- Iklan -
Kolum

2 cadangan untuk kerajaan

Namun jaring keselamatan ekonomi yang dipasang kerajaan meskipun luas, tapi semestinya ia tidak dapat untuk menjaga semua.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Perintah kawalan pergerakan 3.0 sedang berjalan kerana sektor kesihatan amat memerlukan satu “circuit breaker” untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum mereka dilumpuhkan.

Pada masa sama, sektor ekonomi negara juga berada di dalam keadaan yang lemah.

Para majikan sedang sakit kepala memikirkan cara untuk terus bertahan.

Para pekerja pula kerisauan terkena Covid-19 kerana sesungguhnya kluster kerja kini menjadi sumber kepada jangkitan yang tinggi di negara pada saat ini.

Kerajaan mengumumkan apa yang mampu untuk dibantu.

Namun jaring keselamatan ekonomi yang dipasang kerajaan meskipun luas, tapi semestinya ia tidak dapat untuk menjaga semua.

Ramai yang M40 jatuh ke tangga B40.

Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan bank makanan rakyat di seluruh negara.

Pusat bank makanan ini diselia oleh kerajaan pusat, dibantu oleh syarikat-syarikat berkait kerajaan (GLC) dan juga dibuka untuk menerima derma daripada pihak-pihak yang ingin membantu.

Ia harus dibuka di setiap daerah dan memanfaatkan jaringan logistik yang ada seperti klinik awam, balai polis dan sebagainya.

Para pekerja sektor hotel dan pelancongan yang kehilangan kerja boleh digaji membantu di pusat-pusat bank makanan ini.

Bukan itu sahaja, para petani dan pengusaha ternakan yang mengalami lambakan hasil kerana PKP boleh menjual terus ke pusat bank makanan ini.

Konsepnya bank makanan rakyat ini mudah, ia adalah satu tempat pengumpulan dan pengagihan makanan.

Rakyat mana-mana yang tidak cukup bekalan kewangan untuk membeli makanan, boleh datang ke pusat bank makanan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mendapatkan makanan.

Projek ini dapat memastikan tiada rakyat yang kebuluran.

Untuk memastikan pusat bank makanan ini dapat diteruskan sehingga wabak Covid-19 berakhir, sudah tiba masanya untuk kerajaan menjual vaksin kepada golongan T40.

Nak tak nak golongan ini adalah golongan yang mampu bayar, meskipun harganya adalah lima kali ganda dari pasaran.

Dana daripada jualan vaksin ini kepada golongan T40 adalah untuk memastikan mereka turut dapat membayar kos vaksin bagi golongan B40 dan juga menyumbang ke arah kesinambungan pusat bank makanan.

Sebagai balasan kepada jasa baik golongan T40, mereka akan mendapat pelepasan cukai untuk harga vaksin yang dibeli mereka.

Diharap kedua-dua cadangan ini dapat menghasilkan situasi menang-menang bagi rakyat dan kerajaan, serta golongan kaya dan miskin.