- Iklan -
Rencana

Ribut tidak menjadi, nyior condong tegak kembali

Pembangkang kelihatan begitu ghairah mahu mengheret Yang di-Pertuan Agong ke dalam 'game plan' mereka.

Annuar Musa
4 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen pembangkang berdiri sewaktu sidang khas Dewan Rakyat bermula 26 Julai lalu. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen pembangkang berdiri sewaktu sidang khas Dewan Rakyat bermula 26 Julai lalu. Gambar: Bernama

Bidalan orang tua-tua, bila nyior condong, bukan sahaja kera, kura-kura pun suka meniti.

Sedikit polemik berlaku di Parlimen pada 26 Julai baru-baru ini, sudah kita nampak bagaimana pihak-pihak tertentu, umpama ikan menyambar umpan, segera menangguk di air yang keruh.

Dengan ghairahnya mereka berdrama dan menampakkan niat sebenar mereka selama ini, iaitu mahu merampas kuasa.

Maka terselongkarlah nawaitu sebenar kenapa mereka terus memaksa mahu sidang Parlimen diadakan seberapa segera, di saat negara menghadapi penularan Covid-19 paling tinggi.

Saat di mana semua orang dikawal ketat pergerakannya di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Namun apabila Parlimen bersidang, mereka langsung tidak peduli, malah tidak pun berminat berbincang bagaimana isu Covid-19 diuruskan, dan bagaimana ekonomi patut dipulihkan.

Langsung tidak ada usaha ke arah itu.

Yang mereka asak adalah soal politik dan menggugat kedudukan kerajaan.

Dalam tempoh seminggu sahaja, dari hari persiapan persidangan Parlimen sehingga 30 Julai, sudah 70 kes disahkan positif di Parlimen.

Entah berapa ramai kontak rapat mereka ini?

Entah berapa ramai lagi bakal positif Covid-19 beberapa hari lagi?

Berapa ramai yang pulang ke kawasan masing-masing di seluruh negara dengan membawa virus Covid-19 ini?

Yang mereka peduli hanyalah bagaimana kerajaan boleh dijatuhkan.

Dan bagaimana mereka boleh merampas kuasa dan jawatan perdana menteri.

Sebenarnya, negara kita tidak pun menghadapi krisis, kerajaan kekal stabil, jauh sama sekali daripada krisis Perlembagaan.

Malah negara juga tidak menghadapi krisis kepercayaan.

Yang pasti setakat ini, tiada seorang pun boleh menyatakan dia mempunyai sokongan majoriti kecuali perdana menteri.

9Pembangkang kelihatan begitu ghairah mahu mengheret Yang di-Pertuan Agong ke dalam “game plan” mereka.

Mereka merasakan “ini kalilah!”

Berkali-kali nama Agong digunakan dalam hujah mereka di Parlimen, walaupun ia jelas tidak dibenarkan di bawah peraturan mesyuarat.

Kita tahu perwatakan Tuanku, sebagai seorang raja yang sangat arif dan berpengalaman, Tuanku tidak begitu.

Baginda tidak akan berpolitik atau berparti, jauh sama sekali mahu menyokong usaha mana-mana individu atau parti di luar kerajaan.

Apatah lagi parti-parti dan individu tertentu di mana baginda amat arif menilai “track record” dan latar belakang mereka.

Yang pasti baginda kekal sebagai Raja Memerintah seperti mana termaktub dalam Perlembagaan.

Baginda sebagai seorang Raja Melayu, dan payung yang menaungi kedudukan agama Islam, tidak akan melibatkan diri dengan sesuatu yang memudaratkan kuasa Melayu dan kedudukan agama Islam negara ini, yang terbukti pernah terancam dan diancam pihak tertentu.

Sebenarnya kerajaan khususnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sentiasa mempunyai hubungan yang baik, rapat dan akrab dengan Agong, hinggalah ke saat ini.

Malahan, kerajaan dan PM mahu menyempurnakan pandangan dan titah Baginda jua, maka kerajaan membuat keputusan tidak menasihatkan perisytiharan Proklamasi Darurat yang baru, selepas tamatnya Proklamasi Darurat sekarang pada 1 Ogos, malah mengadakan sidang parlimen selari dengan pendirian Agong.

Begitu juga pembatalan semua ordinan yang dibuat semasa berkuatkuasanya Proklamasi Darurat, diputuskan untuk dibuat “revocation” seberapa segera, dengan menasihati Agong memperkenankan pembatalan, sebelum seterusnya diwartakan.

Semuanya atas memenuhi pandangan Agong.

Cuma tidak semena-mena berlaku polemik di Parlimen, apabila ada pihak menafsirkan kenyataan menteri undang-undang sebagai kononnya membatalkan ordinan tanpa perkenan Ahong.

Sedangkan, yang sebenarnya, menteri undang-undang cuma ingin memaklumkan pendirian dan keputusan mesyuarat Kabinet, tanpa memperincikan proses yang sedang berjalan, iaitu masih menunggu perkenan Agong.

Semua sememangnya tahu dan faham bahawa Agong berhak memberi pandangan balas atas setiap keputusan kerajaan itu.

Tidaklah salah kerajaan meneliti apa kehendak dan pandangan Agong.

Sekiranya ada perbezaan dalam kaedah untuk menamatkan kuatkuasa ordinan, ia masih boleh dirunding dan dibincangkan, agar kedudukan dan kemuliaan Raja kita terpelihara, serta kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dipertahankan.

Itulah amalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama ini.

Sesungguhnya, inilah pendirian kerajaan.

Tuduhan kerajaan derhaka hanyalah satu lagi ejekan rekaan serupa tuduhan kerajaan gagal, kedua-duanya datang dari kelompok yang sama, berbaur mainan politik.

Perlu diketahui, PM mengadap Agong setiap hari Rabu, sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Setiap mesyuarat Kabinet, PM tanpa gagal, akan memulakan dengan memaklumkan segala titah pandangan Agong.

Amalan ini tidak pun dilakukan oleh kebanyakan PM terdahulu.

PM sentiasa mengarahkan Kabinet untuk melaksanakan segala titah dan pandangan Agong.

Dalam isu revokasi ordinan ini juga begitu.

Tiada masalah pun di sisi kerajaan.

Segala-galanya perlu menepati undang-undang.

Pada 21 Julai, keputusan dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet.

Pada 22 Julai, peguam negara menyiapkan Draf Ordinan (pembatalan).

Kemudian pada 23 Julai, PM mengutus warkah kepada Agong.

Seterusnya pada 24 Julai, Agong menitahkan peguam negara dan menteri undang-undang mengadap baginda.

Pada 25 Julai pula adalah hari Ahad.

Pada 26 Julai sidang Parlimen bermula dan di situlah menteri undang-undang didesak pembangkang untuk mengetahui pendirian kerajaan, dan menteri undang-undang memaklumkan perkembangan terbaru.

Semua berlaku “in good faith!”

Malah perlu diketahui, iaitu apabila isu itu cuba dikelirukan, PM tanpa berlengah pada keesokan harinya iaitu pada 27 Julai, terus mengadap Agong bersama-sama peguam negara untuk menerangkan perkara sebenar.

Malah PM memohon maaf sekiranya apa yang disampaikan di Parlimen, menimbulkan kekeliruan, dan ia boleh diperjelaskan.

Jadi, di mana penderhakaannya?

Hasil daripada mengadap itu, Agong ada menjelaskan pandangan baginda kepada PM dan PM membawanya ke Kabinet minggu berkenaan yang diadakan pada hari Jumaat, 29 Julai.

Perlu diketahui, pada pagi Jumaat itu, PM sekali lagi mengadap Agong, sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Kabinet semestinya bincang segala yang berlaku.

Dan sekali lagi mengulangi komitmen untuk terus menjaga kemuliaan dan kedaulatan institusi Agong serta melindungi teras dan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Maka amat jelas, kerajaan ini yang merupakan kerajaan bertunjangkan dan berteraskan parti Melayu dan Bumiputera yang diperkasakan dengan muafakat pelbagai kaum, tidak sama sekali mengizinkan institusi Raja-raja Melayu diderhakai atau diperalatkan oleh mereka yang pernah menderhaka.

Atas dasar inilah kerajaan ini terbentuk, setelah 22 bulan melihat bagaimana kedaulatan Raja-Raja Melayu diancam dengan cara yang belum pernah dilihat berlaku sejak negara merdeka.

Atas dasar inilah juga 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), mengikrarkan sokongan berterusan kepada kerajaan PN ini, serta bersetia kepada Agong.

Nyior yang condong, tegak kembali.

Kera tidak boleh meniti lagi…

Annuar Musa merupakan ahli Parlimen Ketereh dan menteri Wilayah Persekutuan.

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.