- Iklan -
Rencana

Umno tarik diri daripada kerajaan: Apa kesannya?

Zahid dan MKT Umno akan dianggap sebagai Pak Pandir moden jika tindak-tanduk mereka mempertaruhkan masa depan bangsa Melayu.

Abdul Hamid Mohamad
4 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad.
Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad.

Dalam mesyuaratnya pada malam 7 Julai 2021, Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT)
membuat keputusan menarik diri daripada kerajaan PN serta merta. MKT menyatakan
bahawa segala panduan utama yang digariskan Umno sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin, gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan. MKT menyenaraikan tujuh perkara di mana kerajaan PN gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Seterusnya MKT memutuskan:

“Justeru, Umno mendesak agar Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin
dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru
dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

“Tempoh perdana menteri yang baru akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif
dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu
mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat
kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15….

“Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah
diputuskan di Perhimpunan Agung Umno 2020, untuk tidak sesekali menyokong
sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri
ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).)”

Apakah kesan penarikan diri daripada menyokong kerajaan PN dengan serta merta itu?
Adakah ia bererti sebaik sahaja keputusan itu dibuat dengan secara otomatik dan serta
merta Muhyiddin tidak menjadi perdana menteri lagi dan kerajaan PN tumbang?
Jawapan kepada soalan kedua adalah “tidak”.

Ini kerana, pertama, keputusan itu adalah keputusan parti. Walaupun Ahli-Ahli Parlimen
Umno sepatutnya turut menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, mereka tidak
semestinya akan berbuat demikian. Mungkin mereka akan dipecat dari parti, tetapi
mereka masih tetap boleh menyokong kerajaan PN.

Kedua, kita tidak tahu sama ada terdapat ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang mungkin
mengubah fikiran dan menyokong kerajaan PN.

Ketiga, selagi Muhyiddin tidak meletak jawatan atau Yang di-Pertuan Agong tidak
melantik perdana menteri baru, Muhyiddin masih menjadi Perdana Menteri.

Apakah pilihan yang ada kepada Muhyiddin? Beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU 15. Yang di-Pertuan Agong boleh tidak berkenan dengan nasihat itu. Dalam keadaan sekarang, PRU 15 tidak mungkin dapat diadakan.

Maka, pilihan kedua beliau adalah cuba mendapat sokongan majoriti, jika boleh.

Sementara itu, tunggu sahaja saat Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri
baru.

Jika ia tidak dilakukan sebelum persidangan Parlimen pada 26 Julai, satu usul
tidak percaya boleh dikemukakan di Parlimen. Jika usul itu kalah, Kerajaan PN selamat.
Jika usul mendapat sokongan majoriti, Muhyiddin hendaklah meletak jawatan atau beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU 15. Yang di-Pertuan Agong boleh tidak berkenan dengan nasihat
itu. Dalam keadaan sekarang, PRU 15 tidak mungkin dapat diadakan.

Perhatikan dalam kedua-dua pilihan yang disebut di atas penyelesaian yang paling
mudah ialah Muhyiddin meletak jawatan. Sanggupkah beliau berbuat demikian?

Berbangkit daripada keputusan MKT itu, apakah pilihan yang ada kepada Yang
di-Pertuan Agong? Baginda, atas nasihat Muhyiddin, boleh membubar Parlimen
dan mengadakan PRU 15. Yang di-Pertuan Agong boleh tidak berkenan dengan nasihat
itu. Dalam keadaan sekarang, PRU 15 tidak mungkin dapat diadakan.

Pilihan yang kedua ialah bagi Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baru.
Perhatikan, dalam keadaan sekarang, sama ada Muhyiddin meletak jawatan atau
tidak, pilihan paling mudah bagi Yang di-Pertuan Agong ialah melantik seorang Perdana
Menteri baharu, itu pun jika pada baginda ada seseorang yang mempunyai sokongan
majoriti.

Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan
seorang perdana menteri baru dilantik untuk suatu tempoh yang terhad. Sebenarnya
tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong
melantik seorang perdana menteri untuk suatu tempoh yang terhad. Perdana menteri itu
boleh memberi akujanji politik bahawa beliau hanya akan memegang jawatan itu bagi
susuatu tempoh tertentu dan meletak jawatan apabila sampai masanya.

Jika beliau menunaikan janjinya, tiada masalah. Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat perdana menteri sementara itu, membubarkan Parlimen dan menitahkan supaya PRU 15
diadakan. Selepas itu, seorang perdana menteri tetap yang dipilih oleh rakyat akan
menubuh dan mengepalai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Demokrasi kembali
beroperasi semula.

Merujuk kepada perenggan 8 dan 9 keputusan MKT itu, bagaimana penyampaian tahap
atau kejayaan yang dicapai dalam menangani Covid-19 dan masalah yang disebabkan
olehnya akan diukur?

Perenggan 10 keputusan MKT itu juga menegaskan bahawa Umno tidak sama sekali
akan menyokong sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).

Soalannya, bolehkah seseorang di luar PH dan PN mendapat majoriti untuk menubuhkan
sebuah kerajaan dan mengekalkannya? PH masih mantap dengan bilangan ahli-ahli
Parlimennya (+ Pejuang) yang mungkin mempunyai majoriti. Sebaliknya, kerajaan PN
tanpa Umno (tidak kira berapa orang yang mematuhi keputusan MKT itu) besar
kemungkinan akan kehilangan majoriti. Tanpa sokongan PH dan PN, dari mana kerajaan
baru tajaan Umno itu akan mendapat majoritinya?

Saya khuatir, tindakan Umno itu akan menyerah balik kerajaan yang diperolehi daripada
PH itu kepada PH semula. Jika itu berlaku, Zahid Hamidi dan ahli-ahli MKT yang menyokongnya bertanggungjawab kepada bangsa Melayu. Mereka adalah Pak Pandir moden.

Sebaliknya, jika perdana menteri baru itu memperolehi majoriti dalam Parlimen dan
dapat mengekalkan kerajaan sementaranya, dapat menyelesaikan masalah Covid-19
dalam tempoh yang ditetapkan, meletak jawatan dan menasihatkan YDPA menitahkan
supaya PRU 15 diadakan, maka ahli-ahli MKT itu patutlah diberi penghormatan sebagai
political genius. Perdana menteri sementara itu pula patutlah dinobatkan sebagai
perdana menteri tetap selepas PRU15.

Sama-samalah kita tunggu untuk melihat kedatangan semula political genius atau Pak
Pandir Moden. Yang menakutkan ialah pertaruhannya terlalu besar: masa depan bangsa
Melayu.

Abdul Hamid Mohamad adalah bekas ketua hakim negara.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow