lagi yang dianggap “memalukan negara” oleh pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Atau yang telah dilabel rakyat Malaysia sebagai penyamun, perompak dan pencuri kerana sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM120 juta oleh empat hakim di dua mahkamah.

“Over to you honourable speaker…dengan izin”.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow