- Iklan -
Kolum

Sabtu dan naik haji

Bukan senang nak masuk syurga.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku masih ingat lagi ketika itu baru masuk umur empat tahun.

Keluarga kami tinggal di rumah guru Sekolah Umum Tapak, Padang Lebar di Kuala Pilah.

Kawan aku pada ketika itu ialah Kassim anak kepada Wahid. Adik kepada Salleh.

Salleh sudah berumur belasan tahun.

Salleh duduk di asrama, bersekolah di Kuala Pilah.

Kassim dan aku sebaya. Rumah kami tak jauh. Jadi kami berkawan.

Ayah Kassim ialah Wahid, orang kampung panggil Wahid Mesin Padi.

Nama ini muncul kerana Pakcik Wahid bekerja di kilang mesin padi yang juga tidak jauh dari rumah aku.

Semenjak zaman kanak-kanak lagi sikap ingin tahu aku amat kuat sekali.

Semua aku tanya. Semua aku soal.

Apa? Kenapa? Bagaimana?

Ini kadang kala menimbulkan masalah kepada emak, kerana aku bertanya tak putus-putus.

“Mak… pasal apa nama dia Sabtu? Pasal apa dia bawak kayu macam itu?”

Aku mahu penjelasan terhadap sosok yang bernama Sabtu.

Sosok bernama Sabtu ini dikenali umum di Kampung Tapak.

Atau sesiapa saja yang melintasi kampung kami.

“Dia dilahirkan pada hari Sabtu, emak dan ayahnya namakan dia Sabtu.”

Penerangan emak aku.

“Adik ni lahir hari apa?”

Aku membahasakan diri aku adik.

“Kau lahir bukan pada hari Sabtu.”

Emak aku sudah malas nak menjawab.

“Kalau adik lahir hari Sabtu kena seret kayu ke?”

Aku bertanya lagi.

“Sabtu tu ada dunia dia. Lain dari dunia kita.”

Aku tak faham apa maksud jawapan emak aku ini.

Emak aku seorang guru cukup berbudi bahasa melayan semua pertanyaan aku.

Aku membesar dalam suasana yang bebas lagi demokratik.

Emak memberi kebebasan kepada aku untuk terus bertanya dan bertanya.

Kadang-kadang Cikgu Zaleha Sidek merasa bosan juga dengan anak murid yang bernama Hishamuddin Rais.

Ini kerana anak murid ini tidak tahu bila masa yang tepat untuk bertanya.

Jika ini berlaku Cikgu Zaleha akan senyap tak mahu menjawab pertanyaan dari muridnya ini.

“Mak kenapa hidung dia tu kemek?”

Aku secara jujur bertanya ketika ternampak hidung sepupu aku lebih kemek daripada hidung aku.

Soalan sedemikian tidak pernah mendapat jawapan.

Tapi emak tak melarang aku bertanya.

Pernah sekali ketika melawat jiran yang baru bersalin.

Emak aku datang menziarah dengan membawa buah tangan “biskut Merry” dan “air lemanet”.

Makcik yang baru bersalin masih lagi dalam pantang.

Emak aku melihat bayi yang sedang tidur di sebelah ibunya.

Mata aku liar.

Aku terlihat ubun kepala botak bayi yang baru lahir itu bergerak-gerak seolah-olah bernafas.

Tangan aku pantas hendak mengusik.

Tapi tangan emak aku lebih cepat menepis. Bayi selamat.

Justeru sikap ingin tahu aku ini menjadikan emak aku berhati-hati jika aku dibawa bersama melawat jiran tetangga.

Dalam masa yang sama, semenjak dari kecil lagi aku menjadi teman baik emak, kerana ayah aku seorang tentera.

Abah hanya berada di rumah bila bercuti.

Membesar di kampung di kelilingi oleh orang-orang dewasa, aku sering memasang telinga.

Aku mendengar banyak cerita dan surah yang terhambur dari mulut orang-orang yang lebih berumur.

Aku cukup tertarik memasang telinga, mendengar cerita-cerita hantu tahyul, magik dan ilmu-ilmu.

Mendengar dari mulut tukang cerita atau mendengar dari mulut kedua.

Dari perawi ke atas perawi, dari pendengar yang mendengar.

“Kau tau Sam.. nanti kito kono nyoborang jambatan.. nak poi surgo …. jambatan ini halus macam rambut dibolah tujuh… bawahnya ado api… kalau tak lopeh jambatan, kito jatuh masuk dalam api…api nerako”. Kassim memberi penerangan kepada aku tentang neraka.

Belum habis Kassim bersurah aku meraba rambut aku.

Aduh! Rambut aku yang belum dibelah ini sudah halus.

Aku tak dapat membayangkan kalau rambut aku dibelah tujuh.

Lalu aku terfikir kenapa tuhan ini berbuat demikian?

Menyusahkan aku nak masuk ke syurga.

“Ekao donga dari mano ni?”

Aku bertanya nak tahu punca berita.

“Lobai Hassan cerito.. Dio cerito dongan apak den.”

Kassim memberi penjelasan.

Kassim juga bukan perawi sahih. Surah tangan kedua.

“Lobai tu… dio dah naik kek jambatan tu ko?” Aku mahu penjelasan.

“Ontah…den pun tak tau.” Kassim mematikan cerita.

Dalam kepala aku tergambar akan jambatan batang kelapa dalam sawah depan rumah aku di Kampung Tengah.

Bila musim hujan sampai, kami wajib berhati-hati takut terkelecek atas titian batang kelapa.

Surah jambatan ke syurga sehalus rambut dibelah tujuh dari Kassim ini menjadi amat pelik kepada aku.

“Tu macam mano kito nak lopeh?”

Aku terus bertanya dan mahu penjelasan.

Aku takut jatuh ke dalam api.

“Rayo aji somboleh lombu…kito buek korban. Nanti kek jambatan kito naik lombu kito yang kito somboleh.” Kassim memberi pencerahan.

“Kaki lombu ado cabang, lagi susah nak lalu ateh rambut.”

Pandangan rasional dari aku.

“Ontah den pun tak tau. Apak den tak cerito hal kaki lombu..kalau nak lagi copek lalu jambatan kono pogi Mokah… sombolih lombu di Mokah… tu macam Lobai Asan dio tak lamo laai nak poi Mokah.”

Kassim membuka babak baru.

Ketika aku dan Kassim berlabun hal jambatan ke syurga, orang Kampung Tapak sedang heboh bercerita tentang Lebai Hassan yang akan pergi ke Mekah.

Lebai Hassan ini tuan pemilik kedai runcit.

Kedai dan rumahnya betul-betul di hadapan padang Sekolah Tapak, depan rumah aku.

Isteri Lebai Hassan bernama Sawi.

Sawi ini jauh lebih muda dari Lebai Hassan.

Sawi ini ranggi, genit dan langsing.

Lebai Hassan pemilik kedai runcit ini dianggap orang berada dalam Kampung Tapak.

Bukan calang-calang orang yang mampu pergi ke Mekah.

Aku tak tahu sangat tentang cara dan bagaimana aturan pergi ke Mekah ini.

Apa yang aku ingat sebelum Lebai Hassan memulakan perjalanan, dia ada membuat kenduri doa selamat.

Malam kenduri itu aku dan mak datang ke rumah Lebai Hassan.

Esok paginya, awal pagi lagi Lebai Hassan hendak memulakan perjalanan ke Mekah.

Ramai saudara-mara dan jiran yang datang untuk mengucap selamat jalan.

Aku dan Kassim melihat dari jauh.

Bila Lebai Hassan keluar dari pintu, aku terdengar laungan azan.

Kemudian disambut oleh pukulan kompang mengiringi Lebai Hassan.

Lebai Hasan pergi seorang diri.

Dia tidak membawa Sawi isterinya.

Sawi tinggal menjaga rumah, ayam itik dan kedai.

Beberapa orang saudara-mara dan jiran ikut sama berjalan mengiringi Lebai Hasan menapak berjalan dari Kampung Tapak ke pekan Padang Lebar.

Agak jauh juga hampir lima batu.

Aku nampak tilam, bantal, tikar mengkuang semua terikat bersama beg rotan.

Barang ini naik atas basikal yang diheret bersama rombongan mengiring Lebai Hassan.

“Bawak tilam pulak… tido kek mano nanti?” Kassim bersuara.

“Dalam kapal laa… kan dio naik kapal gi Mokah?” Aku menjawab senang.

Aku difahamkan tikar mengkuang ini bukan jadi tikar sembahyang.

Tikar ini untuk jadi alas tempat tidur dalam kapal.

Kepala aku penuh dengan persoalan.

Aku nak tahu besar mana kapal ini.

Dan macam mana tidur dan makan minum dalam kapal.

Tapi naluri ingin tahu aku ini terbantut.

Tak ada sesiapa dapat menjawab.

Tak ramai orang Kampung Tapak yang pernah pergi ke Mekah.

Aku dengar dari Padang Lebar, Lebai Hassan akan naik kereta ke Kuala Pilah.

Dari Kuala Pilah tukar kereta ke Seremban.

Dari Seremban naik kereta api ke Singapura.

Dari Singapura naik kapal ke Mekah.

Aku merasakan jauh sekali perjalanan Lebai Hassan ini.

Nama Kuala Pilah dan Seremban ada dalam kepala aku.

Kuala Pilah aku pernah sampai.

Aku ikut mak dua kali ketika emak ambil gaji di Pejabat Tuan DO Kuala Pilah.

Seremban aku hanya mendengar namanya saja.

Tapi belum pernah sampai.

Singapura aku tak tahu di mana.

Aku hanya mendengar nama Singapura melalui cencorong nyanyian dari suara R Azmi.

Rumah aku ada cecorong.

Bukan semua rumah ada cecorong.

Kalau di zaman Jepun siapa ada cecorong akan dibunuh oleh Kempeitai.

Masa itu cecorong rumah aku pakai bateri air.

Lebai Hassan selamat dihantar hingga ke Padang Lebar.

Heboh sekampung tentang Lebai Hasan pergi ke Mekah jadi reda.

Sawi tinggal bersendirian.

Kampung Tapak kembali seperti sedia kala.

Sosok yang lahir pada hari Sabtu tiba-tiba muncul menampakkan diri di jalan depan sekolah.

Ketika heboh tentang Lebai Hassan nak ke Mekah, si Sabtu ini lesap entah di belukar mana.

Macam Lebai Hassan juga si Sabtu pun dikenali oleh semua orang Kampung Tapak.

Rambut Sabtu panjang mengerbang.

Baju dan seluar kotor dan comot.

Dia berkaki ayam.

Biasanya Sabtu akan menarik kayu.

Dia menarik kayu songsang.

Orang Kampung Tapak anggap Sabtu ini gila.

Kassim dan aku tidak pernah takut atau lari apabila melihat Sabtu.

Aku hanya anggap Sabtu ini lain kerana cara dia menarik kayu songsang.

Aku tidak tahu di mana rumah Sabtu dan apa guna kayu yang sentiasa ditariknya ke hulu ke hilir.

Beberapa bulan kemudian Kampung Tapak heboh kembali.

Lebai Hassan diberitakan sudah sampai ke Seremban.

Kemudian sampai ke Kuala Pilah.

Sehari kemudian Lebai Hassan muncul.

Dia berkain sarung berbaju Melayu putih dan serban terikat di kepala.

Kini sudah menjadi Haji Hassan bukan lagi Lebai Hassan.

Petang itu ramai kaum keluarga dan jiran datang menyambut Haji Hasan.

Rumah Sawi penuh dengan tetamu sekali lagi.

“Apak den cakap… borokat kalau kito salam dongan orang baru pulang dari Mokah.”

Kassim memberi penerangan mengapa ramai orang datang ke rumah Sawi.

“Borokat macam mano?” Aku mahu penjelasan.

“Kito dapek pahalo… nanti kono kiro.. kalau nak lopeh jambatan tu.”

Kassim mengingatkan kembali tentang jambatan sehalus rambut dibelah tujuh.

Kassim dan aku menebeng memerhati jauh dari jalan.

Kami budak-budak tidak faham sangat apa yang berlaku.

Apa yang jelas aku nampak ialah muka Sawi yang bertambah manis.

Sawi keluar rumah masuk rumah menyambut tetamu.

“Kao agak Lobai Asan sombolih lombu ko di Mokah?” Aku bertanya pada Kassim.

“Dio bukan lobai lagi… dah pogi Mokah dah tak jadi lobai.. dah jadi aji.”

Kassim membuat pembetulan.

“Di Mokah Haji Asan sombolih lombo ko?” Aku mengulangi pertanyaan.

“Mesti sombolih…… tak sombolih mana dapek jadi aji”.

Kassim memberi penerangan lagi.

“Susah boto… nak lopeh jambatan.. kono pogi Singapura.. pogi Mokah naik kapal.”

Aku memikirkan betapa juahnya Mekah dari Kampung Tapak.

Wajib berjalan kaki ke Padang Lebar, ke Kuala Pilah, ke Seremban untuk naik kereta api ke Singapura.

Dari Singapura naik kapal laut ke Mekah.

Bukan mudah dan senang untuk lalu di jambatan sehalus rambut dibelah tujuh.

Bukan senang nak masuk syurga.

Ketika orang ramai sibuk bersalaman menyambut Haji Hassan pulang dari Mekah, Sabtu muncul melintas di hadapan rumah Sawi.

Sabtu tidak peduli apa yang sedang berlaku.

Sabtu seperti biasa bersenang-lenang menyeret kayu.

Bila Sabtu muncul mengheret kayunya, ini bermakna Kampung Tapak kembali seperti sedia kala.