- Iklan -
Rencana

Dr Mahathir tahu tak apa erti ‘marah’?

Ke manakah hilangnya 'sense of logic' Dr Mahathir?

Kamarul Zaman Yusoff
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah temu bual bersama MalaysiaNow.
Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah temu bual bersama MalaysiaNow.

Sewaktu bercakap dalam sidang media Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di hadapan pintu pagar Istana Negara selepas menyerahkan rayuan penamatan proklamasi darurat kepada Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong pada 20 April lalu, Dr Mahathir Mohamad berkata:

“Orang Melayu biasanya tidak menderhaka kepada raja, tapi sekarang ini kita terpaksa sampaikan kepada setiausaha (Sulit), iaitu orang Melayu sekarang ini mula rasa marah kepada raja-raja” dan “adalah penting untuk ini (sentimen rakyat) disampaikan kepada raja”.

Saya nak tanyalah kepada Dr Mahathir sama ada dia tahu atau tidak apa yang dimaksudkan dengan “marah” dan bagaimana caranya nak ukur kemarahan itu.

Untuk makluman Dr Mahathir, yang dimaksudkan dengan “marah’ itu adalah bila lebih 317 ribu rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut beliau mengharamkan Dong Zong.

Dan yang dimaksudkan dengan “marah’ itu adalah bila lebih 314 ribu rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut beliau melucutkan jawatan P Waytha Moorty sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan senator.

Tidakkah amat jauh bezanya antara lebih 300 ribu rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut beliau mengharamkan Dong Zong dan melucutkan jawatan P Waytha Moorty berbanding hanya 40 ribu rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat?

Lagi pula, 40 ribu rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat itu tidaklah boleh ditafsirkan secara terus sebagai kemarahan rakyat kepada raja-raja.

Dan bila Dr Mahathir sendiri langsung tidak menghiraukan kemarahan lebih 300 ribu rakyat yang menandatangani petisyen bagi menuntut beliau mengharamkan Dong Zong dan melucutkan jawatan P Waytha Moorty, apa logiknya untuk beliau mendesak pihak lain untuk mengambil berat kemarahan hanya 40 ribu rakyat yang menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat?

Ke manakah hilangnya “sense of logic” Dr Mahathir ini?

Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.