- Iklan -
Rencana

Hipokrasi pembangkang berhubung penyelesaian konflik Palestin-Israel

Cadangan dan tindakan pemimpin hendaklah sentiasa bersifat rasional bukan emosional dengan memahami realiti geopolitik semasa.

Kamarul Zaman Yusoff
4 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amanah Mohamad Sabu. Gambar: Bernama
Presiden Amanah Mohamad Sabu. Gambar: Bernama

Tidak dinafikan bahawa kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin menyentuh emosi kita, namun cadangan dan tindakan yang kita buat hendaklah sentiasa bersifat rasional bukan emosional dengan memahami realiti geopolitik semasa.

Kenyataan Muhyiddin ini malangnya segera dikecam oleh pemimpin pembangkang, seperti Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang menyamakannya dengan tindakan mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Beliau berkata sepatutnya kita berusaha menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka termasuk di bumi yang dipanggil Israel pada hari ini untuk menubuhkan kerajaan yang mereka mahu dan tidak ada nama kerajaan Israel di sana.

Kenyataan sebegini menampakkan betapa penuturnya tidak memahami realiti geo-politik semasa di Timur Tengah malah geopolitik di peringkat antarabangsa, malah meletakkan beliau menyimpang dari konsensus pertubuhan-pertubuhan sedunia.

Serangan zalim rejim Israel ke atas umat Islam di Palestin pada akhir Ramadhan lalu telah sekali lagi mengocak keamanan dunia dan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang rata-ratanya tersentuh emosi mereka dengan kezaliman yang berlaku.

Pemimpin kerajaan Malaysia, termasuk Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein, dan Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, yang masing-masing mengeluarkan kenyataan keras mengutuknya pada 8 dan 11 Mei.

Muhyiddin antara lainnya menyeru masyarakat antarabangsa, terutama sekali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat Palestin.

Tidak cukup dengan itu, pada 15 Mei Muhyiddin telah menyampaikan satu perutusan khas bagi mengulangi pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya, sama ada dari segi politik, ekonomi, dan moral.

Turut dinyatakan oleh beliau adalah penegasan bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Turut diulangi ialah pendirian Malaysia menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, yang dikatakan merupakan satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel.

Kenyataan Muhyiddin ini malangnya segera dikecam oleh pemimpin pembangkang, seperti Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu, yang menyamakannya dengan tindakan mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Beliau berkata sepatutnya kita berusaha menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka termasuk di bumi yang dipanggil Israel pada hari ini untuk menubuhkan kerajaan yang mereka mahu dan tidak ada nama kerajaan Israel di sana.

Kenyataan sebegini menampakkan betapa penuturnya tidak memahami realiti geopolitik semasa di Timur Tengah malah geopolitik di peringkat antarabangsa, malah meletakkan beliau menyimpang dari konsensus pertubuhan-pertubuhan sedunia.

Untuk makluman semua, penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 ini telah diterima oleh 56 buah negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Ia juga telah turut dipersetujui oleh 120 buah negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

negara ini malah telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 1397 yang diluluskan pada 12 Mac 2002 menyatakan ia meyakini visi sebuah rantau dalam mana dua negara, Israel dan Palestin, wujud dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf.

Menyusuli kelulusan Resolusi 1397 ini adalah pengisytiharan Inisiatif Keamanan Arab melalui Sidang Kemuncak Beirut oleh Liga Arab pada 28 Mac 2002 yang menawarkan keamanan kepada Israel sebagai timbal balas kepada penerimaannya terhadap kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Begitulah seterusnya sehingga penyelesaian dua negara ini telah dipersetujui oleh Perhimpunan Agung PBB, yang Malaysia adalah salah sebuah negara anggotanya, antara lainnya pada 25 Januari 2011 dan 19 November 2013.

Sejak PN mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 1 Mac 2020, inilah pendirian rasmi kerajaan Malaysia seperti yang dijelaskan oleh Hishammuddin pada 15 Ogos 2020, iaitu “Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan mengulangi pendirian dipegang sejak sekian lama bahawa pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin adalah satu-satunya penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel”.

Malah, sewaktu PH memerintah Malaysia sebelum itu pun, ketika Mohamad Sabu adalah menteri pertahanan, inilah juga pendirian rasmi kerajaan Malaysia seperti yang dinyatakan Dr Mahathir Mohamad, ketika merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai isu Palestin di KLCC pada 28 Februari 2020.

Ayat sama yang diungkapkan oleh Muhyiddin inilah juga yang disebut oleh Dr Mahathir waktu itu, tetapi di dalam Bahasa Inggeris, iaitu “Malaysia kekal dengan pendiriannya bahawa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka melalui menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, adalah boleh diterima.”

Soalnya ialah mengapa Mohamad Sabu selaku anggota Kabinet pada waktu itu langsung tidak mempersoalkan apatah lagi membantai kenyataan Dr Mahathir ini kerana mengiktiraf kewujudan negara haram Israel seperti beliau lakukan terhadap Muhyiddin sekarang?

Selaku presiden sebuah parti komponen PH, Mohamad Sabu juga sepatutnya terikat dengan kenyataan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, yang antaranya pada 29 Januari 2012 menyokong Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 1397 Majlis Keselamatan PBB dan Inisiatif Keamanan Arab yang berteraskan penyelesaian dua negara.

Begitulah seterusnya jika ditoleh ke belakang lagi sewaktu Najib Razak dan Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri pendirian yang sama juga akan kita temui.

Najib dalam perutusan beliau bersempena Hari Solidariti Antarabangsa dengan Rakyat Palestin pada 28 November 2016 umpamanya menyebut: “Kita menyeru semua pihak mengambil tindakan segera dan menunaikan komitmen mereka terhadap penyelesaian dua negara.”

Begitu juga dengan Abdullah yang umpamanya menyebut dalam satu persidangan antarabangsa mengenai isu Palestin di PICC pada 28 Mac 2005 bahawa bukan sahaja Malaysia, tetapi masyarakat antarabangsa juga, menyokong penyelesaian dua negara dalam isu Palestin.

Tidak dinafikan bahawa kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin menyentuh emosi kita, begitupun cadangan dan tindakan yang kita buat hendaklah sentiasa bersifat rasional bukan emosional dengan memahami realiti geopolitik semasa.

Apatah lagi bila terbukti pendirian kerajaan Malaysia ini telah turut dipertegaskan kembali oleh Kerajaan Indonesia dan Brunei seperti tertera dalam kenyataan bersama presiden Indonesia, Sultan Brunei dan perdana menteri Malaysia kelmarin.

Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).