- Iklan -
Berita

Bersatu minta Anwar bersuara dalam kontroversi babitkan suami menteri

Parti itu mengingatkan perdana menteri tentang kenyataan terbuka beliau yang berjanji untuk memansuhkan rundingan terus.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim diingatkan janjinya untuk menghapuskan rundingan terus dalam pemberian projek kerajaan ketika kontroversi tercetus mengenai syarikat terkait suami Hannah Yeoh dianugerahkan projek tanpa melalui tender terbuka.
Anwar Ibrahim diingatkan janjinya untuk menghapuskan rundingan terus dalam pemberian projek kerajaan ketika kontroversi tercetus mengenai syarikat terkait suami Hannah Yeoh dianugerahkan projek tanpa melalui tender terbuka.

Bersatu berkata keputusan kerajaan Selangor menganugerahkan projek kepada sebuah syarikat diterajui suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bukan sahaja melanggar manifesto pilihan raya Pakatan Harapan tetapi juga jelas memungkiri janji perdana menteri untuk menghapuskan amalan rundingan terus.

"Anugerah oleh kerajaan Selangor ini bercanggah dengan ketelusan, tadbir urus baik di samping janji dibuat PM Anwar Ibrahim secara terbuka bahawa tidak akan ada lagi rundingan terus," kata Sasha Lyna Abdul Latif dari Biro Undang-undang & Perlembagaan Bersatu.

Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat diasaskan oleh suami Yeoh, Ramachandran Muniandy bersama-sama pengasas portal pro-Pakatan Harapan Malaysiakini, Premesh Chandran, merupakan salah satu daripada dua firma dilantik kerajaan Selangor pimpinan PH untuk menyediakan perkhidmatan transit responsif atas permintaan (DRT) di empat daerah di bawah program Mobiliti Selangor.

Apa yang menjadi perhatian ialah bukan sahaja kaitan politik PH, tetapi kontrak itu juga diberikan tanpa melalui proses tender terbuka seperti yang selalu diperjuangkan gabungan itu.

Ia dilihat sebagai episod terbaru dalam siri pelantikan PH di peringkat negeri dan persekutuan yang didakwa berlaku amalan kronisme.

Tidak lama selepas dilantik sebagai perdana menteri pada November 2022, Anwar memberitahu kakitangan Jabatan Perdana Menteri bahawa kelulusan untuk semua perolehan kerajaan tidak lagi akan dibuat tanpa tender terbuka dalam usaha untuk membanteras ketirisan dan rasuah.

Awal tahun ini, Anwar sekali lagi berkata kerajaan akan "menghentikan sepenuhnya rundingan terus" dalam perolehan kerajaan.

Sasha mempersoalkan sikap "berdiam diri" Anwar berhubung kontroversi Yeoh.

"Demi kepentingan awam, Anwar mesti menjelaskan bagaimana dan mengapa kontrak itu diberikan melalui rundingan terus kepada syarikat di mana CEOnya ialah pasangan kepada ahli Kabinetnya."

Sasha juga mempersoalkan ancaman Asia Mobility untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik.

"Ini tidak wajar dan tidak boleh diterima. Orang ramai berhak meminta penjelasan mengenai perolehan kerajaan yang melibatkan perbelanjaan dana awam. Perbincangan ini adalah untuk kepentingan awam dan tidak boleh ditutup.

"Isunya lebih besar daripada Asia Mobility, ia melibatkan janji dan akujanji yang dibuat PM dan gabungan politik yang membentuk kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri Selangor."