- Iklan -
Rencana

Tidak wajar peguam negara rayu keputusan berhubung kerakyatan anak wanita warga Malaysia

Langkah progresif sistem perundangan Malaysia itu harus disokong semua pihak, kerana jelas penafsiran Perlembagaan sebelum ini secara tidak langsung bersifat diskriminasi terhadap wanita.

Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
3 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa kerajaan Malaysia, melalui Pejabat Peguam Negara akan merayu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi berkenaan kes hak kerakyatan automatik anak wanita warganegara Malaysia yang lahir di luar negara.

Sebelum ini, merujuk kepada tafsiran Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, anak yang lahir di luar negara hanya akan mendapat kerakyatan secara automatik sekiranya bapa mereka merupakan rakyat Malaysia.

Pada 9 September 2021 yang lepas, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir di dalam penghakimannya telah menyatakan bahawa perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu juga bermaksud “ibu”.

Ini merupakan satu langkah yang amat progresif di dalam sistem perundangan Malaysia dan seharusnya disokong oleh semua pihak, kerana jelas di sini, penafsiran Perlembagaan sebelum ini adalah secara tidak langsung telah bersifat diskriminasi terhadap golongan wanita.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Zuraida Kamaruddin, keputusan ini wajar diterima baik dan dilaksanakan di semua peringkat penguatkuasaan.

Kenyataan beliau turut disokong oleh beberapa pemimpin lain seperti Menteri Undang-Undang Wan Junaidi dan juga Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie.

Namun begitu, keputusan ini nampaknya tidak dipersetujui oleh kementerian dalam negeri yang sebelum ini memberi tentangan yang hebat dalam isu hak kerakyatan diberikan kepada anak-anak yang lahir di luar negara dari ibu yang merupakan rakyat Malaysia.

Semasa sidang parlimen 3 Disember 2020, timbalan menteri dalam negeri di dalam soal jawab di Parlimen telah menyatakan bahawa bagi anak-anak yang lahir di luar negara, yang bapa mereka adalah rakyat Malaysia sahaja akan terus dibenarkan untuk mendapat kerakyatan atas alasan khuatir akan berlakunya pertindihan kerakyatan.

Di dalam sesi soal jawab yang sama, beliau juga menyatakan bahawa isu ini adalah isu keselamatan dan kedaulatan negara yang perlu dipertahankan oleh kerajaan Malaysia. Beliau turut menambah bahawa hal ini turut dipraktikkan oleh negara lain di seluruh dunia.

Persoalan pertama, apakah pertindihan kerakyatan tidak akan berlaku sekiranya anak yang lahir itu berbapakan rakyat Malaysia dan hanya akan terjadi sekiranya lahir dari ibu yang merupakan seorang warganegara.

Kedua, isu kedaulatan dan keselamatan juga tidak timbul kerana bukankah pendaftaran kelahiran anak tersebut, yang dilakukan di konsulat Malaysia di luar negara wajib melalui proses dan prosedur yang sama.

Ketiga, jika kita melihat undang-undang kerakyatan negara tetangga seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Australia, mereka tidak menetapkan hanya bapa sahaja berhak untuk mendapatkan kerakyatan kepada anak-anak mereka secara automatik, kerana hak yang sama diberikan untuk kedua-dua ibu dan juga bapa.

Alasan KDN ini nampaknya telahpun dinafikan oleh keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, sekaligus memberikan hak kerakyatan yang sepatutnya kepada anak-anak yang lahir di luar negara, sama ada dari bapa ataupun ibu yang merupakan rakyat Malaysia.

Jadi, adalah tidak wajar untuk Pejabat Peguam Negara dan KDN merayu keputusan ini kerana ia akan merencatkan proses pembangunan sistem perundangan negara.

Sekalipun rayuan ini bersifat akademik semata-mata, ianya akan memberi kesan yang amat negatif kepada imej sistem penguatkuasaan perundangan negara dan juga hanya akan membazirkan masa dan kos mahkamah untuk kedua-dua pihak.

Adalah diharap agar Pejabat Peguam Negara dan KDN dapat menilai semula keputusan mereka untuk merayu keputusan kes ini. Terima sahaja keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan janganlah nafikan hak kerakyatan kepada anak-anak yang lahir dari ibu yang merupakan warganegara Malaysia.

Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow