- Iklan -
Berita

'Nak daftar apa lagi?' Wee bidas Rafizi gagal yakinkan rakyat mengenai PADU

Presiden MCA itu antara beberapa ahli Parlimen blok kerajaan yang enggan berdaftar dengan pangkalan data baru itu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Ekonomi diketuai Rafizi Ramli menggunakan pelbagai cara untuk menggalakkan orang ramai mendaftar di PADU, seperti gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial kementerian itu dalam usaha meredakan kebimbangan mengenai kerahsiaan data.
Kementerian Ekonomi diketuai Rafizi Ramli menggunakan pelbagai cara untuk menggalakkan orang ramai mendaftar di PADU, seperti gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial kementerian itu dalam usaha meredakan kebimbangan mengenai kerahsiaan data.

Kurang 48 jam pendaftaran ditutup, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) terus berdepan defisit kepercayaan di kalangan rakyat di semua pihak, termasuk pemimpin dan ahli politik kerajaan sendiri yang selama ini bertungkus lumus memberi jaminan akan keselamatan maklumat peribadi orang ramai.

Sehingga 28 Mac, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli - orang yang giat mempromosikan sistem yang dikatakan menjadi rujukan bagi pemberian subsidi tersasar itu - mendakwa hampir 9.3 juta orang sudah berdaftar dengan PADU.

Rafizi dilihat enggan mengakui kelemahan PADU dan kritikan pelbagai pihak, termasuk kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang menangguhkan pendaftaran orang ramai atas kebimbangan keselamatan data peribadi.

Pimpinan Sarawak bukan keseorangan dalam menyatakan rasa sangsi mereka terhadap PADU.

MalaysiaNow mendapati ramai pemimpin blok kerajaan yang enggan mendaftarkan diri, walaupun sasaran kerajaan ialah supaya PADU memuatkan data segenap lapisan rakyat bagi memudahkan perancangan pemberian subsidi.

Antaranya Presiden MCA Wee Ka Siong, yang berkata beliau tidak yakin dengan sistem tersebut atas kebimbangan mengenai privasi data.

“Saya langsung tidak daftar, buat apa suruh ahli Parlimen daftar sedangkan gaji dia melebihi RM15,000 ke RM16,000?" Wee, yang mewakili kerusi Ayer Hitam, memberitahu MalaysiaNow.

Golongan kaya dapat subsidi?

Wee berkata beliau tidak faham dengan kenyataan Kementerian Ekonomi yang setiap rakyat perlu berdaftar tidak kira status kewangan mereka.

Wee Ka Siong mempersoalkan Rafizi Ramli yang masih cuba mempertahankan PADU.
Wee Ka Siong mempersoalkan Rafizi Ramli yang masih cuba mempertahankan PADU.

Kementerian yang diterajui Rafizi itu berkata golongan T20 juga mungkin layak mendapat subsidi dan oleh itu perlu berdaftar.

"Tetapi andai kata keluarga tersebut mempunyai 8 orang anak, pendapatan isi rumah bersih mereka mungkin jatuh ke kumpulan M40 dan melayakkan mereka juga turut mendapat subsidi bersasar," menurut kenyataan di laman X kementerian itu.

"Tak ada ahli Parlimen yang ada lapan orang anaklah dan melayakkan kita untuk dapat subsidi, itulah bodoh! Selepas itu suruh kita untuk daftar PADU. Untuk apa?" jawab Wee.

Wee mempersoalkan rasional mengarahkan pegawai JUSA, atau Jawatan Utama Sektor Awam, yang berpendapatan tinggi, untuk turut berdaftar dengan PADU.

"Gaji lebih RM100,000 dapat bantuan kah? Orang akan fikir pasti ada udang di sebalik batu," katanya.

Soal Wee lagi, sekiranya PADU diyakini, mengapa Premier Sarawak Abang Johari Openg mahu menangguhkan pendaftaran?

Kerajaan Sarawak berkata penangguhan pendaftaran PADU bertujuan melindungi data peribadi rakyat selari peruntukan dalam perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Wee kesal dengan kegagalan kerajaan menjelaskan jaminan keselamatan berhubung kerahsiaan data.

Beliau mempersoalkan apa tujuan PADU sedangkan kerajaan mendakwa sudah ada maklumat individu.

“Kalau sudah ada maklumat, kenapa nak ambil maklumat yang sama lagi daripada kita? Padu ini untuk apa sebenarnya? Nak kumpul apa lagi kalau mereka kata sudah ada maklumat dari kita?" 

Katanya, kepercayaan rakyat terus terhakis apabila Rafizi dilaporkan berkata golongan T20 juga mungkin layak mendapat subsidi. 

Pada 26 Mac, Rafizi tampil sekali lagi mempertahankan PADU, dengan berkata ia selamat daripada sebarang bentuk serangan di samping privasi data yang dikawal ketat.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun berkata menteri tersebut masih gagal memadamkan keraguan terhadap PADU. 

“Rafizi jangan ingat kerajaan negeri ini bodoh. Mereka pun ada penasihat IT masing-masing, jadi apa yang Rafizi jelaskan itu sememangnya tidak meyakinkan, beliau tidak meneliti sistem PADU dengan baik dan sepatutnya tidak buat pada waktu sekarang," kata ahli Parlimen Machang itu.

Katanya kerajaan seolah-olah tergesa-gesa mahu melaksanakan rasionalisasi subsidi tetapi tidak cermat dalam mencapai matlamat itu.

Fayhsal berkata penglibatan Rafizi dalam Invoke, syarikat berkait PKR yang menguruskan data, menyebabkan defisit keyakinan terhadap beliau.

Sebelum ini, Invoke, yang menjalankan kaji selidik di kalangan pengundi, dikritik atas beberapa dapatan dan ramalan yang tidak tepat menjelang pilihan raya umum.

Pada pilihan raya umum ke-14 yang diadakan pada 2018 misalnya, Rafizi meramalkan PAS akan kalah teruk, jangkaan yang terbukti meleset.