- Iklan -
Rencana

CAP gesa punca kerang semakin pupus ditangani segera

Sudah sampai masanya bagi pihak berkuasa beri perhatian serius mengenai masalah kerang semakin berkurangan.

Mohideen Abdul Kader
2 minit bacaan
Kongsi
10 tahun lalu harga kerang sekitar RM3 sekilo tetapi kini telah mencecah RM14 sekilo.
10 tahun lalu harga kerang sekitar RM3 sekilo tetapi kini telah mencecah RM14 sekilo.

Kerjasama antara semua jabatan dan agensi kerajaan yang diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) perlu disegerakan bagi mengawal masalah kerang yang semakin berkurangan di perairan negara ketika ini.

Sudah sampai masanya bagi pihak berkenaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini demi mengekalkan sumber protein berasaskan hidupan laut itu di samping membela nasib nelayan yang terjejas sumber pendapatan serta beban pengguna yang terpaksa membeli dengan harga yang tinggi.

Mengulas tindakan Jabatan Perikanan Perak merampas 42 guni benih kerang bernilai RM58,000 di Pantai Remis yang cuba diseludup ke negara jiran Thailand baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya operasi bagi mencegah aktiviti penyeludupan itu dipertingkatkan.

Selain di sempadan negara, CAP meminta Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut melakukan rondaan lebih kerap di perairan negeri-negeri yang mempunyai kawasan semula jadi pembiakan kerang yang luas seperti Perak dan Selangor bagi memastikan tidak berlaku perbuatan mencuri benih kerang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan tersebut.

CAP mendapati selain aktiviti penyeludupan yang menyebabkan berlakunya kekurangan kerang ketika ini, terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Antaranya ialah pencemaran laut yang berpunca daripada pembuangan sisa toksik dari kilang industri, sisa racun dari kawasan pertanian, perlaksanaan projek pembangunan di kawasan pantai, ancaman sisa lumpur dan sisa kumbahan, projek akuakultur dan kemusnahan hutan paya bakau yang menjadi sumber bekalan makanan kepada kerang.

Berikutan ancaman tersebut pendaratan kerang telah merosot melebihi 50% manakala harga kerang di pasaran meningkat secara mendadak.

Jika 10 tahun lalu harganya sekitar RM3 sekilo tetapi kini telah mencecah RM14 sekilo.

CAP merasa bimbang dengan perkembangan ini dan menggesa kawalan dan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan tegas dan berkesan oleh jabatan dan agensi terbabit.

CAP juga mencadangkan supaya pihak kerajaan memperluaskan projek ternakan kerang dalam kalangan nelayan di negara ini bagi menambahkan lagi sumber pendapatan mereka di samping membantu pihak berkuasa mengawal kawasan semula jadi pembiakan kerang daripada dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta menjamin bekalan kerang kekal di pasaran dengan harga yang tidak membebankan pengguna.

Mohideen Abdul Kader merupakan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.