- Iklan -
Editorial

Dalam perang melawan pandemik, demokrasi menjadi keinginan mewah

Muhyiddin menjadi perdana menteri pertama yang mengetuai perang sejak merdeka.

Abdar Rahman Koya
4 minit bacaan
Kongsi
Suka atau tidak, Muhyiddin Yassin memegang tampuk kuasa ketika zaman perang, melalui cara yang absah di bawah perlembagaan sebagai alternatif kepada pilihan raya. Gambar: Bernama
Suka atau tidak, Muhyiddin Yassin memegang tampuk kuasa ketika zaman perang, melalui cara yang absah di bawah perlembagaan sebagai alternatif kepada pilihan raya. Gambar: Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberikan contoh yang tepat ketika beliau menyebut beberapa pilihan raya umum yang diadakan di India sebagai faktor ledakan dahsyat Covid-19 di negara itu, menjadikan benua kecil itu contoh terburuk pandemik yang melanda dunia ketika ini.

Beliau berkata kalau bukan pengisytiharan perintah darurat, Malaysia juga mungkin akan menyaksikan pilihan raya diadakan ketika wabak masih menular dalam negara, iaitu suatu tindakan bunuh diri atas nama demokrasi.

Salah satu pilihan raya yang dihalang daripada diadakan susulan perintah darurat ketika ini adalah pilihan raya negeri Sarawak, yang boleh menyaksikan ribuan ahli politik dan pengundi Semenanjung menyeberangi Laut China Selatan, memasuki kawasan pedalaman, kemudian kembali ke bandar-bandar besar dengan membawa bersama virus.

Senario sedemikian bukan sesuatu yang diada-adakan. Ia pernah berlaku apabila seorang penduduk Sarawak di Johor pulang ke negerinya untuk menghadiri majlis pengebumian di Sarawak, sambil membawa virus itu ke seberang laut dan menjangkiti 2,693 orang, 29 antaranya maut.

Dalam perkara ini, Dr Mahathir Mohamad wajar diberi pujian berhubung rayuannya kepada orang ramai untuk mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dan duduk di rumah semasa Hari Raya Aidilfitri.

Ia merupakan suatu tindakan yang penting oleh kerana pandangan beliau masih disanjungi rakyat Malaysia, terutamanya yang tiada kena mengena politik kepartian.

Malangnya, kita masih melihat ahli politik masih bermain politik walaupun dengan puluhan kematian setiap hari, terutama ketika meneruskan seruan mereka membatalkan perintah darurat.

Banyak yang telah diperkatakan mengenai darurat dan penggantungan Parlimen dan DUN, sama ada yang menyokong langkah itu dan sebaliknya.

Namun, kedua-dua pihak gagal memberikan penjelasan jelas kepada orang ramai, sebaliknya hanya berminat untuk mendapatkan sokongan dan perhatian.

Sebagai contoh, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan gagal meyakinkan pengkritik darurat mengenai keperluan menangguhkan persidangan Parlimen. Beliau sebaliknya memberi alasan ia adalah untuk mencegah kluster baru Covid-19 dalam kalangan ahli Parlimen, kerana sebahagian besarnya terdiri daripada warga emas.

Kenyataan Takiyuddin itu tidak mencerminkan realiti bahawa Parlimen masih boleh diadakan secara dalam talian seperti di negara-negara lain.

Bagaimanapun, apa yang membezakan Malaysia dengan negara lain ialah kewujudan sekumpulan ahli Parlimen yang mahu menjatuhkan kerajaan ketika negara berada dalam keadaan genting.

Hakikatnya, perintah darurat itu bertujuan menyekat sebarang pilihan raya diadakan, terutama pilihan raya umum, pada ketika pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya sentiasa berada di hujung tanduk ketika menghadapi musuh yang tidak nampak oleh mata kasar.

Ini adalah perang di mana mereka yang berkuasa tidak berpeluang mengaut markah politik.

Dalam perang konvensional, seorang pemimpin boleh saja melancarkan beberapa peluru berpandu ke wilayah musuh, dan keesokannya mendakwa angka korban di pihak musuh dalam usaha meningkatkan sokongan di kalangan rakyat yang menghadapi cabaran ekonomi dan ancaman nyawa.

Covid-19 bukan perang biasa. Semua tentangnya adalah berkaitan pertahanan. Menghalang orang ramai keluar rumah; menghentikan aktiviti berkaitan pendidikan, agama dan sebahagian besar perdagangan; malah, mengharamkan sebahaghian besar rakyat yang bakal menjadi pengundi daripada merayakan perayaan terbesar di negara, sudah tentu semua ini bukan tindakan bijak dari sudut pulangan politik.

Tetapi keputusan sedemikian diambil berdasarkan bukti data yang diberikan oleh pakar-pakar kesihatan termasuk oleh Noor Hisham.

Tidak perlu takut untuk menyatakan perintah darurat adalah kesan langsung daripada ancaman beberapa pemimpin Umno, terutama mereka yang berada di kluster mahkamah, untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Ketika landskap politik menyaksikan tiada ada satu pun blok politik memiliki majoriti cukup, tindakan menjatuhkan kerajaan yang ada bermakna Malaysia perlu mengadakan pilihan raya.

Parlimen pula adalah satu-satunya tempat di mana sokongan majoriti kerajaan dapat diuji.

Hanya kerana tindakan sebilangan ahli Parlimen yang dicemari skandal untuk menghilangkan majoriti, maka panglima perlu diganti di tengah peperangan, di samping pelbagai perubahan birokrasi yang akan berlaku ketika sesebuah kerajaan baru muncul.

Hakikatnya, landskap politik semasa menunjukkan permuafakatan politik yang bertahan lama, dan kekal bertahan sepanjang tempoh wabak ini, hanyalah khayalan semata-mata.

Begitu juga, berdasarkan pengalaman Pakatan Harapan pada 2020, sesebuah kerajaan yang dibina atas kerjasama pihak yang berlainan ideologi, tidak mampu bertahan lama, apatah lagi apabila ia perlu mengenakan pelbagai sekatan tidak popular bagi memerangi wabak yang kini telah meragut 1,700 nyawa.

Apa pun yang berlaku, pilihan raya tetap perlu diadakan.

Dan jalan keluar kemelut ini adalah perintah darurat. Ia membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah tegas bagi menghentikan penularan virus tanpa perlu bimbang tidak popular dari segi politik.

Hal ini adalah benar terutama ketika kerajaan memiliki majoriti rapuh. Malah jika dilihat sikap ahli Parlimen dari kedua-dua belah sejak beberapa tahun ini, apa-apa pun boleh berlaku.

Seawal bulan Mac tahun lalu, sebelum seorang ahli politik seperti Najib Razak mula berbicara mengenai urus tadbir baik sambil mencuit hati rakyat yang tidak mudah lupa, Muhyiddin sudah pun mengakui beliau bukan perdana menteri yang dipilih rakyat.

Bagaimanapun, beliau berjanji melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan semua rakyat.

Suka atau tidak, Muhyiddin memegang tampuk kuasa ketika zaman perang, melalui cara yang absah di bawah perlembagaan sebagai alternatif kepada pilihan raya.

Suka atau tidak, reputasi beliau ialah sebagai perdana menteri perang yang pertama sejak merdeka.

Tugas sedemikian tidak memerlukan sokongan ahli Parlimen, sebaliknya sokongan dari rakyat biasa yang mampu berfikir, dan seterusnya mendokong langkah-langkah membendung pandemik.

Abdar Rahman Koya adalah Ketua Pegawai Eksekutif & editor MalaysiaNow.