Kuasa Gen Z: Peserta muda enggan berganjak, 'kepung' kedutaan AS di himpunan bantah kehadiran Trump
Demonstrasi menuntut kerajaan membatalkan jemputan kepada Donald Trump menyaksikan peserta muda menegaskan hak mereka berhimpun di jalan raya utama berhadapan kedutaan Amerika.
Terkini
Perhimpunan membantah kehadiran Presiden Donald Trump hari ini menyaksikan peserta muda enggan bersurai walaupun beberapa jam selepas penganjur menamatkan acara, dalam apa yang menyerupai protes pro-Palestin di seluruh dunia yang sebahagian besarnya disertai golongan dikenali sebagai "Gen Z".
Ratusan peserta muda dilihat tidak mahu berganjak walaupun penganjur sudah lama mengakhiri acara dengan doa, sehingga suasana menjadi tegang seketika apabila mereka menghampiri benteng pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertujuan menghalang perhimpunan melepasi garisan polis.
Dalam satu insiden, sekumpulan penunjuk perasaan dilihat mengherdik Ketua Pemuda PKR Kamil Munim yang turut hadir memberikan ucapan.
Kamil, yang juga setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah "berjaya" mengadakan pertemuan dengan pegawai kedutaan AS dan menerima jaminan peserta Malaysia dalam Global Sumud Flotilla yang ditahan Israel akan dibebaskan.
"Yang bos kau jemput Trump Zionis tu apasal?" jerit seorang penunjuk perasaan, disusuli sorakan dan pelbagai sindiran ditujukan terhadap Kamil.
Seperti mana protes anti-Israel sebelum ini, peserta dihalang menghampiri pintu masuk utama kedutaan.
Beberapa aktivis kanan dan pemimpin pembangkang turut berucap merayu peserta supaya bertenang dan mengikut arahan polis, termasuk tidak melanggar garisan polis di sepanjang Jalan Tun Razak.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 1,000 orang yang kebanyakannya dipercayai berusia antara 20 dan 30 tahun, mula meminta polis untuk mengalihkan penghadang supaya mereka dapat berjalan ke arah kedutaan.
Berbeza daripada insiden yang tular semalam di mana Ketua Polis Wangsa Maju Mohammad Lazim Ismail dilihat memarahi sekumpulan peserta perhimpunan pro-Palestin kerana berada di kaki lima kedutaan, pegawai polis hari ini bagaimanapun dilihat tenang ketika menjalankan tugas.
Penunjuk perasaan kemudiannya berpecah kepada beberapa kumpulan kecil dan mengibarkan bendera Palestin di pembahagi jalan dan laluan pejalan kaki, sambil bersorak setiap kali pengguna jalan raya membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
Walaupun peserta akhirnya mula bersurai menjelang waktu Maghrib, masih ramai yang memutuskan untuk terus berada di luar kedutaan bagi meneruskan bantahan mereka sehingga malam.
Perhimpunan hari ini adalah yang terbesar sejak beberapa hari, termasuk beberapa bantahan yang berlaku semalam, menandakan tekanan yang semakin meningkat terhadap Anwar supaya membatalkan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean pada 26 Oktober ini.
Bantahan yang semakin kerap juga didorong oleh serangan Israel ke atas Global Sumud Flotilla, yang menyaksikan beberapa rakyat Malaysia turut ditahan tentera Zionis.
Anwar setakat ini menolak gesaan pelbagai pihak untuk membatalkan jemputannya kepada Trump, di sebalik kemarahan yang semakin meningkat terhadap sokongan terbuka Washington kepada Israel, di samping pelan damai terbarunya untuk Gaza.
Pelan 20 perkara yang diumumkan Trump selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu itu mendapat sokongan negara Arab yang bersekutu dengan AS, tetapi ditolak secara meluas oleh rakyat Palestin yang menyifatkannya satu bentuk penjajahan baharu dan usaha menyerah diri kepada Israel.
Kerajaan Anwar bagaimanapun menyambut baik pelan tersebut.
Semalam, pergelutan berlaku ketika polis cuba menghalang penunjuk perasaan daripada berkumpul di depan kedutaan. Dua pemuda ditahan atas tuduhan menghalang polis menjalankan tugas.
Tindakan itu dibidas aktivis tempatan dan kumpulan hak asasi, yang berkata polis patut dipersalahkan kerana mencetuskan kekecohan.
"Tindakan kasar pihak polis adalah tidak wajar, dan puncanya adalah situasi yang diwujudkan oleh polis sendiri. Kedua-dua peserta diheret dan dihalang oleh beberapa anggota polis, lengan dan leher mereka pula dipegang sebelum digari," kata kenyataan bersama dikeluarkan 13 pertubuhan, termasuk Amnesty International dan Suaram.
"Peserta lain yang cuba meredakan keadaan juga dikasari tanpa amaran - ditolak dan dihalang tanpa apa-apa keperluan dan membahayakan keselamatan fizikal peserta," kata mereka, sambil menambah polis tidak sepatutnya menghalang laluan pejalan kaki di luar kedutaan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
