- Iklan -
Kolum

Mengapa perkembangan di Afghanistan menarik minat orang Melayu

Teras jiwa Melayu adalah anti-republik, anti komunis dan anti liberal.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Secara umumnya adalah dipercayai kejatuhan pemerintah Afghanistan kepada Taliban minggu lalu menarik minat kebanyakan orang Melayu di negara ini.

Perkara ini dapat dirasakan dengan membaca posting dan komen di media sosial mengenai Afghanistan.

Sememangnya peristiwa itu menjadi berita besar di dunia kerana antaranya ialah ia membabitkan Amerika Syarikat (AS) yang menyerang dan menakluk Afghanistan 20 tahun lalu dengan mengalahkan Taliban dan menubuhkan pemerintahan demokratik di situ.

Peristiwa di Afghanistan pasti juga menarik sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.

Sementara orang bukan Melayu tentunya mempunyai sikap berbeza terhadap peristiwa itu.

Sikap orang Melayu pula amat berkait rapat dengan agama, maka Afghanistan menyentuh identiti dan jiwa bangsa.

Rupa bentuk negara dan bangsa Afghanistan adalah jauh berbeza daripada Malaysia.

Minat orang Melayu terhadap peristiwa di sana bukanlah kerana prihatin terhadap negara itu.

Tetapi ia merupakan luahan atau cerminan jiwa orang Melayu terhadap agama Islam dan cara pelaksanaannya dalam negara moden.

Daripada media sosial itu, khususnya Facebook dan kumpulan WhatsApp dapat dikesan bahawa umumnya orang Melayu bersimpati pada Taliban.

Pengetahuan orang Melayu terhadap isu-isu antarabangsa tidaklah luas kerana kurangnya pembacaan dan kemahiran berbahasa Inggeris.

Namun begitu, golongan muda yang aktif menggunakan media sosial lebih berpengetahuan daripada generasi terdahulu.

Cumanya pengetahuan mereka tidak mendalam dan oleh itu pandangannya menjadi sempit dan menjurus kepada sentimen teras orang Melayu.

Ini kerana membaca maklumat daripada internet tidak cukup mendalam tanpa disertakan dengan menelaah buku yang ditulis oleh pakar bidang atau wartawan di lapangan.

Bila disebut orang Melayu, tentulah bukan maksud kesemua setiap orang daripadanya.

Ungkapan ini juga bukanlah bertujuan untuk mewujudkan pandangan stereotaip.

Seperti kaum lain, orang Melayu terdiri daripada individu yang berbeza antara satu sama lain, dengan mempunyai minda dan fikiran tersendiri.

Dengan menyebut orang Melayu, ia bermaksud pandangan secara umum yang diketahui daripada pengalaman dan bukannya semua dalam bentuk pendirian setiap orang.

Apa yang dimaksudkan dengan sentimen teras orang Melayu ialah sokongannya terhadap pelaksanaan agama dalam masyarakat yang tidak begitu mesra pada nilai-nilai Barat.

Maka tidak hairanlah terdapat kecenderungan untuk bersimpati pada Taliban.

Ini bukanlah bermakna bahawa orang Melayu menyokong perbuatan-perbuatan pihak Taliban yang dahulu seperti hukuman keras dan larangan wanita bekerja tetapi adalah pada sikap apologetik mereka.

Ada antara mereka kata bahawa Taliban sekarang sudah berubah.

Atau mereka kata bahawa banyak maklumat buruk mengenai Taliban datangnya dari Barat yang tidak benar dengan menurut perspektif bercanggah dengan Islam.

Orang Melayu tidak sentiasa berminat pada Afghanistan.

Sepanjang 20 tahun ketika pemerintahan demokratik Afghanistan, tidak banyak diperkatakan mengenai negara itu.

Malah tidak kedengaran wartawan dari negara ini yang pergi ke sana untuk membuat liputan.

Hanya dalam minggu ini apabila Taliban menguasai Afghanistan, barulah kelihatan warganet membincangkan perkara ini.

Minat orang Melayu terhadap Afghanistan mengalami pasang surut.

Tidak seperti isu Palestin yang sudah menjadi sebahagian daripada jiwa Melayu.

Pada tahun 1970-an, Afghanistan begitu terpencil dan tidak diketahui oleh kebanyakan orang Melayu.

Pada masa itu, maklumat hanya diketahui daripada radio dan akhbar.

Oleh kerana di bawah pemerintahan Raja Zahir Shah negara itu berada dalam keadaan aman, maka tiada sebarang berita mengenainya dalam akhbar.

Tetapi pada tahun 1973, keluar berita di ruangan luar negeri tentang Afghanistan.

Berita itu adalah mengenai rampasan kuasa di Kabul.

Raja Zahir digulingkan oleh sepupunya yang juga bekas perdana menteri, Daud Khan.

Berita ini pasti disiarkan oleh kesemua akhbar Melayu kerana Afghanistan adalah sebuah negara Islam.

Dari sejak sebelum Perang Dunia Kedua, ruangan luar negara dalam akhbar diminati oleh orang Melayu.

Sebab itu, editor luar negara seringkali merupakan wartawan senior dan berpengalaman.

Rencana-rencana luar negara juga diminati.

Daripada berita dan ulasan ini, pembaca dapat mengetahui mengenai Perang Dunia Kedua.

Tetapi berita yang paling diminati adalah mengenai negara-negara Islam.

Antara sebabnya, orang Melayu mempunyai perasaan ukhuwah dengan umat Islam di seluruh dunia.

Walaupun berita dan rencana mengenai Afghanistan itu ditatap oleh ramai orang Melayu tetapi ia tidak berpanjangan kerana tiada perkembangan lain.

Dalam peristiwa itu, dipercayai bahawa simpati orang Melayu adalah kepada Raja Zahir Shah dan bukannya terhadap Presiden Daud Khan.

ini kerana jiwa Melayu adalah pro-monarki dan anti republik.

Setelah bertahun Afghanistan hilang dari halaman akhbar, tiba-tiba pada tahun 1978 dunia dikejutkan dengan rampasan kuasa kedua di Kabul.

Kali ini, orang Melayu kembali tertarik dengan apa yang berlaku di negara itu.

Rampasan kuasa yang dinamakan sebagai Revolusi Saur menjadikan Afghanistan sebagai negara komunis.

Negara itu diisytiharkan sebagai Republik Demokratik Afghanistan dan menjadi sekutu Soviet Union.

Presidennya ialah Nur Muhammad Taraki.

Peristiwa ini merupakan tamparan bagi umat Islam di seluruh dunia.

Ini ketana umat Islam kehilangan sebuah negara kepada komunis.

Keadaan buruk apabila tentera Soviet Union memasuki negara itu untuk membantu pemerintah komunis Afghanistan.

Orang Melayu bertambah minat terhadap Afghanistan.

Banyak berita dan rencana ditulis mengenai Mujahidin.

Ia juga disebut dalam ceramah.

Setiap Jumaat, doa dibacakan untuk para Mujahidin seiring dengan pejuang Palestin.

Afghanistan sudah setaraf dengan Palestin dalam jiwa Melayu.

Keadaan berlaku sehinggalah tahun 1989 apabila tentera Soviet Union berundur, pemerintah komunis tumbang dan Mujahidin menang.

Perbalahan antara kumpulan Mujahidin dan kegagalan wujudnya pemerintah stabil di negara itu mendatangkan kekecewaan pada orang Melayu.

Apabila Taliban pertama kali menguasai Afghanistan, ia tetap tidak menarik minat orang Melayu.

Ini kerana Taliban ketika itu dilaporkan berbentuk kejam dan terkebelakang.  Wajah pentadbiran Islam seperti ini tidak digemari oleh jiwa Melayu.

Namun apabila AS menyerang Afghanistan kerana Taliban melindungi Al-Qaeda, simpati ramai orang Melayu adalah pada Taliban.

AS kelihatan angkuh dan zalim dengan mengebom kampung-kampung orang Afghanistan.

Setelah AS menguasai Afghanistan dan menubuhkan kerajaan demokratik di sana, orang Melayu kelihatannya hilang minat.

Demokrasi, lebih-lebih lagi dilaksanakan oleh AS ke atas negara Islam tidak menarik bagi orang Melayu.

Walaupun tentunya orang Melayu lebih suka hidup dalam sistem demokrasi daripada pemerintahan totalitarian Taliban.

Namun ketika AS berundur dan Taliban menguasai Kabul, negara itu kembali menarik minat.

Wajah pejuang taliban berserban dan berjanggut merupakan suatu tarikan.

Kali ini yang menunjukkan minat ini adalah generasi baru.

Mereka ini tidak melalui zaman Mujahidin dan Taliban pertama dahulu.

Hakikat bahawa ramai orang Afghanistan berusaha lari daripada pemerintahan Taliban dipandang kecil.

Daripada komen-komen di media sosial, ada yang menyatakan bahawa orang yang lari itu adalah Syiah, liberal dan golongan kiri.

Seolah-olah Taliban itu adalah suatu gerakan Sunni tulin yang wajar disokong.

Komen-komen seumpama itu menunjukkan kejahilan, sentimen mazhab, prejudis, tidak toleran dan kekecilan minda yang terdapat pada sebahagian daripada orang Melayu.

Teras jiwa Melayu adalah anti-republik, anti komunis dan anti liberal.

Tetapi diharapkan kejahilan dan sikap tidak toleran ini bukanlah sebahagian daripada jiwa Melayu.

Mereka yang lari itu umumnya adalah orang Islam biasa, termasuk Sunni.

Ada yang melalui zaman Taliban dahulu atau mengetahui kisah-kisah kekejaman kumpulan itu masa berkuasa.

Pemerintahan Taliban dahulu menekan mazhab-mazhab lain termasuk Syiah yang banyak tinggal di Hazara.

Mereka adalah golongan minoriti yang mempunyai hak setara dengan warga Afghanistan lain.

Hatta, semua warga yang berfahaman lain turut berhak hidup di tanah air sendiri.

Majoriti tidak bermakna berhak untuk menekan golongan minoriti.