- Iklan -
Kolum

Februari 2020 akan sentiasa diingati oleh aktivis politik

Sehingga ini tiada kenyataan rasmi dan terperinci bagi menyatakan sebab-sebab mengapa kerajaan PH ditumbangkan.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dengan angka jangkitan virus Covid-19 menunjukkan trend penurunan, dan program vaksinasi sudah bermula, rakyat negara ini mengharapkan hidup akan dapat kembali normal.

Ia menjadi bermakna kerana dengan memasuki bulan Mac dan meninggalkan Februari, negara ini melalui ulang tahun pertama wabak Covid-19.

Tetapi ia juga merupakan ulang tahun pertama tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN).

Sehingga ini tiada kenyataan rasmi dan terperinci bagi menyatakan sebab-sebab mengapa kerajaan PH ditumbangkan.

Ini kerana ia ditumbangkan oleh menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen PH sendiri dengan sokongan parti-parti lawan iaitu Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Sedangkan tiada krisis atau skandal dalam kerajaan PH yang memerlukan ia ditumbangkan.

PH juga diketuai oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini.

Ketika itu merajaan PH sedang sibuk menghadapi wabak Covid-19. Tidak ada sebab ia wajar ditumbangkan.

Sememangmya ada isu-isu yang ditimbulkan terhadap kerajaan PH, tetapi ia tidaklah begitu besar sampai memerlukan untuk ditumbangkan.

Hala tuju kerajaan PH adalah jelas iaitu untuk mewujudkan Malaysia Baru di mana negara dapat ditadbir secara bersih di mana kleptokrasi dapat dihapuskan dan korupsi dikurangkan.

Sementara Mahathir tetap mempunyai komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia dalam bidang ekonomi.

Pihak pembangkang ketika itu, BN dan PAS tentulah mengkritik kerajaan PH.

Itu sememangnya kerja pembangkang. Mereka membawa isu-isu yang berkaitan Melayu dan Islam.

Perkara itu dapat difahami kerana Umno membela Melayu dan PAS memperjuangkan Islam.

Tetapi Mahathir mengambil kira kritikan-kritikan ini. Dalam PH pun, Bersatu seperti juga Umno memperjuangkan isu Melayu. Sementara Amanah pula tentu mengambil berat terhadap Islam.

Tetapi apa yang jelas, tidak ada sebab untuk ditumbangkan kerajaan PH.

Apabila kerajaan PH ditumbangkan, maka tiba-tiba politik negara menjadi tidak stabil.

Wabak Covid-19 semakin mendesak negara. Kerajaan PN ditubuhkan bukan atas mandat rakyat tetapi melalui percaturan politik melibatkan habuan jawatan hingga menghasilkan Kabinet besar.

Dengan tiada pernyataan rasmi mengapa kerajaan PH ditumbangkan dan bagaimana kerajaan PN ditubuhkan, apa yang ada ialah perutusan khas dan pengumuman, tanpa sidang media.

Tentulah ketika kerja yang perlu disegerakan adalah menghadapi wabak Covid-19. Perintah Kawalan Pergerakan pun dikuatkuasakan.

Perubahan yang sebegini besar menuntut penjelasan. Kebanyakan rakyat yang mengundi PH tentu mahukan penjelasan rasmi.

Bagi aktivis PH yang bertungkus lumus bekerja semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tindakan itu adalah suatu pengkhianatan.

Maka tidak hairanlah sepanjang tahun lalu suasana politik negara adalah tidak menentu.

Dapat dirasakan bahawa banyak tenaga dicurahkan bagi memastikan kerajaan ini dapat dipertahankan. Cabarannya bukan saja datang dari PH tetapi juga BN yang seringkali mengancam untuk menarik diri.

Sememangnya ada kenyataan di sana sini dari pihak PN menyatakan sebab mengapa mereka menumbangkan kerajaan PH.

Ada yang menyebut mengenai DAP. Ada pula menyatakan sebab mereka tidak mahukan Anwar Ibrahim.

Sepanjang tahun itu juga, Mahathir dan Anwar gagal untuk bekerjasama untuk memulihkan kerajaan PH.

Maka tidak hairanlah apabila setahun, kerajaan PN mengadakan majlis kesyukuran kerana mereka dapat bertahan.

Tetapi bagi aktivis PH yang menyertai diskusi dalam talian bagi memperingati peristiwa itu, demokrasi dilihat dipersendakan.

Kemenangan jelas PH yang bersejarah pada tahun 2018 dirosakkan dengan Langkah Sheraton.

Tidak ada pengundi yang memilih PN. Ketika itu PN belum wujud. BN dan PAS adalah parti-parti kalah tetapi mereka yang menjadi kerajaan. Tidakkah itu namanya mempersendakan demokrasi?

Kalau seseorang itu bertanding atas dirinya sendiri, iaitu sebagai calon Bebas.

Kemudian selepas menang, ia berpakat dengan wakil-wakil Bebas lain untuk menubuhkan kerajaan, perkara itu dapat diterima.

Begitu jugalah kalau parti itu bertanding sendiri. Umpamanya Bersatu dan PKR bertanding sendiri dan bukannya secara pakatan.

Penyokong mereka juga mengundi Bersatu atau PKR sebagai sebuah parti.

Kemudian selepas pilihan raya, mereka sendiri tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan, maka gabungan dengan parti lain dibuat supaya kerajaan dapat ditubuhkan, keadaan itu juga boleh diterima.

Tetapi dalam PRU14, Bersatu, PKR, DAP dan Amanah tidak bertanding sendiri.

Mereka bertanding sebagai PH.

Bersatu adalah parti baru dan tidak ada jentera. Amanah pun parti baru tetapi mereka ada jentera walaupun kecil. Di Johor, jentera Amanah membantu Bersatu.

Penyokong umumnya mengundi PH dan bukan calon atau parti komponennya.

Penyokong DAP dan Amanah memberi undi pada calon Bersatu dan PKR kerana mereka bertanding atas gabungan PH, dan mereka pula menang. Inilah yang dikatakan mandat rakyat.

Kemenangan PH dalam PRU14 adalah jelas dan selesa serta mampu menubuhkan kerajaan.

Ia tidak perlu bergabung dengan parti lain. Parlimen tidak tergantung. Malah kerajaan pun sudah ditubuhkan dan pemerintahan pun sudah berjalan dengan baik.

Selepas ini dalam pilihan raya, bagaimanakah para pengundi hendak mempercayai calon yang bertanding? Apa pun manifesto yang dikemukakan, wakil rakyat boleh melompat ke parti lawan yang majoriti pengundi tolak.

Ataupun wakil rakyat boleh menyertai mana-mana kerajaan yang menawarkan jawatan, tanpa mengira pengundi memilih mereka supaya menubuhkan pemerintahan menurut fahaman politik serta manifesto mereka.

Dengan politik yang tidak menentu, wabak Covid-19 yang masih merebak dan kesan ekonomi menyusahkan hidup, maka rakyat mengharapkan kehidupan kembali normal.

Tentunya kunci untuk kembali normal berada di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Selepas Selangor dan Kuala Lumpur keluar daripada PKP dan memasuki PKP Bersyarat, maka keadaan diharapkan menjadi bertambah baik. Selepas ini diharapkan di Selangor dan Kuala Lumpur akan berubah kepada PKP Pemulihan dan akhirnya kembali pada normal.

Normal itu bermaksud juga darurat bagi menghadapi Covid-19 akan dapat ditamatkan, maknanya lebih awal daripada Ogos seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Dengan penamatan darurat, bolehlah diadakan PRU15 bagi membolehkan negara memiliki kerajaan yang mencerminkan mandat rakyat, dan seterusnya mewujudkan suasana politik stabil.

Perkara ini penting kerana hanya dengan kestabilan politik, tumpuan kerajaan – parti politik yang memerintah dan jentera perkhidmatan awam dapat memberi tumpuan kepada hala tuju negara untuk kemajuan dan kemakmuran demi kebajikan rakyat.

Juga adalah penting ialah seorang perdana menteri wajar berwibawa dan boleh bertindak ke atas menteri-menteri yang tidak berkesan dalam melaksanakan tugas mereka untuk rakyat dan negara.

Perdana menteri boleh memecat mereka pada bila-bila masa dan bukannya bergantung pada sokongan mereka kepada kerajaan di Parlimen.

Wibawa penyandang jawatan politik juga penting supaya mereka dapat memimpin jentera perkhidmatan secara berkesan untuk mencapai sasaran parti politik yang memerintah.

Di sini barulah dapat dilihat proses demokrasi yang berkesan.

Rakyat Malaysia perlukan suasana baru selepas mengharungi wabak Covid-19 yang banyak menjejaskan kehidupan mereka.

Kalau tidak tahun ini, semoga menjelang tahun 2022, sudah ada hala tuju jelas bagi rakyat negara ini untuk menaruh harapan.