- Iklan -
Rencana

Ramai belia, cendekiawan tidak mahu Umno menang pada PRN Johor

Perikatan Nasional perlu umum manifesto yang meyakinkan rakyat bahawa ia akan hentikan dosa-dosa Umno terhadap rakyat.

Khairuddin Othman
6 minit bacaan
Kongsi
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.

Nampaknya terdapat beberapa cendekiawan dan penganalisis politik meramalkan bahaya yang menanti daripada kemungkinan Umno menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Terbaru, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor tegas dengan kenyataan bahawa kestabilan politik hanya boleh dicapai apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mengetuai pentadbiran negara.

Ini berdasarkan fakta dan situasi politik semasa di mana Umno memegang jumlah kerusi kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu, suasana adalah mantap, katanya di perhimpunan politik di Batu Pahat Jumaat lalu.

“Di negeri-negeri di mana Umno mempunyai jumlah kerusi paling banyak seperti di Perak, Melaka, Johor dan kerajaan persekutuan, keadaannya adalah bercelaru,” tambahnya.

Lewat Januari lalu, bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad mencadangkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan penasihat BN Najib Razak perlu berundur jika Umno tidak mahu membuang noda rasuah yang terpalit ke atas kedua-dua pemimpin tersebut.

Tambahnya, jika Umno dan parti gabungannya gagal menangani perkara itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin berkuasa semula di Johor. Perkataan seperti rasuah, salahguna kuasa, dan tiada kejujuran akan mempengaruhi pengundi muda.

Pihak pembangkang akan menggunakan perkataan-perkataan sebegini ke atas Umno, dan mudah menggoyahkan golongan belia, katanya.

Apakah Umno tidak gusar akan Undi 18 kerana kira-kira 150,000 orang dari 2.5 juta pengundi di Johor terdiri daripada mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun?

“Umno tiada pilihan. Ia mesti hindarkan imej parti korup. Ia perlu ‘merehatkan’ pemimpin-pemimpin terlibat atau terpalit dengan rasuah. Najib dan Zahid wajib berundur,” kata Hamid.

Analisis daripada himpunan kenyataan golongan belia di media sosial menunjukkan Umno dan BN bukan pilihan mereka.

Contohnya, SS2691 meluahkan: “Saya amat percaya generasi muda Malaysia tahu masanya telah tiba untuk memberhentikan stail kerajaan sedia ada, tidak kira siapa berkuasa. Rasuah perlu dihancurkan.”

Sementara itu, Justice menulis: “Pemimpin muda telah menjadi perdana menteri di beberapa negara dan menyingkirkan ahli politik golongan tua dan elit yang melampaui masa keberadaan mereka. Sekarang tiba masanya belia kita bersatu dan ke hadapan membersihkan negara dari parasit serta kekacauan yang mereka buat.”

Oct pula lantang membidas: “Rasuah telah menyerap ke semua lapisan kerajaan. Kerajaan tidak malu, tiada kejujuran, dan ia mempunyai ranking anti rasuah sedunia semakin menurun. Seorang bekas pemimpin negara adalah penjenayah disabitkan kesalahan mencuri jutaan ringgit dan masih bebas ke sana-sini dengan pengiring polis, berjalan ke luar negara, dan menerima elaun dan lain-lain faedah.”

Dosa Umno ke atas rakyat Malaysia adalah terlalu besar dan lama.

Penganalisis politik Raja Petra Kamarudin pernah mendakwa sejak 1981 sehingga sekarang apabila parti politik (yang paling lama adalah Barisan Nasional yang ditunjangi Umno) memimpin negara hampir semua agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Khas Polis (SB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Bank Negara Malaysia (BNM), dan lain-lain hanya berkhidmat untuk kepentingan ahli politik yang berkuasa, bukan rakyat.

Raja Petra menyoal mengapa Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman enggan menyertai Umno Baru pada 1988 sehingga mereka meninggal dunia?

Kesimpulannya, kerajaan Malaysia sehingga sekarang adalah kerajaan gagal. Tidakkah pemimpin Umno sedar masalah yang dihadapi parti dan berubah? Apakah alasan tidak mahu berubah sehingga berlaku skandal rompakan wang rakyat terbesar di dunia 1MDB?

Apakah sebab Umno enggan berubah adalah jelas. Pemimpin mereka tidak mahu melepaskan kuasa dan peluang menggelapkan berbilion wang rakyat. Beberapa penganalis politik telah meramalkan:

“Saya melihat ini sebagai petanda Umno tidak akan berubah (apabila Zahid kembali meneraju Umno setelah bercuti bagi mengelak lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika itu, dan Najib dibawa masuk sebagai penasihat BN pada 2019),” kata bekas ketua hakim negara Abdul Hamid.

Jelas Hamid, Najib dan Zahid dilihat mahu menggunakan Umno untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah manakala ahli Majis Kerja Tertinggi (MKT) menuruti perancangan mereka.

Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah pada Julai 2020 dengan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Beliau sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.

Zahid baru-baru ini diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Bekas menteri persekutuan, Zaid Ibrahim, pula berkata Umno berpotensi besar untuk membawa perubahan kerana ia bersaiz dominan dan kukuh dalam banyak hal. “Umno mempunyai angka dan ramai penyokong. Ia sama ada pemimpinnya ingin perubahan atau tidak. Tetapi, mereka tidak mahu (perubahan),” tambahnya.

Oleh itu tidak hairan apabila Lim Kit Siang dari DAP mendakwa pemimpin kluster mahkamah dari Umno inginkan PRN Johor dijadikan “raptai” bagi Pilihan Raya Umum ke-15. Tujuannya adalah untuk mengembalikan kekuasaan Umno dan melantik seorang penjenayah disabitkan kesalahan rasuah menjadi perdana menteri Malaysia ke-10.

Bagaimanapun, ramai pakar putar-belit (spin doctors) Umno sedang bekerja kuat mengelirukan pengundi Johor kononnya PRN Johor adalah untuk membawa kestabilan politik di negeri itu.

Ini adalah tipu helah kerana kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dari Umno telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan parti pembangkang bagi menjamin kestabilan politik sehingga Julai 2022.

Oleh itu, Perikatan Nasional (PN) perlu menangkis putar-belit kluster mahkamah Umno ini.

Umno nampaknya mahu melenyapkan kesah 1MDB daripada memori rakyat. Laungan “lupakan 1MDB dan maju ke hadapan” dan “1MDB adalah cerita lama” hanyalah helah.

Bagaimana boleh rakyat melupakan 1MDB kerana beban hutang dianggarkan lebih RM40 bilion akan ditanggung oleh rakyat sekarang hingga ke anak cucu mereka.

Tiada seorang pun pemimpin Umno ingin bertanggungjawab ataupun Umno sendiri menanggung beban hutang ini.

Bayangkan jika tiada beban hutang RM40 bilion itu rakyat Malaysia boleh mendapat 40 industri baru untuk menyediakan hampir sejuta pekerjaan, atau 40 hospital baru memberi peluang pekerjaan penuh masa kepada doktor kontrak dan pekerja menyokong, atau biasiswa sepenuhnya kepada 571,000 pelajar.

Inilah satu lagi dosa besar Umno kepada rakyat Malaysia.

Daripada tingkah laku buruk pemimpin Umno, PN perlu segera membuat manifesto untuk memberi keyakinan ia akan berhentikan dosa-dosa besar Umno ini.

PN perlu melaungkan bahawa:

• Majlis Tindakan Pemulihan Ekonomi negara akan segera menggariskan pembangunan industri seperti pemakanan (yang mana negara ini mengimport lebih RM20 bilion bahan makanan) dan lain-lain. Tanah-tanah kerajaan negeri dan persekutuan akan disewakan kepada pihak industri dan pengusaha tempatan secara berskala dan jangka masa pendek untuk tanaman dan ternakan. GLIC dan GLC seharusnya berperanan utama dalam pembangunannya dan menyediakan pekerjaan.

• Satu Jawatankuasa Parlimen akan dibentuk bagi menggariskan dengan jelas pengasingan kuasa di antara badan-badan menggubal undang-undang, melaksana undang-undang, dan penghakiman.

Tujuan utamanya ialah mengelak perdana menteri dan menteri bertindak di luar bidang tugas dan perundangan. Penubuhan beberapa jawatankuasa pilihan khas Parlimen dianggotai ahli-ahli Parlimen dari parti pemerintah dan pembangkang serta beberapa pakar perundangan bebas.

Jawatankuasa ini perlu meneliti, memilih dan melantik ketua setiausaha negara, ketua polis negara, gabenor Bank Negara, ketua pesuruhjaya SPRM, ketua akauntan negara, dan ketua hakim negara, dan semua ketua pegawai eksekutif (CEO) GLIC dan GLC.

Mereka semua bertanggungjawab kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen ini, bukan perdana menteri atau menteri.

• Satu jawatankuasa Parlimen akan dibentuk untuk memantau perbelanjaan utama di kementerian-kementerian, cara pemberian tender secara telus dan adil.

• Semua kementerian tidak akan dibenarkan menubuhkan agensi bebas untuk menceburi perniagaan. Semua perdagangan dan perniagaan yang dianggap strategik akan dikelolakan oleh GLC secara telus, adil dan jujur. Misi utama adalah menceburi industri yang mustahak tetapi tidak diminati oleh pihak swasta dan menyediakan pekerjaan, bukan mengejar keuntungan berlebihan.

• Semua keluar masuk kewangan di Jabatan Perdana Menteri wajib dipantau oleh Jabatan Akauntan Negara, bukan hanya kementerian kewangan. Segala perbelanjaan yang karut-marut seperti jabatan pengurusan “First Lady” dan organisasi risikan luar dihentikan.

• Misi di setiap kementerian adalah menambah nilai setiap perkhidmatan kepada rakyat. Pengarah bahagian dan jabatan bertanggungjawab merancang, menyelia dan memantau tugasan setiap orang bawahannya. Telah terlalu banyak berlaku kecuaian pentadbiran yang merugikan rakyat. Contohnya:

  1. Kerani-kerani tiada di kaunter perkhidmatan pelanggan mulai 12 tengah hari kerana kesemua mereka telah keluar makan. Anehnya, waktu makan ialah jam 1 tengah hari, dan jika kaunter dibuka pada waktu itu, seharusnya mereka keluar bergilir, bukan semua pada masa yang sama.

2. Hentikan semua jawapan bodoh kepada pelanggan. Umpamanya: Bayaran ini hanya  boleh dibuat bulan hadapan kerana pegawai terpaksa dikuarantin atas jangkitan Covid-19. Jika pegawai itu mati, adakah bayaran itu tidak dibuat langsung? Bagaimana pula rasanya jika bayaran gaji ketua pejabat atau pegawai berkenaan dibayar lewat sebulan?

3. Berlaku curi tulang dan kerja sambil lewa yang dapat dilihat di kantin-kantin kementerian di mana ramai pekerja awam lepak sarapan pagi dari jam 9 hingga 10 pagi kemudian baru ke pejabat untuk memulakan tugas. Ini berlaku lagi di sebelah petang. Rehat pagi dan petang ini adalah peninggalan penjajah yang telah diluputkan tetapi ketua pejabat tidak memantau.

Sekarang ini, timbul dakwaan ada ketua setiausaha di kementerian kerajaan bersekongkol dengan menteri melakukan salahguna kuasa dan menggelapkan wang rakyat. Untuk memberi kuasa berani melapor, ketua setiausaha kementerian diwajibkan membuat aduan kepada KSN jika terdapat salah guna kuasa oleh menteri, terutamanya dalam pelantikan kontraktor dan pemberian tender.

Menteri dan ketua setiausaha tidak boleh memegang jawatan pengerusi atau pengarah di agensi GLC, GLIC dan seumpamanya. Jika berlaku salah laku melalui penyiasatan atau audit akauntan negara, menteri dan ketua setiausaha wajib diheret ke mahlamah dan digantung jawatan. Jika sabit kesalahan, menteri dan ketua setiausaha perlu menjalani hukuman (dipenjara atau didenda) sementara kesnya dirayu di mahkamah lebih tinggi.

• Tempoh jawatan perdana dihadkan kepada dua penggal, iaitu 10 tahun. Tiada lagi anugerah khas seperti tanah dan rumah sehingga berjuta ringgit. Hanya kerajaan akan menampung sewaan rumah bekas perdana menteri tidak lebih dari RM20 ribu sebulan sehingga dia meninggal dunia.

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow